LITERASI KOMPUTER

Projek Rintis Literasi Komputer

Projek Rintis Komputer Dalam Pendidikan yang dilaksanakan pada tahun 1992. Di dalam projek ini, mata pelajaran Literasi Komputer diwajibkan kepada semua pelajar tingkatan 1 dan 2.

Setiap sekolah dibekalkan dengan 21 set komputer (1 unit untuk server, 20 sebagai komputer murid) dirangkaikan dalam persekitaran Rangkaian Setempat (LAN). Sistem komputer ini ditempatkan dalam sebuah makmal komputer yang lengkap dengan 21 set kerusi meja komputer, gerobok besi, pendingin hawa, OHP, LCD Panel warna dan 2 set pencetak komputer (dot matrix 9 pin).

Komputer yang dibekalkan, ATOM 1, dibangunkan oleh syarikat tempatan dengan keupayaan mikropemproses V30, 1MB RAM , 3.5" FDD dan track ball (berfungsi seperti tetikus). Komputer ini tiada cakera keras. Aplikasi-aplikasi yang digunakan disimpan pada server yang menggunakan sistem pengendalian rangkaian Lansmart.

Pada tahun 1994, satu kajian telah dilaksanakan oleh Unit Penilaian, PPK untuk melibat sejauh mana projek ini telah mencapai objektifnya serta mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang dihadapi oleh pihak sekolah.

Dapatan daripada kajian ini amat menggalakkan. Selain itu, terdapat juga maklum balas yang meminta supaya program ini diteruskan hingga ke tingkatan 5. Sebagai reaksi kepada dapatan kajian ini, PPK telah mengubahsuai pelaksanaan program Literasi Komputer ini pada tahun 1994 untuk menjadikannya lebih mantap serta dapat memenuhi keperluan IT negara.

Umumnya, semua pelajar yang keluar daripada sistem pendidikan negara ini perlu memiliki kemahiran asas mengendalikan komputer. Di samping itu, terdapat juga segelintir pelajar yang ingin mendalami bidang IT, tetapi tidaklah sampai menjadikannya sebagai bidang kerjaya.

Keperluan kedua-dua kumpulan pelajar ini dapat dipenuhi melalui program Literasi Komputer yang yang telah diubahsuai oleh PPK dan mula dilaksanakan pada tahun 1996. Untuk membantu sekolah melaksanakan program ini, PPK telah menerbitkan buku Garis Panduan Pelaksanaan Program Literasi Komputer.

Pada tahun 1999, program Literasi Komputer ini dikembangkan ke sekolah rendah. Sesuai dengan perkembangan ini, PPK telah menerbitkan pula buku Garis Panduan Pelaksanaan Program Literasi Komputer Di Sekolah Rendah. Sementara kandungan buku Garis Panduan Pelaksanaan Program Literasi Komputer di Sekolah Menengah telah di kemaskini untuk menyesuaikannya dengan perkembangan teknologi terkini.

© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/