Make your own free website on Tripod.com
SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Sains cipta 'neraka dunia'

Oleh Roslan Ibrahim

SEJAK sains berkembang dalam kehidupan manusia terutama masyarakat Barat, mereka menjangka bidang ini akan membina satu “syurga dunia” yang penuh dengan keamanan dan kesejahteraan.

Malah saintis humanis seperti Francis Bacon dan Rene Descartes (1561 - 1626), secara angkuh menegaskan sains akan menggantikan agama serta memberi satu kuasa mutlak kepada manusia untuk menguasai dunia. Secara optimis, kedua-duanya mengakui sains akan membasmi kemiskinan, kematian, penyakit dan peperangan.

Kini, selepas enam abad, apa yang diimpikan masyarakat Barat hanyalah khayalan belaka. Syurga dunia yang mereka impikan melalui sains dan teknologi hampir menjadi “neraka dunia”. Ramai terseksa sama ada berpunca daripada diri sendiri atau kezaliman orang lain.

Ratusan tahun digunakan untuk mengkaji dan melaksanakan apa yang diimpikan tetapi selepas tiba pada abad ke-21, “tuhan kebendaan” mulai mengancam diri sendiri. Malah, alam sekitar turut ternoda kesan bertuhankan kebendaan.

Selepas melihat kehancuran masyarakat Barat yang berdasarkan sains moden, ia jelas membuktikan mereka menolak dasar akhlak yang diterima daripada wahyu iaitu agama.

Oleh itu, penolakan agama dalam bidang kehidupan secara total menyebabkan mereka sesat. Lantas, nafsu akan mengatasi segala-galanya.

Semuanya dilakukan berdasarkan undang-undang rimba iaitu “yang kuat berhak berkuasa”.

Dari segi politik, sains telah disalahgunakan demi memenuhi kehendak jahat mereka untuk terus berkuasa. Kuasa Barat mencipta pelbagai senjata moden. Perkembangan terakhir menunjukkan perlumbaan senjata moden telah sampai ke puncaknya. Bila-bila masa saja dunia akan binasa jika senjata nuklear sedia ada diledakkan serentak.

Lihatlah apa yang berlaku di Afghanistan. Amerika Syarikat dan sekutunya menggunakan sewenang-wenangnya senjata moden untuk membunuh manusia tidak berdosa.

Perang Dunia Pertama dan Kedua serta ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki telah mengorbankan ramai nyawa. Harta benda turut musnah dalam jumlah bukan sedikit. Mengikut statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dunia sekarang membelanjakan ratusan bilion ringgit setahun untuk menampung bekalan senjata peperangan.

Pada 1962, belanja ketenteraan bagi negara di seluruh dunia berjumlah RM120 juta. Jumlah itu meningkat kepada RM182 juta pada 1967, membabitkan pertambahan kira-kira 50 peratus dalam tempoh lima tahun. Dalam perkembangan mutakhir, perbelanjaan ketenteraan dikatakan mencecah lebih RM6 bilion dan dijangka bertambah untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Sejak 1943, kadar peningkatannya lebih besar lagi. Ini bermakna di antara 1949 hingga 1963, perbelanjaan bagi pertahanan meningkat tiga kali ganda.

Malah, bukan mustahil, jumlah itu meningkat berpuluh kali ganda di abad ke-21 ini.

Kajian PBB juga mendapati negara dunia ketiga paling banyak membeli senjata daripada negara pengeluar sendiri. Ini amat mengejutkan kerana pendapatan negara terbabit cuma separuh daripada pendapatan negara pembekal.

Di Afrika, perbelanjaan untuk pertahanan meningkat enam hingga tujuh peratus. Begitu juga dengan India dan Pakistan, antara negara yang mempunyai pendapatan perkapita terendah di dunia.

Dalam bidang ekonomi, sains diperalatkan untuk melipatgandakan pengeluaran. Kapitalis raksasa lebih menilai material daripada nilai kemanusiaan.

Melalui dasar ekonomi yang kononnya mengikut acuan sama rata, mereka lebih rela membuang hasil yang berlebihan daripada membantu golongan yang memerlukan. Ini dilakukan demi menjaga harganya tidak turun ke paras minimum.

