SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Tiga peringkat B. Inggeris -- Sains, Matematik di tahun 1, tingkatan 1 dan 6 rendah mulai 2003

Oleh: AINUL ASNIERA AHSAN

SEREMBAN 20 Julai - Mata pelajaran Sains dan Matematik akan diajar sepenuhnya dalam bahasa Inggeris di tahun 1, tingkatan 1 dan tingkatan 6 rendah di sekolah kebangsaan mulai tahun depan.

Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad berkata, Mesyuarat Khas Kabinet semalam memutuskan bahawa pengajaran bahasa Inggeris bagi kedua-dua mata pelajaran itu diperkenalkan bagi pelajar di tiga peringkat tersebut.

Ini bermakna, murid tahun 2 hingga enam dan pelajar tingkatan 2 hingga 5 serta 6 atas pada tahun hadapan tidak terlibat dengan dasar baru ini.

Bagaimanapun, kata beliau, kelas-kelas atau tingkatan yang tidak terlibat dengan dasar ini serta sekolah-sekolah yang mampu mengendalikannya digalakkan melaksanakannya.

Dengan pelaksanaan dasar tersebut tahun hadapan, peperiksaan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris bagi dua mata pelajaran itu pada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) hanya dilaksanakan pada tahun 2008, apabila murid kumpulan pertama ini berada di tahun 6.

Di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR), peperiksaan dalam bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik ini dilaksanakan pada tahun 2005, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun 2004, manakala Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2007.

Menurut Musa, pelaksanaan dasar baru ini di peringkat Kolej Matrikulasi pula bermula pada tahun 2004, manakala di Politeknik pada tahun 2008, selepas pelajar perintis menduduki peperiksaan SPM sepenuhnya dalam bahasa Inggeris (bagi Sains dan Matematik) pada tahun tahun 2007.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menutup sambutan ulang tahun ke-20 Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, dekat sini, hari ini.

Beliau memberitahu, Jawatankuasa Pelaksana yang diketuai Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat telah mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk pendidik, ahli akademik, majlis guru besar/pengetua, kesatuan guru dan orang ramai ketika merangka dasar tersebut.

``Kementerian Pendidikan memperuntukkan masa selama tujuh tahun untuk pelaksanaan dasar ini. Tempoh ini dianggap paling sesuai bagi membolehkan murid- murid dan para pelajar menguasai bahasa Inggeris mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing,'' ujarnya.

Menurut Musa lagi, pada peringkat percubaan, kementeriannya akan melaksanakan semua peperiksaan dalam dwibahasa mulai tahun depan.

Katanya, sepanjang tempoh percubaan itu, murid-murid dan para pelajar dibenarkan menjawab soalan peperiksaan dalam dua bahasa sama ada bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu.

Bagaimanapun, kata beliau, murid-murid dan para pelajar perlu menjawab dalam bahasa Inggeris apabila peperiksaan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa tersebut pada tahun 2008 nanti.

Mengulas mengenai pelaksanaan dasar itu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, beliau memberitahu, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat parti komponen Barisan Nasional.

Menurut beliau, segala keputusan berhubung perkara itu terserah kepada pemimpin-pemimpin parti berkenaan.

Ditanya mengenai buku teks bagi keperluan pengajaran, Musa berkata: ``Itu bukan menjadi satu masalah kerana Kementerian Pendidikan akan menjalankan penterjemahan.

``Penterjemahan buku dua mata pelajaran itu akan dibuat secara berasingan dan bukan dwibahasa,''.

Selain itu, beliau memberitahu, semua sekolah bebas menjalankan usaha untuk membantu murid-murid dan para pelajar mengusai bahasa Inggeris.

Musa berkata, kementeriannya sedia memberi segala bentuk bantuan yang diperlukan kerana pelaksanaan dasar itu merupakan satu kepentingan utama negara untuk memastikan generasi akan datang mampu bersaing dengan dunia luar.

Katanya, keutamaan akan diberikan kepada pembekalan infrastruktur Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) seperti komputer notebook, projektor LCD dan skrin serta bahan-bahan interaktif ke sekolah-sekolah.

Isu bahasa Inggeris tercetus awal Mei lalu apabila Awang Sulung dalam ruangan pojoknya di Mingguan Malaysia mencadangkan kerajaan mewujudkan semula sekolah aliran Inggeris bagi memperluaskan penguasaan ilmu di kalangan pelajar.

Cadangan tersebut mendapat pandangan pro dan kontra daripada masyarakat termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang bersedia menimbangnya jika rakyat mahu ia dilaksanakan.

Bagaimanapun Majlis Tertinggi (MT) UMNO menolak cadangan tersebut tetapi membuat keputusan melaksanakan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris selain memperkenalkan Kesusasteraan Inggeris Semasa (kontemporari) di sekolah mulai tahun hadapan.




Sumber : Utusan Malaysia





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com