SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Guru diberi surat tunjuk sebab jika murid gagal 3M

Oleh Alias Ismail

KUALA TERENGGANU: Mulai tahun ini, pengetua guru besar dan guru kelas akan diberikan surat tunjuk sebab jika ada murid yang gagal menguasai kemahiran asas iaitu menulis, membaca dan mengira (3M), dalam tempoh ditetapkan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat, berkata guru kelas perlu memberi penjelasan jika ada murid masih tidak boleh membaca perkataan dan ayat mudah yang sesuai dengan usia mereka, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Guru besar pula akan menerima surat yang sama jika masih ada murid gagal menguasai kemahiran 3M selepas mengikuti pengajian selama enam tahun di sekolah rendah.

Malah, pengetua juga akan diberikan surat itu jika ada di kalangan pelajar yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) masih tidak lancar membaca, kurang mahir mengira dan tidak bermutu tulisannya.

“Tindakan ini bertujuan memastikan semua pelajar, terutama murid tahun satu, tidak menjadi mangsa kealpaan guru,” katanya selepas melancarkan buku Berburu di Padang Datar di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Bukit Besar, di sini semalam.

Abdul Rafie berkata, walaupun tidak ramai pelajar yang gagal menguasai kemahiran asas 3M selepas menamatkan pengajian di tingkatan tiga, kewujudan golongan itu serta masalah yang mereka hadapi perlu ditangani segera.

Beliau berkata, kementerian tidak akan berkompromi dengan perkara itu kerana tidak mahu ada pelajar ketinggalan dalam arus perdana selain meletakkan negara lebih ke hadapan pada peringkat antarabangsa.

Katanya, kegagalan pelajar menguasai 3M dalam tempoh enam bulan pertama akan membebankan guru yang mengambil alih tugas pada tahun berikutnya.

“Guru kelas perlu bersungguh-sungguh, guru besar pula wajar sentiasa melakukan pemantauan. Kalau ada kerjasama seumpama itu, masalah kegagalan pelajar menguasai 3M tidak akan berlaku.

“Kalau masih gagal, kita akan siasat. Jika benar berpunca kealpaan guru, mereka akan diberi surat tunjuk sebab dan jika sangat serius, kita akan panggil untuk mendengar penjelasan mereka,” katanya.

Beliau berkata, kementerian memandang serius masalah keciciran pelajar dan meminta guru meningkatkan keprihatinan mereka termasuk menjayakan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Katanya, guru tidak wajar melihat surat tunjuk sebab itu sebagai suatu ancaman tetapi menganggapnya peringatan supaya mereka lebih bersedia membentuk kecemerlangan di kalangan pelajar.










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/