SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

30,000 guru pembantu kanan menerima `durian runtuh'

IPOH 23 Dis. - Kira-kira 30,000 guru seluruh negara menerima habuan tahun baru apabila Kementerian Pendidikan mengumumkan hari ini bahawa semua pembantu kanan, tanpa mengira gred mereka akan menerima elaun tanggungjawab antara RM60 dan RM120 sebulan.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan, Shahul Hamid Mydin Shah berkata pembayaran itu turut diundurkan tarikhnya ke 1 November tahun ini.

Katanya pada ketika ini, pembantu kanan di sekolah rendah dan menengah Gred B dibayar elaun itu.

``Kita memperjuangkan perkara ini sejak dua tahun lepas dan kita berterima kasih kepada kementerian yang memungkinkan pelaksanaannya. Satu pekeliling mengenainya telah dihantar baru-baru ini,'' katanya apabila dihubungi di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata pengumuman tentang perkara itu telah dibuat semasa satu mesyuarat di Kota Bharu antara anggota kongres dan Kementerian Pendidikan, yang dipengerusikan Ngasobah Seliman, setiausaha Jabatan Sumber Manusia kementerian berkenaan.

Shahul Hamid berkata sebelum ini, pembantu kanan di sekolah-sekolah Gred A tidak menerima elaun itu sebab jawatan mereka ditakrif sebagai kenaikan pangkat.

``Tetapi kini kementerian turut memberikannya kepada mereka selepas mengambil kira hakikat bahawa guru besar di bayar RM100 sementara pengetua RM150,'' katanya.

Dengan semakan semula itu, semua pembantu kanan di sekolah menengah Gred B akan menerima RM120 sebulan berbanding RM80 sebelumnya sementara di sekolah menengah Gred A, akan turut menerima RM120.

Shahul Hamid berkata bagi pembantu kanan di sekolah rendah Gred B yang kini menerima RM40 akan menerima RM60 seperti rakan sejawatan mereka di sekolah rendah Gred A.

Katanya langkah itu akan memanfaatkan kira-kira 30,000 guru dari semua jenis sekolah.

Bagi sekolah menengah, ia meliputi pembantu kanan, penyelia petang dan guru kanan mata pelajaran di sekolah Gred A, sementara bagi sekolah Gred B, pembantu kanan (pentadbiran), pembantu kanan (hal ehwal pelajar), guru kanan (kokurikulum) dan penyelia petang akan menerima faedah itu.

Di sekolah rendah, ia melibatkan guru kanan (pentadbiran), guru kanan (kokurikulum), guru kanan (hal ehwal pelajar) dan penyelia petang. - Bernama




Sumber : UTusan Malaysia





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/