SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Kerajaan disaran adakan Hari Profesional Guru

MATLAMAT Kementerian Pendidikan untuk mempertingkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam aspek perancangan pengajaran, pengurusan kelas dan penilaian di kalangan guru masih gagal tercapai sepenuhnya, kata Pengarah Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Dr Sharifah Maimunah Syed Zin.

Beliau berkata, hasil kajian bertajuk ‘Keberkesanan Program Latihan Dalam Perkhidmatan (1999)’ oleh Kementerian Pendidikan menunjukkan bahawa tuntutan tugas, kepadatan jadual waktu serta kekangan masa tidak memberi peluang kepada guru untuk saling berkongsi pengetahuan dan kemahiran dengan rakan sejawat, sama ada di sekolah masing-masing ataupun yang lain.

Selain itu, katanya, pembabitan secara langsung guru dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah turut menyebabkan ruang serta peluang untuk mereka berinteraksi semakin berkurangan.

"Walaupun ada usaha dalam program kemajuan staf, ini tetap tidak mencukupi untuk memberi manfaat kepada semua guru kerana gagal dilaksanakan secara sistematik dan berstruktur.

"Kebanyakan program kemajuan staf tidak menjamin perkembangan profesionalisme guru kerana pengisiannya hanya menitikberatkan aspek kandungan semata-mata tanpa mengambil kira dari segi proses dan konteks.

"Keadaan ini tidak dapat memastikan perkembangan menyeluruh dan berterusan pada peringkat individu guru itu sendiri, rakan sejawat serta organisasi," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk `Hari Profesional Guru', pada Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Malaysia di Kuala Terengganu, semalam.

Dr Sharifah Maimunah berkata, perkembangan profesionalisme guru berkualiti amat penting, malah Sasaran Kerja Utama (SKU) Kementerian Pendidikan pada 1994 turut menyarankan supaya semua pendidik diberikan peluang untuk menghadiri sekurang-kurangnya sekali kursus dalam perkhidmatan setahun.

Beliau berkata, Pengerusi Jawatankuasa Induk Perkembangan Staf Kementerian Pendidikan sudah mengetengahkan hasrat supaya kualiti pendidikan dipertingkatkan sekali gus menyediakan peluang berkaitan yang secukupnya.

Katanya, hasrat itu boleh dicapai melalui penganjuran kursus jangka panjang dan pendek, seminar serta bengkel yang menekankan penguasaan ilmu dan kemahiran pedagogi terkini dan juga relevan untuk menghasilkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, terutama dalam bidang kritikal seperti Sains, Bahasa Inggeris, Matematik dan bidang berkaitan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Dalam konteks ini, katanya, penganjuran Hari Profesional Guru boleh memberi impak terhadap perkembangan pendidikan di sekolah dan kejayaan program itu memerlukan perancangan rapi, personel berkelayakan, pelaksanaan terancang serta kemudahan lain yang menyokong pelaksanaannya.

Sebenarnya di Barat, beliau berkata, program Hari Profesional Guru disusun secara terancang, sistematik serta berstruktur dan disenaraikan sebagai antara agenda tahunan untuk mempertingkatkan profesionalisme guru.

Sebagai contoh di Kanada, katanya, Hari Profesional Guru diadakan tiga kali setahun pada peringkat daerah atau zon, begitu juga di United Kingdom yang dilaksanakan di peringkat sekolah.

Dari segi konsep pelaksanaan Hari Profesional Guru di negara ini pula, Dr Sharifah Maimunah berkata, satu atau dua hari berasingan setahun diperuntukkan khusus bagi penataran ilmu dari segi kemahiran pedagogi serta pengetahuan baru guru dengan mengadakan aktiviti seperti ceramah, bengkel dan perbincangan.

"Seterusnya aktiviti sangat berfokus, lebih kepada `practical know-how' atau `technical know-how', diadakan pada hari persekolahan tanpa kehadiran pelajar, dilaksanakan sama ada di peringkat sekolah atau secara berkelompok ataupun peringkat daerah di mana beberapa sekolah digabungkan untuk menjalani bersama program itu.

"Selain itu, program dirancang secara berstruktur dan merangkumi aspek seperti kemahiran pedagogi, pengurusan dan penilaian bilik darjah, pengetahuan serta pengurusan mata pelajaran dan pengetahuan lain yang menyokong pelaksanaan kurikulum.

"Fokus utama mestilah berpaksikan pada isu harian yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, kokurikulum, pengurusan serta pentadbiran sekolah. Setiap guru mesti hadir dan terbabit dalam aktiviti yang dirancang mengikut pengkhususan mereka," katanya.

Dr Sharifah Maimunah berkata, antara cadangan bidang yang boleh dijalankan pada Hari Profesional Guru ialah kemahiran pedagogi, perkembangan dan perubahan pendidikan, penilaian bilik darjah, pengurusan kelas, pengurusan dan pentadbiran sekolah, penyelidikan dan pembangunan, kokurikulum serta hal ehwal pelajar.

Beliau juga mencadangkan antara aktiviti yang boleh diadakan pula ialah teknik pedagogi dan amalan terbaik yang terkini serta berkesan, penggunaan dan aplikasi teknologi serta komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, ceramah mengenai kawalan salah laku di kalangan pelajar oleh pegawai polis daerah, forum berkaitan isu pendidikan, dan bengkel penghasilan sumber pengajaran dan pembelajaran untuk meningkatkan pencapaian mata pelajaran, terutama subjek kritikal.

Katanya, ada tiga model pelaksanaan Hari Profesional Guru, iaitu berasaskan sekolah sendiri, secara kelompok kecil, dan secara kelompok peringkat daerah.

"Diharapkan pelaksanaan Hari Profesional Guru dapat meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini," katanya.

"Pegawai pendidikan daerah (PPD) atau bahagian (PPB) ialah pengurus utama dan dipertanggungjawabkan kepada pengarah jabatan pendidikan negeri (JPN) untuk mengenal pasti kelompok sekolah dalam daerah terbabit, kepakaran serta menyediakan program sehari".




Sumber : Berita Harian





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/