SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Remeh tetapi penting...

Remeh tetapi penting

 

BEBERAPA unsur dalam ayat Bahasa Melayu sering dianggap remeh-temeh oleh segelintir pelajar. Hal demikian terjadi kerana dipengaruhi oleh sikap “tidak apalah” oleh pelajar berkenaan. Dalam bahasa, satu kesalahan yang kecil seperti tanda bacaan atau ejaan, sebenarnya boleh menjadikan keseluruhan ayat tersebut salah. Ini kerana semua unsur dalam ayat saling melengkapi.

 

Tanda bacaan

Tanda bacaan yang paling kerap digunakan dalam ayat ialah noktah (.), koma (,) dan sem-pang (.). Tanda soal (?) dan seru (!) pula digunakan mengikut situasi. Sementara tanda bacaan yang lain termasuklah noktah bertindih (:), noktah berkoma (;), pengikat kata [(“...”) dan (‘...’)] jarang digunakan.

     Tanda noktah digunakan ketika menutup ayat.

     Tanda koma sangat penting. Selain menjadi jeda (hentian sebentar) dalam pengucapan, koma merupakan ‘pemisah’ kepada sesuatu senarai. Contohnya:

1.      Ayah mahu membeli ikan, sayur, daging dan sotong di pasar.

Dalam pada itu, penggunaan tanda koma boleh menyebabkan maksud sesuatu ayat akan berubah atau salah sama sekali. Bandingkan ayat-ayat di bawah:

        2 (a) “Cikgu saya mahu keluar.”

(b)  “Cikgu, saya mahu keluar.”

(c)  “Cikgu saya mahu, keluar.”

Ayat 2 (a) dan (b) betul, tetapi maksudnya ber-beza. Bagi ayat (a), yang mahu keluar ialah cikgu saya, manakala bagi ayat (b), yang mahu keluar ialah saya. Namun, ayat (c) salah kerana gagal menyatakan maksud dengan jelas. Cuba pula anda jelaskan maksud dua ayat ini:

        3 (a) “Saya, cikgu!”

 (b) “Saya cikgu!”

      Tanda sempang kerap digunakan untuk kata ganda. Malah sempang menjadi penanda bahawa perkataan itu ialah kata ganda.

               adik-adik         berhari-hari

Sempang digunakan juga untuk memisahkan huruf besar dan huruf kecil apabila satu daripada unsurnya ialah kata terikat.

            se-Malaysia          pro-Amerika

            anti-Rusia             rahmat-Nya

Huruf dengan angka juga perlu dipisahkan oleh sempang.

            ke-21        ke-2,222        1980-an

Dalam penerbitan akhbar dan majalah, tanda sempang sering digunakan di hujung baris. Ini untuk menyambung suku kata yang dipisahkan oleh penggantian baris. Contohnya:

                             ...per-

             bendaharaan...

                         ...perben-

             daharaan...

                         ...perbenda-

             haraan...

                         ...perbendaha-

             raan...

                         ...perbendahara-

             an...

Ada juga pelajar yang gemar menulis penggantian seperti di atas. Pastikan sempang diletak pada hujung baris, bukan di awal baris baharu. Pastikan juga sempang diletak selepas suku kata lengkap, iaitu yang boleh dilafazkan atau disebut sebagai satu suku kata. Sekiranya anda tidak pasti, lebih baik tuliskan sahaja perkataan itu di awal baris baharu. Jika salah tulis, perkataan itu dianggap salah ejaannya. 

      Tanda soal digunakan untuk ayat tanya, diletakkan di hujung ayat.

      Tanda seru digunakan untuk menunjukkan situasi terkejut, kagum, marah dan seumpamanya.

      Gunakanlah tanda bacaan dengan betul supaya maksud dapat disampaikan dengan berkesan. Tanda-tanda tersebut berkait dengan nada apabila sesuatu ayat diucapkan. Nada atau intonasi yang tidak betul menyebabkan maksud tidak jelas atau salah sama sekali. p

 

 

Suhaimi Mohd Salleh

Tinta Pusber, Bil. 1/2000

 

 

 

 

 










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/