Make your own free website on Tripod.com
SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Bahasa Inggeris - Lulusan IPT luar negara juga lemah

Oleh RAJMAH HASAN SHIRAT

FAKTOR kelemahan siswazah menguasai bahasa Inggeris masih merupakan antara sebab utama mereka gagal memperoleh pekerjaan terutama di sektor swasta.

Ini diakui sendiri oleh seorang eksekutif sumber manusia Kumpulan Guthrie.

Beliau yang enggan dikenali berkata, masalah kelemahan itu bukan sahaja berlaku di kalangan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan malah turut melibatkan segelintir graduan lulusan universiti luar negara.

``Terdapat segelintir graduan lulusan universiti luar negara gagal mendapat pekerjaan kerana tidak mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dr. Abd. Latiff Ahmad dalam ruangan Pendidikan semalam yang menolak tanggapan bahawa sebahagian besar masalah pengangguran di kalangan graduan berpunca daripada kegawatan ekonomi dan lemah bahasa Inggeris.

Dalam kenyataan itu Abd. Latiff mendedahkan hanya 10 peratus daripada 316,000 graduan universiti gagal mendapat pekerjaan dalam tempoh lima tahun iaitu dari tahun 1997 hingga Julai 2002.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa bahasa Inggeris merupakan keperluan penting syarikat-syarikat besar seperti Kumpulan Guthrie.

Katanya, sebagai sebuah syarikat perladangan gergasi dan pembangunan hartanah bertaraf multinasional, keupayaan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris amat ditekankan.

``Penggunaan bahasa Inggeris adalah menyeluruh. Ia tidak setakat di peringkat pegawai atasan malah di bahagian perkeranian,'' katanya.

Beliau yang turut terlibat dalam sesi temuduga syarikat itu dalam memilih calon pekerja berkata:

``Dalam satu dua kes, masih terdapat graduan lulusan luar negara yang terkial-kial mengemukakan pendapat ketika disoal dalam bahasa Inggeris,''.

Mengulas lanjut pengalamannya mengendalikan sesi temuduga sepanjang hampir lima tahun, beliau mendedahkan terdapat segelintir graduan meminta diulangi soalan dalam bahasa Melayu.

``Kita tidak pasti sama ada mereka tidak faham langsung bahasa Inggeris atau sebaliknya.

``Sesetengah calon pula tidak mampu `membalas' jawapan dalam bahasa Inggeris, biar pun mereka faham soalan yang dikemukakan,'' katanya.

Beliau kesal kerana syarikat terpaksa menolak permohonan mereka sungguhpun segelintir calon amat cemerlang dalam bidang akademik.

``Syarikat tidak mampu membuang masa dan wang untuk menyediakan kursus kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kerana beranggapan pelajar sudah membuat persiapan menghadapi dunia pekerjaan yang serba mencabar,'' ujarnya.

Mengenai calon universiti mana menjadi pilihan Kumpulan Guthrie, beliau berkata, pihaknya cenderung mengambil graduan yang mempunyai kelulusan dalam bidang berkaitan perladangan dan reka bentuk hiasan dalaman dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau juga tidak menolak tanggapan bahawa graduan lulusan UiTM laku di pasaran pekerjaan kerana keupayaan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik selain mempunyai kemahiran praktikal dalam bidang yang diceburi.

``Dalam era globalisasi, dunia bergerak pantas dan mereka yang mempunyai kemahiran dan pengalaman sahaja mendapat tempat.

``Kecemerlangan akademik secara teori sahaja tidak mencukupi untuk membolehkan mereka menempah tempat di pasaran pekerjaan'' katanya.




Sumber : UTusan Malaysia





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
http://smkso2000.tripod.com/