SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Al-Biruni saintis sepanjang zaman

Klik untuk imej jelas/besar NAMA Abu Raihan Mohamad Ibn Ahmad Al-Biruni mungkin agak asing bagi anda. Bagaimanapun apabila disebut sahaja al-Biruni, pasti kebanyakan daripada kita mengenalinya atau sekurang-kurangnya mengaitkan beliau sebagai tokoh ilmuan Islam yang agung.

Al-Biruni sebenarnya adalah seorang cendiakawan dan saintis Islam ternama dalam bidang Fizik, Metafizik, Matematik, Geografi dan Sejarah.

Beliau dilahirkan pada tahun 973.

Berita kebijaksanaan Al-Biruni semasa muda telah tersebar luas sehinggakan sultan yang memerintah ketika itu, Sultan Mahmood Ghaznawi telah membawa Al-Biruni bersamanya untuk menjelajah India beberapa kali.

Peluang pengembaraan ini memberi kesempatan kepada Al-Biruni untuk mengembara seluruh India selama 20 tahun.

Melalui pengembaraan inilah Al-Biruni mempelajari falsafah Hindu, Matematik, Geografi.

Al-Biruni meninggal pada tahun 1048 ketika berumur 75 tahun setelah menghabiskan masa 40 tahun mengumpul dan memberi sumbangan dalam bidang keilmuan.

Beliau merakamkan pemerhatiannya sepanjang menjelajah India dalam kitabnya yang terkenal iaitu Kitab al-Hind yang menerangkan dengan perkataan dan juga lakaran mengenai sejarah dan keadaan sosial benua kecil tersebut.

Penjelasannya mengenai India dalam buku ini sangat lengkap.

Sekembalinya beliau dari India, Al-Biruni telah menulis buku yang terkenal iaitu Qanun-i Masoodi yang ditujukan khas kepada Sultan Masood.

Buku ini membincangkan mengenai beberapa teorem astronomi, trigonometri, solar, lunar dan pergerakan planet.

Dalam satu lagi bukunya yang terkenal, al-Athar al-Baqia, beliau cuba mengaitkan sejarah purbakala dengan pengetahuan geografi.

Dalam buku ini juga beliau membincangkan mengenai pergerakan bumi dan juga telah menyatakan dengan tepat nilai latitud dan longtitud beberapa tempat.

Beliau juga bertanggungjawab memberikan sumbangan kepada beberapa aspek fizikal dan ekonomi geografi.

Satu lagi sumbangan saintifiknya termasuklah penentuan ketumpatan 18 jenis batu.

Al-Biruni turut menghasilkan Kitab-al-Saidana, sebuah kitab perubatan yang menggabungkan ilmu perubatan Arab dan juga India.

Bukunya Kitab-al-Jamahir pula adalah mengenai pelbagai jenis batu-batu yang berharga.

Al-Biruni juga sebenarnya adalah seorang ahli astrologi dan terkenal dengan kemampuannya membuat ramalan yang tepat.

Beliau juga memperkenalkan kaedah garisan sudut dan juga masalah-masalah lain yang tidak mampu diselesaikan menggunakan pembaris atau kompas semata-mata.

Malah, jauh lebih awal daripada zaman saintis-saintis barat, Al-Biruni sebenarnya telah pun membincangkan persoalan sama ada bumi berputar mengelilingi paksinya ataupun tidak.

Lebih menakjubkan lagi, beliau adalah manusia pertama yang menjalankan penyelidikan berkaitan dengan kejadian-kejadian astronomikal.

Kaedah-kaedah yang diperkenalkan oleh Al-Biruni dan juga yang digabungkan dengan saintis-saintis Islam yang lain seperti al-Haitham sebenarnya meletakkan asas kepada sains moden.

Beliau juga bertanggungjawab mengesahkan kelajuan cahaya jauh lebih besar daripada bunyi.

Menurut kajiannya juga, beliau mendapati, bunga mempunyai tiga, empat, lima, enam atau 18 kelopak dan tidak akan mempunyai tujuh atau sembilan kelopak.

Bukunya al-Tafhim-li-Awail Sina merupakan penulisan ringkasan Matematik dan Astronomi.

Dengan segala penyelidikan dan penulisannya dalam pelbagai cabang ilmu ini, tidak hairanlah Al-Biruni dinobatkan sebagai saintis Islam yang tersohor dan tiada tolok banding sepanjang zaman.

Semangat kental, cintakan kebenaran dan pendekatan saintifiknya yang digabungjalinkan dengan toleransi yang tinggi menjadikan beliau seorang saintis yang agung.




Sumber : Estidotmy





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/