SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Cara penulisan (pengejaan) akronim yang betul

Kebanyakan pelajar, malah pengguna bahasa Melayu yang lain, mungkin tidak menyedari bahawa perkataan-perkataan hakis, Felda, Mara, dan sebagainya, bukan perkataan asal, sebaliknya merupakan bentuk baharu yang terhasil daripada satu proses yang dipanggil pengakroniman.

Akronim ialah kata tunggal yang terhasil daripada penggabungan bahagian-bahagian daripada serangkaian perkataan. Bahagian-bahagian tersebut boleh terdiri daripada huruf, suku kata, atau bahagian daripada perkataan yang terl Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (1995:105-107) membahagikan kata akronim kepada empat jenis berdasarkan cara pencantuman bahagian-bahagian perkataan terbabit.

(i) Cantuman huruf awal perkataan-perkataan: Akronim ini terbentuk apabila huruf pertama setiap perkataan terbabit dicantumkan. Kebanyakan perkataan terdiri daripada nama-nama khas. Contohnya, ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), dan IPTAR (Institut Penyiaran Tun Abdul Razak).

(ii) Cantuman huruf dan suku kata sesedap sebutan: Akronim ini terhasil apabila huruf dan suku kata sejumlah perkataan dicantumkan berdasarkan sebutan yang sedap. Dengan yang demikian, tiada pertimbangan terhadap urutan tertentu. Malah pengambilan suku kata juga sering tidak lengkap. Contohnya, Mara (Majlis Amanah Rakyat), Intan (Institut Tadbiran Awam Negara), dan Awas (Angkatan Wanita Sedar)

(iii) Cantuman suku kata awal perkataan-perkataan: Kata akronim terbentuk apabila suku-suku kata pertama beberapa perkataan dicantumkan. Kebanyakannya terdiri daripada kata nama am, tetapi terdapat juga kata nama khas. Walaupun begitu, terdapat juga suku kata yang diambil itu tidak lengkap atau tidak sepenuhnya. Contohnya, cerpen (cerita pendek), tadika (taman didikan kanak-kanak), dan Gapena (Gabungan Penulis Nasional)

(iv) Cantuman bahagian awal perkataan pertama dengan bahagian lain perkataan yang mengikutinya: Jenis ini terbentuk melalui huruf atau suku kata perkataan pertama dengan bahagian bukan awal perkataan-perkataan lain. Antara contohnya ialah asbut (asap kabut), hakis (habis kikis), dan maging (makan daging).

Cara Pengejaan yang Sepatutnya

Kata akronim dalam bahasa Melayu terhad, tetapi terdapat kecenderungan yang agak tinggi untuk menggunakannya sebagai kata nama khas bagi pertubuhan, syarikat atau gedung perniagaan. Ini disebabkan biasanya nama asal pertubuhan, syarikat atau gedung perniagaan berkenaan panjang; dengan itu dipendekkan supaya mudah disebut atau diingat.

Namun timbul masalah berkaitan dengan cara pengejaan, khususnya melibatkan huruf kecil dan huruf besar. Terdapat pihak yang menggunakan huruf besar semuanya untuk mengeja singkatan nama itu. Pengejaan dalam keadaan biasa sepatutnya berdasarkan cara pembentukan atau jenis akronim berkenaan. Ejaan huruf besar semuanya boleh dibuat untuk akronim jenis (i) sahaja. Ini disebabkan semua huruf yang membentuk perkataan baharu berkenaan (ABIM dan IPTAR) diambil daripada huruf pertama setiap perkataan asal. Huruf pertama ini memang telahpun menggunakan huruf besar kerana perkataan tersebut merupakan kata nama khas.

Sebaliknya akronim-akronim jenis lain tidak boleh dilakukan sedemikian walaupun rentetan perkataan asalnya merupakan kata nama khas. Pengecualian ini dibuat berdasarkan sifat masing-masing. Bagi akronim jenis (ii), pengambilan suku kata (sama ada lengkap atau tidak) menyebabkan perkataan baharu berkenaan (Mara, Intan, dan Putera) tidak boleh menggunakan huruf besar sepenuhnya. Huruf besar boleh digunakan untuk huruf pertama sahaja kerana perkataan yang baharu terbentuk ini bersifat kata nama khas (nama pertubuhan atau institusi). Majlis Amanah Rakyat boleh dieja menggunakan huruf besar seluruhnya sekiranya akronimnya ialah MAR. Dengan yang demikian juga, akronim bagi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan Yayasan Kelantan Darulnaim, misalnya, boleh ditulis akronimnya dengan huruf besar bagi huruf pertamanya sahaja, iaitu Yadim dan Yakin.

Akronim jenis (iii) dan (iv) pula tidak boleh langsung menggunakan huruf besar sekiranya rangkaian perkataan asalnya ialah kata nama am. Perkataan Gapena boleh menggunakan huruf besar pada awal perkataan kerana sifat rangkaian kata asal merupakan kata nama khas. Walaupun demikian, perkataan tadika, cerpen, asbut, hakis dan maging perlu menggunakan huruf besar bagi perkataan pertamanya jika perkataan itu dihadirkan pada awal ayat.

Sungguhpun demikian, semua perkataan tadi boleh menggunakan huruf besar sepenuhnya sekiranya terlibat dengan penulisan tajuk, umpamanya tajuk berita, yang melibatkan perkataan lain juga menggunakan huruf besar, seperti berikut:

MARA TETAP MENGHANTAR PELAJARNYA KE LUAR NEGARA

Tatacara atau peraturan pengejaan yang dinyatakan tadi termasuklah juga untuk akronim yang terbit daripada gabungan rangkaian perkataan daripada bahasa Inggeris. Umpamanya, UDA (Urban Development Authority), ASEAN (Association of South East Asian Nation), radar (radio detecting and ranging), dan laser (light amplification by stimulated emission of radiation).

Kekeliruan pengejaan sebenarnya boleh dianggap kecil berbanding dengan kekeliruan dan kerumitan untuk menentukan makna bagi perkataan-perkataan tertentu, khususnya bagi jenis (ii), (iii) dan (iv). Dengan sebab itulah pembentukan kata akronim tidak digalakkan dalam bahasa Melayu, kecuali untuk nama khas.

Rujukan

Farid M. Onn 1992. "Masalah Akronim dan Singkatan dalam Perancangan
Bahasa Melayu" dlm. Ke Arah Pembentukan Istilah Yang Sempurna. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 175-180.

Nik Safiah Karim, et al 1995. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Suhaimi Mohd Salleh
Pelita Bahasa,
Ogos 2000.










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/