SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Format baru soalan pemahaman ‘Makmal ZNF’

Oleh Kamaruzaman Abdullah

SIRI-siri yang lalu, penulis telah membicarakan contoh soalan pemahaman berdasarkan petikan puisi tradisional dan moden iaitu sajak. Pada siri kali ini, penulis akan memperkatakan pula secara terperinci dan memberikan contoh soalan pemahaman petikan prosa moden, iaitu cerpen.

Cerpen yang akan dijadikan contoh soalan berjudul “Makmal ZNF” karya Shamsinor Zaman Shamsuz Zaman yang dipetik daripada Antologi Sehijau Warna Daun, yang wajib dipelajari oleh pelajar ketika di tingkatan satu.

Komponen sastera (Komsas) diuji dan dinilai dalam kertas Bahasa Melayu PMR Kertas 1 untuk menguji tahap pengetahuan pelajar mengenai aspek sastera (tema dan persoalan, watak dan perwatakan, latar, plot, gaya bahasa, nilai murni dan pengajaran) berdasarkan petikan cerpen, drama, prosa tradisional, puisi moden dan tradisional yang dipelajari oleh pelajar sama ada di tingkatan satu hingga tingkatan tiga.

Soalan petikan prosa moden ialah soalan nombor tujuh hingga 12, iaitu sebanyak enam soalan.

Soalan itu dibahagikan kepada dua soalan pemahaman berdasarkan teks, dua soalan pemahaman Komsas berdasarkan teks dan dua soalan pemahaman Komsas berdasarkan bahan (cerita).

Sehubungan itu, diharap guru dan pelajar dapat memahami serta meneliti contoh soalan berdasarkan petikan prosa moden yang akan diberikan di bawah ini.

Soalan prosa moden adalah dalam Kertas 1 Bahasa Melayu PMR, petikan 2 iaitu soalan pemahaman petikan prosa moden sama ada cerpen atau drama yang akan diuji.

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti dan jawab soalan berikut :

Tit! Jerit sang komputer. Jawapan yang diberikan sangat mengecewakan Zainuddin. Dia terhenyak di kerusi.

“Cuba bawa dia keluar.” Suaranya bagaikan tersekat di kerongkong. Matanya tidak berkelip memandang skrin papan utama.

“Tak mungkin. Aiza berada di antara perisian data. Jika data itu dikeluarkan, kemungkinan besar dia akan mati.”

Mati! Perkataan itu bagaikan menyengat saraf Zainuddin. Bingkas dia bangun. Otaknya teringat sesuatu.

“Data kesihatannya, bagaimana?” pinta Zainuddin agak kalut sedikit.

Fauzi memeriksa alat ECG yang disambungkan ke tubuh Norhaiza yang terbaring tidak sedarkan diri di atas kerusi. Kemudian, matanya menyorot ke skrin LCD yang besar di dinding makmal. Kesemua data tentang keadaan fizikal dan mental Norhaiza dipaparkan ke situ. Fauzi menarik nafas lega.

“Semuanya normal. Kadar metaboliknya normal walaupun jantungnya berdegup dengan agak cepat. Aktiviti otaknya tidak terjejas.” Fauzi berhenti seketika, kemudian menyambung. “Walau di mana pun Aiza berada, dia masih hidup.”

“Hidup dalam perisian komputer dan gagal kembali ke dunia realiti.” Zainuddin terhenyak kembali ke kerusi. Mukanya ditekup dengan tangan. ”Semuanya salahku! Tak patutnya aku benarkan dia masuk sebentar tadi.”

“Jangan salahkan diri sendiri. Ingat, kau telah menguji keselamatan dan keberkesanan sistem ini sebelum itu.”

(Dipetik daripada Antologi Sehijau Warna Daun, Tingkatan 1, Dewan Bahasa dan Pustaka 2000)




Sumber : Berita Harian





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/