SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Pengajaran sehala - Hadkan kreativiti, intelektual pelajar

Oleh Marzita Abdullah

PELAJAR-pelajar di negara ini tidak akan muncul sebagai pelajar yang kreatif dan inovatif jika cara pengajaran masih bersifat satu hala.

Contohnya, guru mengajar, pelajar mengambil nota daripada pengajaran guru dan kemudian segala yang diajar `dimuntahkan' semula semasa peperiksaan.

Kaedah sedemikian tidak memberi ruang kepada para pelajar untuk membangunkan kapasiti intelektual masing- masing.

Menurut Pengerusi Express Rail Link (ERL) Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh, kreativiti dan inovasi tidak boleh disogokkan sebaliknya ia hanya boleh dibangunkan jika ia dibantu.

Contohnya, sebelum seseorang guru mengajar, beliau perlu menarik minat pelajar terhadap perkara yang diajar, setelah itu barulah beliau boleh mula mengajar.

Katanya, para pelajar seharusnya mampu memberi pandangan dan diberi cabaran dalam forum-forum terbuka.

``Ini akan membuka minda mereka untuk melihat sesuatu perkara itu daripada perspektif yang berbeza dan menghargai pandangan orang lain,'' katanya.

Selain pelajar, pemimpin juga harus mempelajari kemahiran tersebut kerana seorang pemimpin yang baik bukanlah seorang yang hanya tahu membuat keputusan sebaliknya, dia juga harus menjadi seorang pendengar yang baik.

``Bagi membangunkan kemahiran ini, proses pembelajaran mestilah dua hala iaitu antara seorang guru dan pelajar yang sentiasa bersedia dan terbuka namun yang penting ialah kesediaan dan keterbukaan pelajar itu sendiri,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Kualiti Mahasiswa Dalam Persaingan Globalisasi pada Seminar Majlis Perwakilan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Bangi, baru-baru ini.

Menurut Mohd Nadzmi, kreativiti tidak terhad kepada profesion atau industri tertentu sahaja sebaliknya ia boleh dilakukan dalam semua bidang.

``Yang indah mengenai kreativiti ini ialah kita mampu menjana kekayaan bukan kerana melakukan banyak kerja tetapi dengan hanya melakukan sesuatu dari sudut yang berbeza,'' katanya.

Sementara itu beliau berkata, seorang graduan yang baik bukanlah sekadar `ulat buku', belajar berjam-jam dan memperoleh CGPA 4.0.

``Sebaliknya graduan yang baik adalah mereka yang peka terhadap persekitarannya, mampu berinteraksi dengan orang lain, mampu melahirkan pandangan dan mampu membuat keputusan yang berkualiti dan baik,'' katanya.

Antara kemahiran dan spesifikasi yang harus ada pada seseorang graduan ialah mampu menyelesaikan masalah iaitu mampu menggunakan kemahiran analitikal bukan sahaja bagi mengenal pasti masalah tetapi mencari penyelesaian.

Katanya, graduan harus mampu membuat keputusan iaitu mempunyai pemikiran yang jelas apabila membuat kesimpulan terakhir.

``Graduan harus mampu untuk bekerja dalam kumpulan kerana pada masa ini tiada siapa yang boleh memainkan peranan seorang diri, lazimnya setiap keputusan dibuat dengan usaha berkumpulan,'' katanya.

Graduan harus mempunyai kemahiran merancang iaitu keupayaan untuk melaksanakan sesuatu.

``Mereka juga mesti mampu berkomunikasi dan berinteraksi dengan pihak lain, seseorang itu harus mampu untuk bersuara dan mengeluarkan idea dan pandangan secara efektif pada masa yang sama mampu melahirkan kritikan membina dan menerima kritikan,'' katanya.

Menurut beliau, kreativiti dan inovasi merupakan kemahiran penting yang perlu ada pada setiap graduan untuk memastikan mereka berada di depan dalam persaingan dunia yang semakin mencabar.

Namun menurut Mohd Nadzmi, sebahagian daripada kemahiran tersebut boleh dipelajari dalam persekitaran yang berstruktur seperti menyediakan suatu projek yang dikendalikan oleh sebuah kumpulan.

Beliau berkata, pihak universiti boleh menggalakkan aktiviti-aktiviti sedemikian dengan memasukkannya dalam sistem penggredan sebagai usaha tambahan.

``Bagaimana pun saya secara peribadi tidak mencadangkan sistem kredit yang membenarkan para pelajar mengganti mata pelajaran tertentu dengan aktiviti ko-kurikulum, mungkin sistem markah bonus lebih baik,'' katanya










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/