SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Projek Pengkomputeran Sekolah Fasa Ketiga 2003

Kementerian Pendidikan akan memulakan Projek Pengkomputeran Sekolah Fasa Ketiga yang membabitkan hampir 7,000 buah makmal komputer untuk sekolah di seluruh negara, awal tahun depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Ambrin Buang berkata, fasa itu diharap bermula sebaik sahaja projek Fasa Pertama dan Kedua yang melibatkan lebih 2,000 buah sekolah siap penghujung tahun ini.

``Fasa sedia ada yang dalam pembinaan itu sebenarnya hampir siap dan kementerian kini dalam proses pemilihan kontraktor bagi fasa ketiga setelah kerajaan meluluskan projek ini diteruskan pula untuk baki sekolah yang belum terlibat,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas mewakili Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad dalam majlis menandatangani Perjanjian Pelesenan Utama bersama dengan Telekom Smart School Sdn. Bhd. (TSS) di sini, hari ini.

Perjanjian berkenaan membolehkan TSS menerima segala hak cipta perkakasan dan aplikasi Projek Rintis Sekolah Bistari daripada Kementerian Pendidikan bagi dipasarkan kepada pihak lain yang berminat termasuk ke negara-negara luar.

Ambrin berkata, pelaksanaan projek fasa ketiga itu akan menggunakan pendekatan fasa kedua dengan penglibatan sepenuhnya kontraktor kelas F dan setiap kontraktor pula dikehendaki menyiapkannya dalam tempoh enam bulan.

``Walaupun taraf projek ini agak kecil dengan melibatkan kos kira-kira RM300,000 bagi sebuah makmal, kelewatan mungkin tidak dapat dielakkan khasnya bagi sekolah yang terletak jauh di pedalaman atau tidak mempunyai bekalan elektrik,'' ujarnya.

Bagaimanapun, beliau tidak memberitahu jumlah kos keseluruhan yang terlibat dalam projek pembinaan makmal sekolah itu sebaliknya berkata, kesemua projek berkenaan diharap dapat disiapkan selewat-lewatnya penghujung tahun depan.

Ambrin memberi jaminan bahawa kementerian itu akan sentiasa memantau dan memastikan pelaksanaan projek berkenaan di sekolah luar bandar akan berjalan lancar tanpa masalah besar.




Sumber : Utusan Malaysia





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com