Kita bukan mempertikaikan kemampuan mesin kesan penggunaan sains dan teknologi, namun, dengan terciptanya mesin tersebut, peluang kapitalis mengaut keuntungan terbuka luas dengan modal yang sedikit untuk tempoh yang singkat.

Ini menyebabkan kebanyakan penduduk dunia menderita akibat pembuangan kerja dan pemerasan tenaga manusia itu sendiri. Bermula daripada kemelut ini, berbangkitlah penindasan terhadap pekerja. Golongan pekerja hanya menerima upah yang sedikit sedangkan pemodal mendapat keuntungan melimpah ruah.

Kesimpulannya, sains moden banyak menyimpang daripada konsep Islam. Banyak teori dikemukakan sains moden menafikan kewujudan Allah dan tidak mengakui kekuasaan-Nya sebagai pengatur alam. Ini mereka lakukan untuk mencapai ke tahap penaklukan alam dan membuktikan sains moden diterima sebagai pengganti agama.

Disebabkan terlalu banyak percanggahan dengan syariat Allah, sains moden cuba menyelesaikan masalah dengan mencipta bahan tertentu khususnya dalam bidang perubatan.

Contohnya, saintis mencipta pil penyakit kelamin iaitu kesan daripada perhubungan seks bebas di antara lelaki dan wanita serta pelacuran. Bagaimanapun, dalam Islam, Allah sudah memberi penjelasan bahawa tiada ubat mujarab untuk penyakit itu melainkan menjauhi perbuatan terkutuk itu.

Perbahasan ini bukan untuk memperlekehkan atau menghalang umat Islam khususnya generasi muda memilih bidang sains sebagai kerjaya masa depan. Secara terbuka, Islam amat memerlukan bidang sains sebagai tuntutan Fardu Kifayah.

Islam menganggap alam tabii sebagai “kitab yang terbuka”, semakin dalam sesuatu ilmu itu kita pelajari, semakin tunduk kita kepada Allah, bukannya semakin angkuh sehingga menafikan kewujudan Yang Maha Esa.

Jika seseorang itu menjadi doktor, perkara penting yang perlu diterap dalam fikiran ialah bukan kerana dirinya pesakit boleh sembuh tetapi ia adalah ketentuan Ilahi. Doktor hanya pengantaraan atau sebab musabah hasil daripada ilmu Allah yang mereka pelajari.

Begitu juga dengan jurutera atau perancang pembangunan. Tidak guna sebuah bangunan mencakar langit jika ia hanya untuk meruntuhkan akhlak umat Islam.

Jika seseorang itu menjadi perancang, selain teknologi moden, mereka juga perlu memikirkan apakah ada tempat untuk manusia sujud kepada Ilahi. Amat malang apabila ada bangunan besar yang mempunyai kemudahan berteknologi tinggi tetapi tempat beribadat bagi umat Islam hanyalah melepaskan batuk di tangga.

Perkara itu perlu difikirkan secara teliti dan jelas. Islam memerlukan sains dan teknologi malah ia adalah ilmu Allah yang diturunkan kepada manusia. Malah, apa yang saintis lakukan adalah ilmu yang terkandung dalam al-Quran.

Rasanya cukup untuk kita jadikan iktibar atau pengajaran daripada kejadian yang berlaku. Sains yang dipelajari perlu digunakan sebaik mungkin untuk kesejahteraan manusia bukan untuk kemusnahan.

Justeru, saintis Islam dan pakar dalam semua bidang perlu mengikut garis panduan yang ditentukan Allah apabila melakukan apa jua usaha. Apa guna golongan berkenaan bertambah jika hanya sebagai pewaris dan pelaksana yang kelak akan meneruskan cita-cita yang bercanggah dengan Islam.

Jika pakar perubatan mampu menjelaskan secara mendalam mengenai perjalanan darah, jantung, hati dan segala organ tubuh manusia, mengapa mereka tidak mahu bertanya dan mencari jawapan, untuk apa sebenarnya Allah menjadikan manusia?




Sumber : Harian Metro





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
http://smkso2000.tripod.com/