SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Penggunaan akhbar dalam pengajaran Sejarah

FUNGSI akhbar bukan sekadar saluran menyampaikan maklumat kepada orang ramai, tetapi boleh dimanfaatkan oleh guru dan pelajar sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah.

Keberkesanannya dalam P&P banyak membantu guru melaksanakan proses pengajaran dan menjadikan suasana di bilik darjah aktif dan menarik, sekali gus merangsang minat pelajar untuk memberi tumpuan kepada pelajaran.

Pada masa sama, pelajar juga dapat menambah pengetahuan dengan pelbagai maklumat semasa yang dimuatkan akhbar, sama ada maklumat dalam atau luar negara, di samping bertujuan memantapkan kualiti bahasa.

Penggunaan akhbar melalui konsep Akhbar Dalam Darjah (ADD) yang diperkenalkan Berita Harian boleh membantu tugas guru melaksanakan tanggungjawab dalam pengajaran dengan lebih berkesan.

Ketua Unit Sejarah, Bidang Sains Sosial, Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Noor Zamani Abd Hamid, berkata pendedahan mengenai konsep ADD dapat memberi panduan kepada guru kaedah menggunakan bahan akhbar dalam pengajaran di bilik darjah.

Katanya, tanpa mengetepikan peranan buku teks, akhbar mengandungi banyak bahan seperti gambar, rencana, grafik dan iklan yang boleh diubahsuai dan dijadikan bahan atau bukti sesuatu kejadian yang berlaku di sekitar pelajar.

“Sesuai dengan konsep ADD yang merentas kurikulum, usaha Unit Pendidikan, Berita Harian, melaksanakan program ini membantu golongan pendidik mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran.

“Pendekatan baru dengan suasana pembelajaran aktif tentu sekali menarik minat pelajar untuk mengikuti pengajaran dengan penuh minat,” katanya ketika ditemui sempena Kursus Orientasi Jurulatih Utama Sejarah (Semakan) anjuran PPK, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bengkel ADD yang dibimbing oleh Pengarang Pendidikan, Berita Harian, Ibrahim Saad itu disertai 280 guru sekolah menengah dari seluruh negara.

Kursus lima hari itu membincangkan pelbagai topik yang berkaitan mata pelajaran Sejarah seperti penggunaan ICT dalam P&P Sejarah, Pembelajaran Akses Kendiri, Kajian Masa Depan, Pembelajaran Masteri, Teori Kecerdasan Pelbagai dan Pembelajaran Secara Kontekstual.

Kurikulum Sejarah (Semakan) yang akan dilaksanakan tahun depan mengandungi enam tema iaitu masing-masing tiga tema diajar di setiap tingkatan 4 dan tingkatan 5.

Organisasi kurikulum Sejarah adalah kesepaduan berbentuk ‘intra’ yang berlaku dalam pembelajaran Sejarah yang membabit ilmu (kandungan), kemahiran (struktur disiplin Sejarah:Kemahiran Pemikiran Sejarah) dan penerapan nilai (patriotisme) yang boleh menyuburkan intelek, rohani, emosi dan jasmani dan kesepaduan ini berjalan serentak dalam pengajaran dan pembelajaran secara berterusan.

Noor Zamani lagi, kesepaduan kandungan kurikulum Sejarah lebih menjurus kepada topik seperti Kajian Sejarah Tempatan, Sejarah Negara Malaysia dan Sejarah Negara Luar; unsur patriotisme pula ialah Bangga Sebagai Rakyat Malaysia, Semangat Setia Negara, Semangat Kekitaan, Berdisiplin dan Berusaha dan Produktif.

Sementara itu, unsur dalam struktur disiplin pendidikan Sejarah akan memberi tumpuan kepada topik seperti Inkuiri Dalam Sejarah, Pengumpulan Sumber, Kemahiran Pemikiran Sejarah, Penjelasan Sejarah, Pemahaman Sejarah dan Empati.

Noor Zamani berkata, bengkel Penggunaan Akhbar Dalam P&P Sejarah diadakan antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada guru dan bagaimana ia boleh digunakan secara berkesan termasuk bahan seperti berita, rencana, gambar, ilustrasi dan iklan.




Sumber : Berita Harian





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com