SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Yang Indah Itu Bahasa: Menguasai bahasa dengan baik

Bersama Dr Nik Safiah Karim

PADA masa ini banyak orang bercakap tentang perlunya kita menguasai bahasa dengan baik. Di negara kita, ini selalunya ditujukan kepada penguasaan dua bahasa, iaitu menguasai bahasa kebangsaan dengan baik dan juga menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Tetapi tidak ramai yang tahu apakah sebenarnya maksud ungkapan "menguasai bahasa dengan baik" ini. Oleh itu, ada baiknya kita merenung sejenak dan cuba memberi pengertian kepadanya.

Pertama, sesetengah orang memahami ungkapan ini sebagai keupayaan bercakap dalam sesuatu bahasa dengan baik. Dengan kata lain, kalau kita dapat berhubung secara lisan dengan baik dalam sesuatu bahasa, maka kita dianggap sudah menguasai bahasa itu dengan baik.

Sebenarnya, berhubung secara lisan ini mempunyai pelbagai bentuk. Jikalau kita dapat membeli-belah di pasar dalam suatu bahasa, katalah dalam bahasa Inggeris apakah kita boleh dikatakan sudah pandai menggunakan bahasa itu? Bagaimana pula keupayaan menggunakan bahasa itu pada tahap yang lebih tinggi, seperti memberi ucapan pendek atau menyampaikan arahan ke sesuatu tempat kepada orang yang tidak kenal akan tempat itu?

Kadang-kadang seseorang yang pandai berbahasa lisan belum lagi menguasai semua aspek bahasa itu, misalnya ejaannya dan hukum-hukum tatabahasanya, yang amat penting dalam bentuk tulisan. Oleh itu, bagi orang lain pula, ukuran menguasai bahasa yang baik dibuat berdasarkan keupayaan menulis dengan baik dalam sesuatu bahasa.

Jikalau seseorang itu pandai mengarang esei atau boleh menulis sebuah rencana pendek, maka dia dianggap pandai dalam bahasa itu. Dalam hal ini, yang diandaikan ialah tulisan itu tidak mengandungi kesalahan-kesalahan yang tidak sepatutnya dibuat.

Di sini kita berhadapan dengan satu lagi kriteria tentang penguasaan bahasa, iaitu penggunaan bahasa yang tidak dicacatkan oleh kesalahan-kesalahan yang menonjol, seperti kesalahan tatabahasa, ejaan, dan pilihan perkataan atau istilah yang tidak tepat.

Aspek ini memang penting. Sudah banyak kali kita membaca tulisan seseorang yang, walaupun mengandungi isi yang baik, dirosakkan oleh penguasaan hukum tatabahasa yang lemah serta oleh kesalahan yang lain seperti ejaan, penggunaan bunga bahasa yang terlalu banyak atau yang tidak sesuai dengan maksud yang ingin disampaikan.

Jelas sekali terdapat pelbagai tahap penguasaan pada sesuatu bahasa. Penguasaan bahasa yang baik tidak hanya bererti dapat bercakap atau menulis dengan baik, tetapi juga keupayaan menguasai segala hukum-hakamnya. Maka itu, mempelajari sesuatu bahasa memang tidak mudah. Banyak aspek yang perlu dikuasai sebelum seseorang itu benar-benar dikatakan pandai menggunakan sesuatu bahasa.

Di samping itu, bagi sesetengah orang, terdapat satu lagi ukuran bagi menentukan sama ada seseorang itu benar-benar menguasai sesuatu bahasa. Caranya ialah dengan melihat penguasaan orang itu dalam bidang kreatif. Dengan kata lain, jikalau seseorang itu dapat menghasilkan karya-karya kreatif seperti sajak, cerpen, novel dan sebagainya dalam bahasa itu, terutama bahasa yang bukan bahasa ibundanya, ia dikatakan telah menguasai bahasa berkenaan.

Kalau ada orang Malaysia, misalnya, yang dapat menghasilkan sebuah novel yang baik dalam bahasa Inggeris, yang diakui oleh penutur aslinya atau oleh pengkritik yang terkenal, maka dia dikatakan telah menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Demikian juga, jikalau seseorang bangsa lain selain bangsa Malaysia dapat menghasilkan sebuah karya kreatif dengan baik dalam bahasa Melayu, dia juga boleh dikatakan telah menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Dalam konteks negara Malaysia, yang diharapkan ialah agar rakyat kita dapat menguasai dengan baik sekurang-kurangnya dua bahasa, kalau tidak tiga atau empat bahasa. Dua bahasa yang dimaksudkan ialah bahasa kebangsaan negara kita dan bahasa Inggeris.

Secara amnya, dengan penguasaan yang baik dimaksudkan penguasaan pada tahap lisan dan tulisan yang memuaskan. Tahap "memuaskan" ialah tahap penggunaan bahasa (lisan dan tulisan) yang baik, jelas, dan tidak mengandungi kesalahan. Rakyat Malaysia diharap dapat menggunakan bahasa kebangsaan negara sebagai saluran untuk berhubung sesama sendiri dalam konteks masyarakat kita sehari-hari.

Bagi bahasa Inggeris pula, yang diharapkan ialah penguasaan yang akan membolehkan kita berhubung dengan dunia luar dan juga sebagai bahasa untuk mencari ilmu pengetahuan dan maklumat yang ditulis dalam bahasa tersebut.










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/