SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Menulis karangan dengan menggunakan teknik yang mudah

Karangan boleh dianggap sebagai diri penulisnya. Tanggapan dibuat demikian kerana unsur-unsur yang membina karangan – perkataan, frasa, klausa dan ayat, idea atau isi serta pengetahuan atau pengalaman – berpunca sepenuhnya daripada penulisnya. Sekiranya penulis tidak menguasai semua unsur tersebut, karangan berkenaan tidak akan sempurna.

Karangan juga persis manusia, perlu mempunyai kepala, bahagian tengah dan anggota bawah untuk menjadi manusia yang lengkap fizikalnya. Hal ini kerana setiap karangan perlu mempunyai pendahuluan, isi dan penutup. Anggota-anggota badan manusia itu pula perlu berada di tempatnya yang sebenar atau biasa. Demikianlah juga halnya dengan karangan. Bahagian-bahagian karangan berkenaan didirikan oleh perenggan.

Didapati bahawa kegagalan calon peperiksaan di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapat markah yang tinggi banyak disumbangkan oleh kertas karangan. Pelajar mungkin mempunyai idea, tetapi mempunyai masalah untuk menyampaikan idea tersebut. Oleh yang demikian, pelajar sebenarnya menghadapi masalah untuk mengarang. Masalah ini timbul disebabkan pelajar tidak menguasai suatu cara asas atau kemahiran untuk menulis karangan. Pelajar sebaik-baiknya ditunjukkan langkah atau teknik menulis setiap perenggan supaya mereka dapat menulis karangan dengan berkesan.

Mengetahui Kehendak Karangan

Setelah memilih tajuk karangan yang dirasakan dapat dikuasai isi atau faktanya dengan baik, pelajar perlu mengetahui idea pusat karangan itu. Idea pusat ialah perkara atau isu yang ingin dibincangkan, atau idea keseluruhan, atau tema. Dalam kata lain, pelajar perlu mengetahui kunci, iaitu kehendak sesuatu tajuk. Ini untuk memastikan pelajar menulis isi yang tepat dan terelak daripada terpesong isi atau terkeluar daripada tajuk.

Membina Perenggan

Setiap karangan harus mempunyai perenggan-perenggan tertentu. Untuk pendahuluan dan penutup, masing-masing dibina oleh satu perenggan. Untuk isi, jumlah perenggan bergantung kepada jumlah isi utama atau isi besar. Jumlah isi utama yang dianggap memadai untuk sesebuah karangan ialah tiga atau empat. Satu perenggan hendaklah dibangunkan oleh satu isi utama sahaja. Sekiranya terdapat tiga isi utama, maka jumlah perenggan untuk isi ialah tiga juga. Dengan yang demikian, karangan tersebut biasanya mempunyai lima atau enam perenggan. Pembinaan perenggan yang tersusun menjadikan karangan berkenaan menarik untuk dibaca, malah menggambarkan bahawa pelajar menguasai teknik penulisan yang berkesan.

Untuk memudahkan pelajar membina perenggan, pelajar harus menentukan jumlah ayat yang perlu ditulis. Untuk peringkat PMR, sebaik-baiknya tiga atau empat ayat, manakala untuk SPM, seelok-eloknya dibina lima ayat. Ini penting untuk mengimbangkan huraian dan juga jumlah perkataan bagi keseluruhan karangan.

Perenggan Pendahuluan

Perenggan pendahuluan memperkenalkan tajuk karangan kepada pembaca. Maknanya, dalam perenggan ini belum terdapat sebarang isi, tetapi menyatakan hal yang berkait rapat dengannya.

Pendahuluan boleh dibina dengan tiga hingga lima ayat. Karangan bermula dengan ayat pengenalan. Satu ayat pengenalan dikira sudah memadai. Ayat ini akan membawa pembaca untuk memahami tajuk dan isi secara umum. Ini diikuti oleh dua atau tiga ayat huraian, yang merupakan ayat yang menyokong atau menghuraikan kenyataan dalam ayat pengenalan. Perenggan ini diakhiri oleh satu ayat fokus, yang membawa pembaca secara tegas kepada tujuan atau arah karangan, iaitu persoalan yang hendak dibincangkan dalam bahagian isi nanti.

Lihat contoh pendahuluan di bawah:

    (1) Akhir-akhir ini didapati bahawa kualiti air semakin terancam. (2) Banyak kes pencemaran air dilaporkan berlaku di sana-sini yang sangat membimbangkan kita. (3) Bukan sahaja air sungai atau laut yang tercemar, malah sekarang melibatkan air yang diproses di loji pembersihan. (4) Fenomena ini akan mengancam kesihatan dan keselamatan sesiapa yang menggunakannya. (5) Masalah ini terjadi adalah disebabkan oleh sikap anggota masyarakat sendiri yang tidak memberikan perhatian terhadap kebersihan sumber alam tersebut.

