SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Guru SAR - Peluang nikmati habuan lebih baik

Oleh Zalina Yahaya

JIKA soal terpinggir dan rendah diri dibangkitkan, pastinya mereka yang akan paling terasa ialah guru-guru sekolah agama rakyat (SAR).Walaupun memegang gelaran guru yang tinggi martabatnya di dalam masyarakat (tambahan pula mereka adalah guru-guru agama), habuan yang diterima tidak setimpal dengan apa yang dicurahkan.

Bagi mereka yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), gaji diterima hanyalah RM437 sebulan setelah ditolak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Manakala bagi lulusan ijazah sama ada universiti tempatan atau luar negara (terutamanya daripada universiti-universiti dari Timur Tengah), gaji yang diterima ialah dalam lingkungan RM1,200.

Pembayaran gaji dibuat sama ada oleh Majlis Agama Negeri ataupun lembaga pengelola SAR.

Lebih menyedihkan, bagi guru-guru SAR ini, mereka tidak menikmati kenaikan gaji tahunan, kenaikan pangkat dan pinjaman perumahan serta kereta seperti mana yang dinikmati oleh guru-guru kerajaan.

Mereka juga tidak menikmati sebarang elaun khusus seperti elaun mata pelajaran kritikal dan juga elaun tugas luar daerah.

Selain itu tidak seperti guru-guru sekolah kebangsaan yang mendapat latihan lengkap sama ada di maktab-maktab perguruan atau universiti tempatan, guru-guru SAR mengajar berdasarkan pengalaman dan sedikit ilmu yang dimiliki.

Mungkin faktor inilah yang menyebabkan ganjaran yang diterima tidak setanding apa yang diperolehi guru-guru sekolah kerajaan yang menerima latihan profesional dalam bidang keguruan.

Justeru, kesediaan kerajaan untuk menyerap lebih 11,000 guru SAR seharusnya disambut dengan tangan terbuka oleh golongan ini.

Selain soal imbuhan dan kebajikan yang pastinya jauh lebih baik daripada apa yang dinikmati sekarang, perkara penting yang perlu ditimbangkan oleh guru-guru ini ialah dari segi latihan keguruan yang lebih sempurna.

Dengan pengalaman mengajar dan ilmu yang dimiliki, pastinya latihan keguruan di maktab-maktab atau universiti yang akan dijalani mereka merupakan satu nilai tambah kepada mereka bagi memantapkan lagi profesionalisme mereka sebagai seorang guru.

Selain itu, sudah pastilah imbuhan yang diterima jauh lebih baik daripada apa yang dinikmati.

Sekadar mengambil kira soal gaji, gaji minimum yang akan diterima oleh seorang guru sekolah kebangsaan yang kini semuanya bertaraf diploma ialah RM1,374 iaitu kenaikan lebih tiga kali ganda daripada apa yang dinikmati sekarang.

Bagi guru ijazah pula, gaji permulaan guru yang baru tamat pengajian ialah RM1,809.

Ini belum mengambil kira pelbagai elaun dan kemudahan lain yang dinikmati oleh guru sekolah kebangsaan selaku pegawai kerajaan, termasuklah pencen bulanan.

Mengambil pelbagai keistimewaan ini, guru-guru SAR sepatutnya menyambut tawaran berharga ini selagi ia masih terbuka.

Mereka perlu sedar bahawa dalam membuat tawaran ini, kerajaan sebenarnya membuat keputusan yang penuh risiko.

Bagaimanapun, demi menjaga kebajikan guru-guru SAR ini, pelawaan ini perlu dilakukan.

Ia adalah satu langkah penuh risiko kerana jika silap langkah, keputusan ini akan menjadi faktor penolak kepada ibu bapa bukan Melayu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan.

Kemasukan SAR ke sekolah-sekolah kebangsaan mungkin akan `menakutkan' ibu bapa pelajar bukan Melayu yang akan melihatnya sebagai satu usaha untuk mengislamkan sekolah kebangsaan.

Sedangkan pada masa yang sama, kerajaan kini dalam proses menjadikan sekolah kebangsaan lebih menarik dan boleh diterima oleh semua kaum di negara ini.

Bagaimanapun kita yakin, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan mempunyai caranya tersendiri untuk mengelakkan proses penyerapan guru-guru SAR ini daripada menjadi isu besar yang akan menjauhkan sekolah kebangsaan daripada pelajar bukan Melayu.

Di pihak kerajaan sendiri, selain memberikan latihan keguruan secara profesional kepada bekas guru SAR ini, satu aspek penting yang tidak harus terlepas pandang ialah dalam memastikan mereka menjalani program `pemutihan'.

Perkara ini penting kerana rekod kebanyakan SAR yang menjadi lubuk kepada penyebaran sentimen `anti-establishment'.

Kemungkinan bekas guru SAR untuk menyambung agendanya ke sekolah-sekolah kebangsaan tidak harus kita ketepikan.

Justeru, langkah-langkah proaktif dan berjaga-jaga perlu dilakukan.

Bagaimanapun, kita yakin hanya segelintir guru SAR sahaja yang terlibat dengan masalah ini.

Sebahagian besar lagi adalah guru yang benar-benar ikhlas dan komited memberikan pendidikan agama kepada anak-anak Melayu yang dahagakan ilmu akhirat.

Nasib guru-guru SAR yang benar-benar komited inilah yang perlu dibela kerana bukan mudah untuk kita mencari orang yang benar-benar berkelayakan membimbing anak-anak kita ke jalan yang benar.










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/