SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

ICT - Permudahkan P&P bahasa Inggeris

MUKADIMAH
PENGAJARAN Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris yang dimulakan tahun depan dikatakan bakal dibantu oleh teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Penggunaan teknologi terkini itu secara tidak langsung dikatakan dapat mengurangkan pergantungan kepada buku dan kaedah tradisional.

Wartawan Utusan Malaysia, SALINA IBRAHIM, menemu bual Ketua Jabatan Pendidikan Matematik dan Sains, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Noraini Idris untuk mendapatkan gambaran bagaimana ICT dapat digunakan dalam pengajaran dan persediaan kita ke arah itu.

SOALAN: Apa pendapat Dr. mengenai pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris yang khabarnya akan dimudahkan dengan teknologi komunikasi maklumat (ICT)?

JAWAPAN: Sebagai ahli akademik, saya melihat bahan rujukan lebih banyak dalam bahasa Inggeris. Memang kita ada buku teks, latihan dan ulang kaji dalam bahasa Melayu tetapi kualitinya belum mantap berbanding buku bahasa Inggeris. Begitu juga Internet, laman web dan kebanyakan perisian yang juga dalam bahasa Inggeris.

Sekarang kita lihat pula matlamat pendidikan iaitu untuk menghasilkan pelajar yang pragmatik, kritis dan kreatif. Tapi untuk hasilkan pelajar jenis ini, kita perlu dedahkan mereka kepada pengajaran matematik dan sains yang boleh mencabar pemikiran. Salah satunya caranya (yang juga digunakan oleh UM) ialah dengan menggunakan teknologi.

Teknologi adalah apa yang dihasilkan oleh tangan manusia (man made). Dalam kurikulum pun, sebenarnya sudah ada perincian iaitu penggunaan perkakasan dan perisian teknologi untuk pembelajaran dan pengajaran (P&P). Secara tidak langsung, ia bermaksud kementerian memang ada kecenderungan ke arah itu.

S: Itu secara idealnya tetapi hakikat sebenar ia melibatkan banyak pihak, termasuk guru. Adakah guru sudah cukup bersedia untuk menghadapi keadaan ini?

J: Ini aspek yang penting kerana guru yang akan menentukan arah dan objektifnya. Hasil perbualan saya dengan beberapa guru besar, mereka sudah kenal pasti guru yang boleh berbahasa Inggeris dan mengadakan latihan. Itu langkah yang baik kerana apabila guru mahir, mereka dapat berkongsi dengan pelajar.

Sekarang pelajar banyak bergantung kepada guru. Tetapi jika pelajar mahir berbahasa Inggeris, mereka boleh akses kepada bahan Internet dan sebagainya dengan sendiri. Seterusnya mereka balik ke kelas untuk berbincang dengan guru. Dengan cara inilah kita dapat lahirkan pelajar yang menepati falsafah pendidikan iaitu insan kamil dari segi kognitif, psikomotor dan lain-lain.

Tapi apa yang berlaku di sekolah sekarang, guru hanya memindahkan ilmu pengetahuan dan pelajar mendengar. Tetapi di negara maju seperti Australia, Jerman, Amerika Syarikat dan United Kingdom - pelajarnya fasih berkomunikasi dalam kelas, berani menyoal, berani disoal dan berani menerima cabaran. Pelajar kita tidak begitu, hanya mendengar dan guru asyik menyampaikan sahaja. Tetapi dengan teknologi digital, pelajar ada ruang melakukan pembelajaran sendiri, sama ada secara individu atau berkumpulan.

Pelajar kita memang berkemahiran tetapi harus dibantu. Sistem sekolah sekarang lebih berorientasikan peperiksaan menjadikan pelajar tiada masa untuk memikirkan bagaimana meneroka sains. Apatah lagi dua mata pelajaran ini memerlukan banyak penyiasatan, penyelesaian masalah dan penerokaan.

S: Dr. rasa sudah sampai masanya kita beralih kepada pendidikan secara lebih meluas seperti yang Dr. sebutkan tadi?

J: Ya. Malah kurikulum baru yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan memfokuskan tiga prinsip iaitu konsep penyelesaian masalah dengan menggalakkan pelajar berfikir sendiri; kedua, menggalakkan komunikasi supaya pelajar tidak pasif, berani mengeluarkan idea serta boleh berhujah dalam matematik dan sains kerana dua mata pelajaran ini ada bahasa dan maknanya sendiri. Yang ketiga ialah ICT dalam P&P. Jadi apa yang dibuat ini adalah sejajar dengan langkah yang memang dilakukan oleh kementerian.

Di Universiti Malaya sendiri, turut mendedahkan pelajar kepada pengajaran dalam bahasa Inggeris untuk kedua-dua mata pelajaran itu. Yang penting, amalan. Pelajar umpamanya, apabila saya berbahasa Inggeris dengan mereka, mereka balas balik dalam bahasa Melayu. Mungkin sebab budaya tidak membiasakan mereka bercakap bahasa Inggeris. Tapi jika kita buat keperluan penggunaan bahasa Inggeris, saya tiada masalah dalam hal tersebut.

