SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Kaedah ajar bahasa Inggeris dengan betul perlu dicari

KEPENTINGAN bahasa Inggeris tidak dinafikan, tetapi jangan didewakan kerana tidak semestinya dengan menguasai bahasa itu mampu menjanjikan kejayaan serta kemakmuran sesebuah negara.

Sebaiknya, ilmu yang ada dikembangkan dalam bahasa ibunda dan pada masa sama meningkatkan pemahaman bahasa Inggeris menerusi kaedah pembelajaran yang betul.

Itulah pandangan tokoh pendidikan dan sejarah, yang juga salah seorang pengasas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Zainal Abidin Wahid.

Beliau mengulas perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan yang hangat diperkatakan sekarang mengenai pengambilan pelajar ke universiti, penguasaan bahasa Inggeris serta kuota 10 peratus ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan matrikulasi kepada bukan Bumiputera.

Menumpukan perbincangan kepada kepentingan menguasai bahasa antarabangsa sebagai senjata untuk bersaing, beliau berkata, perkara utama yang perlu dilaksanakan ialah mencari kaedah mengajar bahasa Inggeris dengan betul.

Katanya, hanya selepas mendapat kaedah betul, barulah tugas mendidik pelajar memahami, seterusnya menguasai bahasa itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Seorang guru kecewa kerana anak muridnya selalu gagal dalam mata pelajaran bahasa Inggeris dan tidak tahu apakah silapnya. Suatu hari, beliau menonton televisyen dan mendapat idea.

“Keesokan hari, beliau masuk ke kelas dengan membawa roti, pisau, ikan sardin dan pembuka tin. Menggunakan bahasa Inggeris sambil memotong roti beliau bertanya kepada murid, What am I doing? Murid menjawab, You are cutting the bread.

“Sejak itu, murid beliau berjaya mendapat markah tinggi untuk bahasa Inggeris dan mampu bertutur dengan baik,” katanya.

Berdasarkan contoh itu, katanya: “Kekeliruan dan huru hara yang berlaku dalam sistem pendidikan kini diibarat orang yang batuk, diberi ubat sakit kepala.

“Salah faham itu menyebabkan batuk tidak berkurangan, malah bertambah teruk kerana pengambilan ubat sakit kepala berlebihan.

“Batuk patut sudah baik tetapi penyakit lain yang dapat. Kaedah pembelajaran sepatutnya diperbetulkan, matrikulasi dan MRSM jadi sasaran. Di mana silapnya kita?” katanya.

Zainal Abidin berkata, beliau dan beberapa rakan yang melihat kecacatan itu pernah mengemukakan cadangan meningkatkan cara pembelajaran bahasa Inggeris kepada Kementerian Pendidikan sekitar 1997 dan 1998.

Bagaimanapun, katanya, tiada langkah ke arah memperbetulkan kaedah pengajaran dibuat dan sehingga hari ini kajian menunjukkan pelajar diajar menggunakan konsep teori.

Katanya, pelajar perlu didedahkan kepada kaedah pembelajaran dipanggil interaksi bahasa Inggeris di mana mereka ‘memberi tindak balas’ dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Beliau berkata, selain bergantung kepada buku teks, guru boleh menggunakan kemudahan video untuk membiasakan pelajar mengamalkan penggunaan bahasa Inggeris di luar kelas dalam keadaan tertentu.

Katanya, video yang menggambarkan suasana serta cara berinteraksi di pasar, padang permainan dan beberapa situasi lain akan menjadi panduan kepada pelajar cara berinteraksi serta pemilihan perkataan yang betul.

“Melaui cara itu, pelajar bukan saja belajar bahasa tetapi turut menguasai cara berkomunikasi dengan orang lain. Ini akan meningkatkan keyakinan diri mereka,” katanya.

Zainal Abidin berkata, selain pelajar ibu bapa perlu diajar kaedah menyelia pendidikan anak mereka di rumah, terutama dari segi penggunaan masa.

Katanya, tidak semua ibu bapa mempunyai masa untuk duduk mengulang kaji bersama anak mereka, tetapi mereka boleh menentukan waktu belajar bagi memastikan anak tidak keciciran dalam pelajaran.










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/