SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Bahasa Melayu ibarat luka bernanah yang melarat

Sejak bahasa Inggeris dipentingkan di Malaysia, masa depan bahasa Melayu kian dipersoal. Kelemahan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia, terutama di kalangan bukan Melayu, begitu ketara dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun lalu.

Berikut sedutan rencana tulisan Zalina Yahya dari Utusan Malaysia yang cuba mengupas kesan kelemahan itu. B. Melayu ibarat luka bernanah yang melarat Isu kegagalan hampir 50,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2000 dalam mata pelajaran Bahasa Melayu hanyalah ibarat cebisan daripada luka yang sebenarnya sudah sekian lama bernanah dan tidak pernah sembuh. Ia bukan masalah baru.

Sebelum ini, bilangan mereka yang gagal atau mendapat F9 dalam mata pelajaran tersebut tidak jauh berbeza daripada tahun ini. Masalah ini tidak begitu dipandang berat dan sering dianggap satu fenomena biasa. Bagaimanapun tahun ini, bilangan kegagalan itu agak jelas kerana melalui konsep pensijilan terbuka yang diperkenalkan, pelajar yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tidak layak mendapat sijil.

Bahasa Malaysia kertas Julai menjadi penyelamat bagi pelajar yang berminat untuk meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau mempunyai perancangan untuk bekerja di sektor kerajaan.

Tetapi berapa keratlah daripada kita yang peduli dengan semua ini? Perkembangan pesat institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) di negara ini nampaknya memudaratkan lagi kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. IPTS boleh dianggap sebagai penyelamat kepada mereka yang tidak begitu mementingkan pencapaian yang baik dalam Bahasa Melayu.

Kelulusan Bahasa Melayu ini tidak mempunyai nilai langsung jika pelajar mengambil program yang ditawarkan dengan kerjasama universiti luar negara. Malah Persatuan Kolej-Kolej Swasta Malaysia (MAPCO) sendiri mengakui Bahasa Melayu bukanlah keutamaan untuk seseorang melanjutkan pelajaran ke IPTS.

Yang penting ialah kredit yang baik dalam mata pelajaran lain dan bersesuaian dengan program yang dipohon. Satu tamparan kepada Bahasa Kebangsaan, tetapi kita menutup sebelah mata terhadap penghinaan ini kerana kita begitu dibayangi dengan kehebatan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu dan bahasa dunia. Oleh itu, bahasa Inggeris diangkat menjadi bahasa pengantar dan ini pula bukan satu "dosa', walaupun kita telah mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu di IPTS bukanlah satu kesalahan kerana Akta IPTS 1996 sendiri yang menghalalkannya, terutamanya jika sesebuah IPTS itu mempunyai pelajar asing. Inilah budaya yang sentiasa ditanam dalam jiwa rakyat negara ini. Sentiasa memuliakan tetamu walau sering kali akhirnya hak kita sendiri terkorban.

Persoalannya, apakah perkembangan ini satu petanda awal kepada kejatuhan Bahasa Melayu di alaf baru? Kepentingan bahasa Melayu hanya untuk anak-anak sekolah mendapat sijil. Setelah melepasi tahap ini, bahasa Melayu terpaksa mengalah dengan bahasa Inggeris yang dilihat sebagai syarat mutlak untuk laku di pasaran kerja. Sektor swasta Di sektor swasta, syarat fasih berbahasa Inggeris menjadi keutamaan walaupun prestasi akademik tidak cemerlang.

Maka jadilah taraf bahasa Melayu hanya seperti mata pelajaran teras yang lain iaitu Bahasa Inggeris, Pengajian Agama Islam, Pendidikan Moral, Sains dan Matematik. Persoalannya, adakah kegagalan pelajar di peringkat SPM ini merupakan satu loceng amaran awal mengenai sikap kita yang kini nampaknya terlalu memberatkan bahasa Inggeris dalam semua hal? Malah sokongan memantapkan penggunaan bahasa Melayu selepas tamat pengajian di peringkat tertinggi juga nampaknya begitu rapuh. Bidang pekerjaan berstatus profesional seperti kejuruteraan, undang-undang, seni bina dan perakaunan terlalu memandang sepi kepada kepentingan bahasa Melayu.