Di beberapa tempat di Australia, ada tiga cara untuk peperiksaan matematik dan sains. Pertama, gunakan kertas dan pensil, kedua, gunakan teknologi dengan membenarkan penggunaan alat tertentu ketika peperiksaan. Ketiga, pelajar diberi masalah untuk dijawab oleh pelajar secara lisan.

Di sekolah kita, umpamanya mulai tahun lalu, buku log tidak digunakan sebaliknya pelajar boleh membawa kalkulator saintifik ke dewan peperiksaan. Ini satu perkembangan baik. Dengan ini format peperiksaan lebih kepada penyelesaian masalah iaitu menggalakkan pelajar menggunakan kemahiran, mengkritik dan mengumpul data dalam peperiksaan.

Memang mulanya ramai yang ragu-ragu kerana bimbang pelajar akan bergantung kepada kalkulator. Tapi budak akan putus asa jika mereka kerap salah mengira. Tetapi penggunaan kalkulator di samping format soalan yang meminta pelajar menerangkan bagaimana jawapan diperoleh, secara tidak langsung menerapkan konsep berfikir. Itu lebih bermakna daripada mengira tolak campur yang akan memberikan jawapan statik.

Kajian saya menunjukkan kanak-kanak mudah mengakses komputer walaupun mulanya dia takut. Tapi apabila dia sudah menguasai, dia lebih baik daripada kita kerana pemikirannya masih segar dan mudah dididik. Jadi inilah peranan guru sebagai fasilitator untuk membawa mereka ke tempat yang sepatutnya. Guru pula dipandu oleh kurikulum yang berasaskan kepada tiga prinsip tadi.

Dulu kita belajar dalam suasana pen dan kertas tetapi anak-anak kini belajar dalam suasana elektronik. Kanak-kanak kini dalam dunia ICT kerana itu mereka boleh menangkap ilmu dalam masa singkat.

S: Ada pendapat lain menyatakan setakat ini tiada bukti sesebuah negara mencapai kemajuan dengan menggunakan bahasa Inggeris.

J: Kita tengok Jepun. Mereka gunakan bahasa Jepun sebagai bahasa utama. Tetapi apa saja buku baru terbaik yang keluar hari ini, esoknya sudah ditukarkan ke bahasa Jepun. Adakah kita sendiri boleh buat begitu dan jadi sepantas mereka?

Mereka begitu pantas menyediakan alternatif. Jika kita tidak pandai berbahasa Jepun, ada perisian khusus dalam bahasa Inggeris untuk rujukan. Walaupun untuk kraftangan origami, mereka turut sediakan perisian khusus dalam bahasa Inggeris.

Maksudnya apa yang kita mahu, semuanya tersedia. Dalam hal ini adakah kita mampu buat seperti Jepun iaitu selain ada dalam bahasa Melayu, kita juga sediakan alternatif dalam bahasa Inggeris?

Brunei juga menggunakan bahasa Melayu dari darjah satu sehingga tiga. Mulai Darjah empat ke atas, mereka sudah mengguna bahasa Inggeris tanpa ketepikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan agama Islam.

S: Perubahan ini secara tidak langsung membawa maksud bahawa sekolah kita akan beralih kepada konsep Sekolah Bestari?

J: Memang kita beralih kepada konsep Sekolah Bestari. Walaupun pada peringkat awal, hanya beberapa sekolah yang berada dalam projek rintis Sekolah Bestari tetapi kementerian turut membuka peluang kepada kesemua sekolah. Ada yang cepat mencapai tahap bestarinya kerana sumber kewangannya cukup dan dibantu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Yang perlu ialah sikap.

S: Bercakap mengenai hal ini, kita selalu mengaitkannya dengan soal persediaan. Kita selalu tidak yakin bahawa kita sudah bersedia mental dan fizikal. Apa komen Dr.?

J: Saya selalu memandang positif mengenai sesuatu. Kalau kita tidak bersedia, maka selama-lamanya kita tidak akan bersedia. Kita kena terima sesuatu sebagai cabaran.

Lihat jiran kita Singapura. Dalam kajian Antarabangsa Ketiga Matematik dan Sains, Singapura menduduki tempat teratas bersama Jepun, Taiwan dan Jerman. Awalnya mereka pun macam kita tetapi mereka ikuti perkembangan ini. Mereka tidak perlu berubah setiap tahun tetapi sedar akan kepentingan perubahan dan bersedia melakukannya. Kerana itu, saya melihat pendedahan perlu diberikan kepada orang yang lambat nampak akan perkembangan ini.




Sumber : Utusan Malaysia





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com