SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Murid Tahun Empat dikhuatiri maut dibaham buaya

Oleh Rusdik Enchi

KINABATANGAN, Isnin: Seorang murid perempuan Tahun Empat dikhuatiri terbunuh dibaham buaya ketika mandi di Sungai Kampung Lokan, kira-kira 30 kilometer dari sini, petang semalam.

Berikutan itu, gerakan besar-besaran membabitkan polis, Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta penduduk kampung di sepanjang sungai itu dilancarkan untuk mencari mangsa dan buaya yang menyerangnya.

Sehingga petang ini, usaha itu belum berhasil walaupun beberapa penduduk mendakwa melihat seekor buaya timbul tidak jauh dari tempat kejadian dengan mulutnya terlekat cebisan kain, dipercayai baju budak perempuan itu.

Nama mangsa tidak dinyatakan dalam laporan polis, tetapi bapanya dikenali sebagai Basri Nasir, 40-an, penduduk tempatan.

Berdasarkan keterangan saksi, buaya yang menyerang budak itu panjangnya lebih tiga meter.

Kampung Lokan, terletak kira-kira 30 kilometer dari pekan terdekat, iaitu Kinabatangan dan lebih 140 kilometer dari bandar Sandakan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Jaini Abdul Kadir, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang semalam ketika mangsa yang berusia 10 tahun mandi bersama beberapa rakan.

“Rakan mangsa memberitahu, mereka melihat seekor buaya melibas budak perempuan itu sebelum mengheretnya ke tengah sungai. Walaupun mangsa meminta tolong, rakan-rakannya tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu malam tadi dan operasi mencari dan menyelamat segera dilancarkan dengan bantuan anggota Perhilitan dan penduduk kampung.

Jaini menasihatkan penduduk kampung di sepanjang sungai itu melarang anak-anak mereka mandi di sungai berkenaan.




Sumber : Berita Harian





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com