Dalam perenggan di atas, ayat (1) ialah ayat pengenalan, manakala ayat (2) hingga ayat (4) ialah ayat huraian. Ayat (5) pula merupakan ayat fokus, yang memberikan bayangan paling dekat terhadap inti tajuk, "sikap masyarakat merupakan penyebab pencemaran air".

Perenggan Isi

Jumlah perenggan isi bergantung kepada jumlah isi utama. Satu isi utama dihuraikan dalam satu perenggan supaya karangan lebih kemas dan memudahkan pemeriksa mengenal pasti isi utama dan isi sampingan. Penyusunan isi utama pula mengikut kepentingan, iaitu yang lebih penting atau dapat dihuraikan dengan jelas hendaklah didahulukan.

Setiap perenggan isi boleh dihuraikan dengan empat atau lima ayat. Perenggan isi dimulakan dengan satu ayat topik, iaitu ayat yang menyatakan isi utama. Bagi pelajar yang sudah cekap mengarang, ayat topik boleh juga diletakkan di tengah atau bahagian akhir perenggan. Tetapi, untuk memudahkan pelajar membuat huraian, lebih baik diletakkan pada awal perenggan. Ini diikuti oleh dua hingga empat ayat huraian. Ayat ini mengandungi isi sampingan atau sokongan kepada ayat topik, dan kadangkala termasuk contoh yang difikirkan sesuai.

Contohnya, pelajar boleh menulis satu perenggan isi sebagaimana yang berikut:

    (1) Satu daripada sikap sebilangan anggota masyarakat kita adalah tidak mementingkan aspek kebersihan persekitaran dalam kehidupan sehari-hari. (2) Mereka tidak suka kepada sampah-sarap, tetapi mereka mengambil mudah urusan membuang sampah. (3) Dengan sikap ini mereka menjadikan longkang, sungai dan tasik sebagai tong sampah, sebagaimana yang lazim berlaku di perkampungan setinggan. (4) Hal ini bukan sahaja menyebabkan air sungai atau tasik tercemar, tetapi juga memudahkan terjadinya banjir kilat kerana laluan air tersekat ketika hujan.

Ayat (1) merupakan ayat topik, iaitu yang menyatakan isi utamanya, "sikap masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan". Ayat-ayat berikutnya merupakan ayat huraian, iaitu ayat (2) dan (3) memberikan contoh sikap yang dinyatakan, manakala ayat (4) menerangkan akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab tersebut.

Perenggan Penutup

Perenggan ini berfungsi membuat rumusan secara keseluruhan segala idea yang telah dicurahkan dalam perenggan-perenggan sebelumnya. Pelajar boleh membina perenggan ini dengan menggunakan tiga hingga lima ayat. Perenggan ini tidak seharusnya mengulang kembali apa yang telah dituliskan dalam perenggan pendahuluan. Beberapa cara menulis penutup yang mudah adalah seperti menyatakan semula, membuat ramalan dan membuat syor. Walau bagaimanapun, pemilihan teknik penutup perlulah sesuai dengan jenis karangan.

Menyatakan semula

Melalui teknik ini pelajar boleh menyebut atau mengulang kembali semua hujah yang dikemukakan sebagai isi utama secara ringkas. Contohnya:

    (1) Sebenarnya banyak usaha yang telah dilakukan oleh pihak tertentu untuk membanteras pencemaran air. (2) Namun usaha tersebut tidak banyak membantu kerana sikap masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan persekitaran. (3) Projek pembangunan yang rancak dijalankan di sana-sini tanpa mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar pula menyebabkan berlakunya hakisan tanah yang teruk yang mampu menjejaskan kualiti air di sungai atau tasik, dan keadaan tersebut lebih teruk apabila kebanyakan ahli masyarakat yang tidak suka mematuhi peraturan yang digubal oleh pihak berkuasa.

Perenggan penutup di atas memuatkan tiga isi utama.

Membuat ramalan

Dengan penutup cara ini, pelajar menghuraikan kemungkinan yang akan berlaku.

