PENGENALAN KEPADA PROGRAM ComIL

ComIL adalah singkatan untuk Computer Intergrated Learning. Ia adalah sebuah perisian pengarangan yang dibangunkan secara kerjasama di antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan MIMOS. Pembangunannya dimulakan pada tahun 1990 di Makmal Teknologi Komputer (MTK), Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur. Kementerian Pendidikan Malaysia telah melantik seramai 40 orang pengaturcara sambilan. Projek ini dibantu oleh 10 orang Pegawai MIMOS dan 10 orang guru yang berkemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran. Ke semua pegawai ini telah ditempatkan di MTK di bawah pengelolaan Unit Komputer Dalam Pendidikan, Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia. 6 orang pegawai telah dilantik untuk mengurus dan mentadbir Unit Komputer Dalam Pendidikan. Unit KDP ini telah dipindahkan ke Pusat Perkembangan Kurikulum dan diberi nama baru iaitu Unit Teknologi Maklumat.

Versi awal ComIL adalah dalam format "Disk Operating System" (DOS) dan dibangunkan menggunakan bahasa pengaturcaraan C++. Walaupun versi ComIL yang awal tidak begitu setabil, ia telah digunakan secara meluas di sekolah-sekolah yang melaksanakan program Komputer Dalam Pendidikan. ComIL berjaya membantu guru membina program-program pendidikan mudah seperti program tutoran dan latihtubi. Perisian ComIL mempunyai keistimewaan tersendiri dalam membantu guru membangunkan perisian pendidikan. Ia bukan sahaja boleh digunakan untuk membangunkan program yang mengandungi teks dan grafik malahan boleh juga digunakan untuk membangunkan program-program pendidikan yang mengandungi animasi dan bunyi. Oleh itu ia boleh dikategorikan sebagai perisian pengarangan multimedia pada ketika itu.

Sekarang ComIL telah dibangunkan semula menggunakan bahasa pengaturcaraan Visual BASIC. Versi ComIL yang baru menyediakan antaramuka yang ramah pengguna dan mudah digunakan. MIMOS mengambil alih sepenuhnya pembangunan ComIL versi terbaru ini. Versi terbaru ialah ComIL versi Zamrud. MIMOS bercadang untuk mempromosikan penggunaan ComIL dikalangan guru-guru dan pelajar-pelajar. Jika ComIL digunakan secara meluas, ia boleh membantu untuk meningkatkan prestasi ComIL sebagai perisian pengarangan keluaran tempatan yang unggul. Kementerian Pendidikan Malaysia sangat menggalakkan guru-guru dan pelajar-pelajar menerokai perisian pengarangan Malaysia yang pertama ini. Sokongan padu rakyat Malaysia akan dapat memberi dorongan kepada pembangun perisian tempatan mencipta lebih banyak lagi perisian-perisian untuk kegunaan harian rakyat Malaysia.

© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/