SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Pertandingan video cungkil kreativiti, imaginasi pelajar

Oleh Norzilawati Abdul Halim

KEMENTERIAN Pendidikan dengan kerjasama Apple Malaysia menganjurkan Pertandingan Video in Education (Pendidikan Menerusi Video) peringkat kebangsaan 2003, bagi mencungkil daya kreativiti dan imaginasi pelajar dalam proses pembelajaran.

Pengarah Bahagian Sekolah, Datuk Kusaini Hasbullah, berkata pembelajaran melalui pendekatan alat audio video digital dapat membantu pelajar mendalami subjek dipelajari malah memberi pendedahan daripada sudut penerbitan video pendek.

Beliau berkata, pertandingan itu dibuat berdasarkan kejayaan projek perintis e-Learning for Life yang dilaksanakan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di enam sekolah menengah pinggir bandar menggunakan kaedah berkenaan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P).

“Ia adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menggalakkan pelajar menggunakan daya kreativiti mereka dalam mempersembahkan subjek sains, matematik atau teknologi dalam bahasa Inggeris.

“Sehubungan itu, antara syarat menyertai pertandingan ini mesti menghasilkan penerbitan untuk ketiga-tiga tema yang disebutkan tadi untuk siaran selama lima minit,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Bandar Damansara, baru-baru ini.

Hadir sama Pengurus Besar Apple Malaysia, VS Lingam, Pengarah Bersekutu Komunikasi Korporat, Nasional Panasonic (M) Sdn Bhd, Shahar Noor dan Pengarah Urusan Kino-i Sdn Bhd, Syazril Imri Amir Hamzah.

Nasional Panasonic dan Kino-i adalah penaja rasmi pertandingan yang akan diadakan akhir bulan depan, manakala pemenangnya akan diumumkan pada September depan, sempena Karnival Sains dan Teknologi di Kuantan, Pahang.

Kusaini berkata, penerbitan video daripada pelajar juga dapat digunakan sebagai bahan rujukan dan pembelajaran di dalam kelas.

“Oleh kerana setiap sekolah dibekalkan alat bahan mengajar multimedia untuk kegunaan guru, pertandingan ini boleh menggalakkan pelajar mendapat pendedahan mengenai penerbitan video digital,” katanya.

Pertandingan terbuka kepada semua sekolah menengah tingkatan satu dan dua. Mereka hendaklah menghantar kerangka cerita yang menarik dan kreatif untuk jangkamasa tidak lebih lima minit.

Lima belas pasukan sekolah yang terpilih ke peringkat akhir akan diberi bengkel dikendalikan Kino-i Sdn Bhd dan Apple Malaysia mengenai proses penerbitan video.

Pasukan sekolah yang mendapat tempat pertama akan membawa pulang seunit iMac G4 17” SuperDrive, seunit kamera video digital Nasional Panasonic, lima unit pemain cakera padat untuk pelajar dan guru, piala dan sijil penyertaan untuk sekolah serta setiap peserta dan guru turut menerima sijil penyertaan.

Tempat kedua menerima seunit iMac G4 15” Combo, seunit kamera video digital Nasional Panasonic, piala dan sijil penyertaan untuk sekolah dan setiap peserta menerima sijil penyertaan.

Sementara tempat ketiga seunit eMac G4 CD-ROM, seunit kamera video digital (NV-DS65EN) Nasional Panasonic, piala dan sijil untuk sekolah dan setiap peserta.

Tempat keempat, menerima seunit eMac CD-ROM, seunit kamera video digital (NV-DS60EN) Nasional Panasonic, piala dan sijil untuk sekolah dan sijil untuk setiap peserta.

Tarikh tutup penghantaran kerangka cerita ialah pada 20 Jun ini dan hantarkan kepada Pengarah, Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia, Paras 5, Blok J (Selatan), Pusat Bandar Damansara 50604 Kuala Lumpur (u.p: Cyril Christopher Singham)










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/