SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Rujuk Buku Tatabahasa Dewan

PELAJAR- pelajar perlu merujuk Buku Tatabahasa Dewan untuk mengesahkan sistem ejaan bahasa Melayu yang betul.

Ini juga selaras dengan ketetapan oleh Kementerian Pendidikan untuk memastikan ejaan yang betul dalam penulisan mereka.

Pakar Bahasa, Prof. Emeritus Datuk Nik Safiah Karim berkata, sistem ejaan Bahasa Melayu telah mantap sejak 1972 dengan adanya peraturan mengenai perkara itu.

Katanya, soal kekeliruan pelajar mengenai perbezaan ejaan yang digunakan oleh pihak media atau yang diajar guru sepatutnya tidak timbul jika ia dirujuk kepada buku berkenaan.

``Guru-guru kena baca buku ini sebagai rujukan untuk membetulkan ejaan pelajar, tiada alasan yang kata tiada peraturan,'' katanya ketika ditemui selepas menutup kem jati diri pelajar anjuran Yayasan Pembangunan Insan Cemerlang Kelantan di Kota Bahru, Kelantan baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai rungutan sesetengah pelajar yang bakal menduduki peperiksaan di negeri ini yang keliru dengan pelbagai ejaan dan penggunaan bahasa yang tidak selaras oleh guru dan media.

Perkara itu dikatakan membimbangkan pelajar kerana dikhuatiri akan mendatangkan masalah jika mereka membuat kesilapan ejaan dan tatabahasa semasa menjawab soalan peperiksaan nanti.

Beliau berkata, kekeliruan mungkin timbul jika guru-guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu tidak membaca buku Tatabahasa Dewan yang telah ditetapkan itu.










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/