Seterusnya, globalisasi dan dunia tanpa sempadan menguatkan hujah kita menolak ke tepi kepentingan bahasa Melayu. Seperti kata Timbalan Dekan (Pembangunan) Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Juriah Long, penekanan yang tidak seimbang antara dua bahasa utama ini mungkin memberi kesan negatif kepada pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Perkara ini, menurut Dr Juriah, tidak berlaku ketika tahun 1970-an dan 1980-an dahulu yang menyaksikan penguasaan bahasa di semua peringkat adalah baik. Mungkin faktor semangat kebangsaan ketika itu yang memperjuangkan keagungan bahasa Melayu boleh dikaitkan dengan senario ini. Bagaimanapun, perjuangan tidak seimbang ini sebenarnya tidak membantu dalam memajukan penguasaan bahasa sesuatu bangsa. Bahasa Melayu perlu dikendong dan bahasa Inggeris jangan dibiarkan keciciran. Bagi beliau, ketidakseimbangan memperjuangkan isu ini akan memberikan kesan negatif kepada guru dan juga pelajar di sekolah.

Hakikatnya, menurut pakar pendidikan bahasa itu, kedua-dua bahasa itu penting dalam mengharungi dunia globalisasi. Tetapi, adilkah kita menunding jari kepada penekanan yang tidak seimbang ini jika pelajar dan guru sendiri tidak memberikan komitmen yang sepenuhnya untuk mempelajari dan menguasai Bahasa Melayu ? Sikap dan kaedah Seharusnya, tempoh 11 tahun mempelajari bahasa Melayu sudah cukup untuk seseorang itu menguasai bahasa dengan baik.

Malah kata Dr Juriah, penguasaan bahasa Melayu seharusnya tidak menjadi masalah jika pengajaran bahasa secara merentas kurikulum seperti mana yang disarankan dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) ditafsir dan dilaksanakan dengan sempurna. Bagaimanapun, seperti kata Pengarah Pusat Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan, dalam hal ini, kita sebenarnya hanya terlalu banyak menghasilkan cadangan yang muluk-muluk, tetapi pelaksanaannya begitu mengecewakan.

Kenakan "hukuman' Bahasa Melayu dalam mata pelajaran lain seperti Sejarah, Geografi, Sains dan Matematik hanya sekadar untuk difahami dan memahami. Yang penting ialah pelajar mampu memberikan jawapan yang betul mengikut kehendak soalan. Laras dan tatabahasa bukan ukuran.

Maka, bukan mustahil apabila kita mendapati terdapat sebilangan daripada lulusan SPM kita mampu mencapai keputusan yang cemerlang dalam mata pelajaran lain (yang pastinya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi), tetapi gagal dalam bahasa Melayu. Oleh itu, Dr Awang mencadangkan 30 peratus diperuntukkan khas kepada soal bahasa dalam memeriksa kertas-kertas jawapan. "Hukuman' ini mungkin agak keterlaluan, tetapi bagi beliau inilah sahaja yang boleh dilakukan supaya pelajar lebih memandang berat terhadap soal bahasa.

Mungkin pandangan radikal Dr Awang itu ditafsirkan sebagai pandangan yang dilahirkan oleh kelompok pejuang bahasa. Senario ini memberikan gambaran jelas kepada kita bahawa bahasa Melayu hanya dikuasai untuk lulus peperiksaan semata-mata dan bukan untuk menghayatinya.

Bagi pensyarah di Jabatan Linguistik, UKM, Profesor Madya Dr Ramli Md Salleh, masalah yang berlaku ini berpunca daripada salah tanggapan pelajar terhadap konsep mempelajari bahasa. ""Bahasa tidak dipelajari dalam bentuk aplikasi, sebaliknya hanya sebagai ilmu yang terasing,'' katanya. Bahasa bukanlah isu baru dan isu ini adalah sesuatu yang rumit yang sentiasa mencuit kepekaan masyarakat.




Sumber : Pendidikmy





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/