SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Peralatan multimedia mudahkan pengajaran, pembelajaran

Oleh Syuhada Choo Abdullah

PENGGUNAAN laptop dan projektor paparan cecair kristal (LCD) lengkap dengan pembesar suara sebagai alat bantu mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris berjaya mencetuskan suasana pembelajaran yang menyeronokkan, sekali gus menarik minat pelajar mengikutinya.

Tinjauan Berita Harian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, baru-baru ini, mendapati proses pengajaran dan pembelajaran Matematik tingkatan satu di makmal komputer sekolah itu berjalan lancar.

Senario positif itu mengikis keraguan dan kegelisahan pelajar untuk mengikuti pembelajaran subjek kritikal itu dalam bahasa Inggeris, selepas mempelajarinya menggunakan bahasa Melayu selama enam tahun di sekolah rendah.

Perkembangan memberangsangkan itu turut diakui guru dua mata pelajaran terbabit dalam pelaksanaan dasar berkenaan mulai sesi persekolahan ini, iaitu Siti Zakiah Anis dan Sharifah Lok Lok Syed Mohamad.

Siti Zakiah, 29, mengaku seronok dengan pembaharuan itu dan menyifatkannya sebagai langkah yang bukan saja memanfaatkan pelajar tetapi juga guru sendiri kerana mereka berpeluang mempertingkat penguasaan bahasa Inggeris serta kemahiran komputer.

Beliau yang berpengalaman enam tahun mengajar Matematik di sekolah menengah berkata, menyertai beberapa kursus persediaan, termasuk English for the Teaching of Mathematics and Science (ETeMS) dan kandungan mata pelajaran serta perisian dalam bahasa Inggeris, berjaya membina serta menguatkan keyakinannya untuk melaksanakan pembaharuan itu dengan baik.

“Selepas mengikuti kursus berkenaan, guru bersemangat tinggi untuk menjayakan pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Selagi belum mencuba, memanglah berasa susah tetapi sebenarnya tidak.

“Tambahan pula, di samping persediaan melalui kursus, Kementerian Pendidikan juga banyak memberi bantuan kepada guru dengan membekalkan pelbagai kemudahan bantu mengajar yang menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran semakin menarik.

“Malah, saya kini lebih berani bercakap dalam bahasa Inggeris berbanding sebelum ini. Saya juga berusaha melatih diri berkomunikasi dalam bahasa berkenaan dengan ahli keluarga dan rakan, selain guru bahasa Inggeris yang banyak memberi sokongan serta bantuan,” katanya.

Siti Zakiah berkata, pelajar memberi respon baik dan tertarik dengan pembelajaran berbantukan teknologi komputer. Mereka juga didapati tidak menghadapi banyak masalah untuk memahami pengajaran yang disampaikan dalam bahasa Inggeris.

“Saya sentiasa menasihati pelajar supaya jangan berasa takut atau bimbang dengan pelaksanaan ini, lagipun bahasa Inggeris yang digunakan adalah mudah bersesuaian dengan tahap penguasaan mereka. Saya juga berusaha memastikan pemahaman mereka dengan membuat latihan selepas pengajaran sesuatu topik.

“Jika ada masalah, penerangan akan diselang-selikan dengan penggunaan bahasa Melayu. Sebagai golongan guru perintis dalam pembaharuan ini, saya berharap pelaksanaan akan berjaya dan berjalan lancar. Sokongan semua pihak amat penting, terutama ibu bapa, demi masa depan generasi pelapis negara,” katanya.

Sementara itu, Sharifah Lok Lok, 37, juga berpendapat bahawa pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris amat baik, selain mendapat sokongan positif daripada guru dan pelajar.

Sebagai guru penyelaras subjek Sains tingkatan satu dan mengajar Matematik tingkatan dua, beliau berkata, penggunaan perisian dan alat canggih itu meningkatkan lagi pemahaman pelajar terhadap Sains kerana penerangannya lebih jelas berbanding kaedah konvensional.

“Pada awalnya memang berasa janggal tetapi lama-kelamaan menjadi lancar. Yang penting ialah mempraktikkannya. Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris memang baik dan sepatutnya dimulakan sejak dulu lagi,” katanya.










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/