    Sikap sedemikian jika dibiarkan berterusan boleh mengakibatkan kesan yang serius. Pelbagai jenis penyakit bawaan air yang sukar dikawal akan merebak dengan cepat, dan menjejaskan kesihatan penduduk. Selain itu, hal ini akan membabitkan peruntukan kewangan yang tinggi, bukan sahaja untuk mengubati pelbagai penyakit tersebut, tetapi juga untuk memulihkan sungai, tasik atau laut yang tercemar.

Dalam perenggan penutup tersebut, dua ramalan dibuat, iaitu dalam dua ayat terakhir.

Memberikan syor

Melalui teknik ini pelajar menutup karangan dengan memberikan cadangan yang dikira munasabah. Dua cadangan dianggap mencukupi. Walau bagaimanapun, teknik ini tidak sesuai dengan karangan yang sudah meminta langkah atau cara untuk menyelesaikan sesuatu isu. Hal ini kerana pelajar telah menyatakannya dalam perenggan isi, walaupun berlainan. Contoh penutup jenis ini adalah sebagaimana di bawah ini:

    Jelaslah bahawa sikap masyarakat menyebabkan pencemaran air berleluasa di mana-mana sahaja. Untuk mengatasinya, kesedaran masyarakat terhadap kebersihan perlu dipupuk. Kempen, ceramah dan pertandingan perlu dijalankan dari semasa ke semasa sehingga masyarakat dapat mendisiplinkan diri dalam aspek kebersihan. Selain itu, peraturan yang sesuai perlu digubal, ditambah atau diubah suai. Dalam masa yang sama, penguatkuasaan yang tegas wajib dilaksanakan untuk memastikan segala program mencapai matlamatnya.

Unsur-unsur Lain yang Penting

Kebanyakan pelajar, khususnya golongan pelajar yang lemah, tidak menitikberatkan hal-hal teknikal dan unsur tatabahasa tertentu. Selain teknik menulis, hal-hal ini juga sangat perlu diberikan perhatian untuk menghasilkan karangan yang berkesan.

Mematuhi jenis karangan dan format

Sesetengah jenis karangan memerlukan pendekatan yang berlainan. Karangan perbincangan perlu diolah secara membincangkan sesuatu isu, seperti tajuk contoh di atas, berbeza dengan karangan berbentuk cerita atau pengalaman. Manakala karangan yang berformat – surat kiriman, syarahan, ceramah, perbahasan, wawancara dan seumpamanya – perlu mematuhi format yang telah ditetapkan.

Bahasa yang berkesan

Bahasa yang tidak berkesan akan melemahkan karangan walaupun mempunyai isi yang kuat. Unsur utama bahasa yang perlu diberikan perhatian ialah pembinaan ayat serta pemilihan frasa dan perkataan yang sesuai. Sebaik-baiknya karangan dibina dengan ayat yang pelbagai jenis atau struktur, iaitu campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk, ayat songsang, ayat biasa, ayat aktif, ayat pasif dan ayat-ayat lain yang sesuai. Frasa yang dibina perlu mengikut Hukum D-M. Manakala perkataan yang dipilih perlu tepat atau jelas untuk menggambarkan sesuatu, misalnya perlu dibezakan di antara ramai dengan banyak. Imbuhan juga harus digunakan dengan berhati-hati supaya sesuai dengan kata dasar dan maksud yang ingin disampaikan.

Ejaan dan tanda baca

Didapati kebanyakan pelajar mengabaikan aspek ini. Ejaan perlu diberikan perhatian kerana setiap kesalahan ejaan akan dipotong setengah markah

sehingga tidak lebih daripada lima markah untuk keseluruhan karangan. Ini termasuklah penggunaan tanda sempang (-) pada kata ganda. Tetapi markah tidak dipotong untuk kesalahan berulang. Banyak pelajar yang tidak menggunakan tanda koma (,), malah tidak juga menurunkan tanda noktah (.) di akhir ayat. Didapati tanda-tanda bacaan yang lain seperti noktah bertindih (:), noktah berkoma (;), dan sempang (-) pula tidak dipedulikan langsung. Tanda-tanda ini jika digunakan di tempat yang tidak sesuai akan menyebabkan ayat yang dibina membawa maksud yang lain, atau salah sama sekali.

Jelasnya, menulis karangan seperti kegiatan lain juga bukanlah kerja yang rumit sekiranya kita memiliki tekniknya. Teknik penulisan boleh diubah suai mengikut kemampuan diri sendiri. Pelajar perlu membiasakan diri dengan teknik tersebut. Pembiasaan boleh dilakukan dengan sentiasa mempraktikkannya, iaitu dengan cara rajin menulis karangan.

Suhaimi Mohd Salleh
Pelita Bahasa,










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com