PENGAJARAN PEMBELAJARAN
BERBANTUKAN KOMPUTER (PPBK)

Pengenalan

Pengajaran Pembelajaran Berbantu Komputer atau ringkasnya PPBK merujuk kepada sebarang bentuk penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Program PPBK mula dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan pada 1994 sebagai projek perintis melibat 15 buah sekolah rendah di negeri Selangor. Projek ini dilaksanakan bertujuan:

  • Untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar melalui penggunaan komputer dalam pembelajaran dan pengajaran.
  • Untuk mempelbagaikan teknik pembelajaran dan pengajaran bagi meningkatkan mutu pendidikan.
  • Mendedahkan pelajar kepada penggunaan komputer.

Kesemua 15 buah sekolah ini telah didibekalkan dengan komputer PC 386 DX-66MHz dengan keupayaan 1 MB RAM, tanpa cakera keras. Untuk guru pula disediakan komputer dengan konfigurasi yang sama berserta cakera keras 40 MB.

Selain daripada itu, sekolah-sekolah ini juga dibekalkan dengan 40 topik perisian kursus pendidikan (32 topik Matematik tahap dua dan 8 topik English) yang telah dibangunkan oleh Unit KDP.

Keperluan Perkakasan

Komputer multimedia dengan sistem pengoperasian sekurang-kurangnya Windows 3.1 dan jumlah RAM 16MB.

Keperluan Perisian

Jenis perisian yang boleh digunakan ialah perisian kursus pendidikan atau lebih dikenali dengan panggilan courseware dan perisian aplikasi seperti pemproses perkataan, hamparan elektronik, dan perisian persembahan. Kaedah Pelaksanaan Perisian pendidikan digunakan bagi membantu pelajar menguasai topik-topik dalam sesuatu mata pelajaran.

Terdapat pelbagai jenis perisian yang terdapat di pasaran. Perisian-perisian ini secara umumnya boleh di klasifikasikan mengikut kaedah yang digunakan dalam penyampaian kandungannya seperti berikut:

  • tutorial
  • latih tubi
  • simulasi

Bagaimana perisian ini hendak diintegrasikan dalam pengajaran dan pembelajaran bergantung kepada kaedah yang digunakan dalam kandungan perisian tersebut.

Sebagai contoh, perisian tutorial boleh digunakan untuk tujuan pendedahan awal kepada sesuatu topik mata pelajaran. Perisian berbentuk latih tubi pula boleh digunakan tujuan pengukuhan dan sebagainya. Pemproses perkataan boleh digunakan dalam aktiviti seperti penulisan laporan, karangan dan yang seumpamanya yang penulisannya perlu melalui beberapa peringkat tapisan. Perisian hamparan elektronik pula boleh digunakan dalam Matematik, fizik, kimia perakaunan dan lain-lain mata pelajaran yang melibatkan pengiraan. Perisian persembahan pula boleh digunakan oleh para guru sebagai alternatif menarik kepada OHP.

Sungguhpun demikian, untuk memaksimumkan keberkesanan perisian persembahan, alat multimedia projektor perlu digunakan. Sebagai pilihan yang lebih murah, anda boleh dapatkan kad yang membolehkan paparan VGA di tukar kepada signal komposit supaya TV besar boleh digunakan.

© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/