SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Windows Server 2003 OS termaju masa kini

MICROSOFT Malaysia (Microsoft) akan melancarkan secara rasmi produk terkininya, Windows Server 2003, 20 Mei depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kira-kira sebulan selepas pelancaran di Amerika Syarikat (24 April).

Windows Server 2003 adalah antara sistem operasi (OS) paling maju dalam industri masa kini yang menyokong keupayaan tinggi untuk persekitaran enterpris.

Pengurus Pemasaran Produk (Platform dan Prasarana Windows Server) Microsoft, KT Ng berkata, produk ini amat dinanti-nantikan pengguna kerana ia menggabungkan dua teknologi utama dalam industri teknologi maklumat (IT), iaitu Microsoft dan Intel.

Katanya, kerjasama kedua-dua pihak (Microsoft dan Intel) akan menyediakan kepada pengguna dengan pengkomputeran 64-bit selain mempertingkatkan keupayaan, pengurusan dan ciri keselamatan pada OS server baru.

“Intel yang pakar dalam pembuatan cip berkuasa tinggi menyediakan kepakarannya untuk digabungkan bersama Windows Server 2003 dan hasilnya membuka peluang untuk sektor perniagaan pelbagai saiz menikmati pulangan besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sempena sidang media Microsoft dan Intel Windows Server 2003, di Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Hadir sama ialah Pengurus Rumusan Perniagaan, Intel Malaysia, Kok Hon Loong.

OS ini menawarkan empat bidang utama seperti meningkatkan produktiviti, beroperasi secara sendiri, sokongan lebih hebat untuk perkomputeran berangkaian dan nilai tinggi kepada industri.

Windows Server 2003 juga mampu bertindak secara optima secara mengambil manfaat daripada perkakasan termaju kritikal yang sudah mempunyai keupayaan server berasaskan pemproses Intel bagi mencabar semua kategori aplikasi.

Ini menjadikan Windows Server 2003 yang berasaskan pemproses Intel mampu mengatasi keperluan kritikal dalam pelbagai bidang prasarana enterpris.

Pengguna harus memanfaatkan Windows Server 2003 ini kerana ia merangkumi kesemua fungsi yang diperlukan termasuk misi kritikal seperti ciri keselamatan, keupayaan dan skalabiliti.

Loong berkata, penggabungan teknologi Intel dan Microsoft ini berupaya menjadi pemacu kepada industri khususnya menjadi platform penting bagi memenuhi keperluan pasaran selain bertindak sebagai satu rumusan lengkap untuk enterpris.

“Produk ini dianggap hebat berdasarkan sokongan industri yang mana dianggarkan lebih 9,000 syarikat menjual produk berasaskan kepada platform Intel dan Microsoft,” katanya.










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/