SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

BI: RM385j belanja persiapan awal

KUALA LUMPUR 3 Jan. - Sebanyak RM385 juta telah dibelanjakan sebagai persiapan awal pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (P&P) subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Aziz Samsuddin berkata, kos berkenaan melibatkan semua perkara dalam pelaksanaan dasar baru itu termasuk pembelian peralatan teknologi informasi dan komunikasi (ICT) dan menyiapkan makmal komputer di sekolah-sekolah.

``Memang pelaksanaan dasar itu memerlukan peruntukan kewangan yang tinggi (namun) segala persiapan kini hanya tinggal kurang daripada 10 peratus untuk beroperasi sepenuhnya sebelum sekolah dibuka Isnin ini,'' katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai persiapan terakhir kementerian untuk melaksanakan dasar baru kerajaan sempena pembukaan sesi persekolahan 2003 bermula minggu depan.

Berdasarkan statistik kementerian yang dikeluarkan hari ini, kira-kira 526,219 murid tahun satu akan menjadi kumpulan pertama mengikuti P&P subjek-subjek itu dalam bahasa Inggeris.

Sehingga kini, sebanyak 9,000 buah sekolah di seluruh negara telah pun dilengkapi dengan peralatan ICT bagi melaksanakan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Peralatan berkenaan termasuk komputer riba, projektor LCD, unit bekalan tenaga tanpa gangguan, set televisyen dan perisian komputer.

Dalam pada itu, Aziz menyatakan keyakinannya bahawa semua guru terbabit dalam perubahan dasar itu kini bersedia untuk mengajar sama ada kepada pelajar tahun satu, tingkatan satu atau tingkatan enam.

Tambahnya, guru-guru berkenaan telah pun membuat persiapan sejak beberapa bulan lepas dengan konsisten walaupun terdapat khabar angin menyatakan terdapat segelintir pengetua dan guru besar yang tidak yakin dengan kemampuan mereka.

``Saya kira khabar angin itu tidak benar dan mereka (guru-guru) telah bersedia untuk mengajar,'' tegasnya.

Mengenai penyediaan makmal komputer di sekolah-sekolah, beliau memberitahu, semua persiapan telah dilakukan kecuali di Sarawak dan Sabah.

Jelasnya, terdapat sedikit kelewatan di kedua-dua negeri itu kerana faktor muka bumi yang terpaksa mengambil tempoh yang lebih lama berbanding negeri-negeri lain.

``Kementerian sekarang bekerja secara agresif, saya harap mereka di Sarawak dan Sabah dapat bersabar. Apa pun di negeri lain, semua makmal itu telah siap sebanyak 98.5 peratus dan boleh digunakan,'' katanya.










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/