SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Guru dibenar bawa pulang komputer riba

Oleh: MOHD FAIRUZ YUSOF

KUALA LUMPUR 18 Mac - Kementerian Pendidikan tidak bercadang untuk menghalang guru-guru daripada membawa pulang komputer riba dan paparan cecair kristal (LCD) ke rumah walaupun beberapa kes kecurian peralatan tersebut dilaporkan sejak akhir-akhir ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin berkata, kes kecurian itu hanya berlaku di beberapa buah sekolah dan merupakan kes terpencil dan tidak membimbangkan.

Bagaimanapun beliau menggesa guru besar dan pengetua sekolah supaya membenarkan guru-guru terbabit membawa pulang peralatan itu bagi mengelakkan kes itu berulang.

``Guru-guru akan membuat rujukan di rumah sebagai persediaan mengajar kepada murid-muridnya dan berharap agar guru besar dan pengetua mengambil serius mengenai perkara itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Bantuan Belanja Mengurus 2003 dan pelancaran Direktori Perpustakaan di Malaysia di Perpustakaan Negara di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai pendedahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang kesal dengan sikap sesetengah pengetua dan guru besar yang mengarahkan agar laptop dan LCD disimpan di sekolah sehingga menyebabkan kecurian.

Setiausaha Agungnya, Datuk N. Siva Subramaniam berkata, kesatuan itu menerima banyak laporan mengenai kehilangan komputer dan LCD yang digunakan untuk pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Abdul Aziz berkata, Kementerian Pendidikan tidak bercadang untuk mengeluarkan pekeliling mengenai perkara itu memandangkan peralatan tersebut di bawah tanggungjawab pentadbiran sekolah.

Tambahnya, ia bergantung kepada budi bicara guru besar dan pengetua sekolah sama ada membenarkan guru membawa balik peralatan itu atau tidak.

Dalam pada itu Abdul Aziz meminta kerajaan negeri mengkaji semula jawatan kakitangan dan pegawai perpustakaan di perpustakaan negeri masing-masing untuk diserapkan sebagai kakitangan awam tetap.

Jelasnya, kebanyakan mereka yang bertugas sekarang berkhidmat secara sambilan dan tidak disediakan pelbagai kemudahan seperti kakitangan awam lain.

Jelasnya, dengan adanya jawatan tetap itu, kakitangan tersebut tidak bimbang mengenai keselamatan mereka dan dapat bekerja dengan tenang tanpa memikirkan untuk mencari pekerjaan lain.










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/