SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Berita dari Seberang

Oleh Lee Keok Chih

Berada di sini, waktu terlalu perlahan dan sunyi. Aku seorang diri. Seorang diri di sini, tidak bermakna di kawasan tempat tinggal hanya aku seorang. Di sekitaranku ramai lagi kaumku. Mereka, sama ada berpakaian kemas dan menjalankan kerja penting, atau mereka seperti aku, merupakan pekerja kelas paling bawah yang mendukung kerja yang lebih tinggi. Dalam bahasa Inggerisnya, ia dipanggil hierarchy. Kerja kelas bawah mengikut pengelasan hierarchy ini adalah kerja tukang sapu, mencuci longkang, buruh kasar yang pendapatannya dikira secara harian, tidak terjamin besoknya masih ada kerja atau tidak. Kami dikecualikan atau dinafikan insurans perubatan, juga insurans lain untuk usia tua.

Memang kota ini tidak menolak kehadiran pekerja kelas bawah seperti kami. Kota ini menerima, seperti menerima semua manusia yang mengunjung sekali gus menjadi penghuninya. Kota ini membuka tangan untuk semua pendatang. Yang menghalang, hanyalah kerajaan dan perspektif manusia yang membezakan di antara seorang manusia dengan manusia lain. Begitulah pendapat temanku Milan.

Mengikut Milan, “dulu dunia ini tidak berpagar. Dulu manusia bergerak bebas di dunia ini. Manusia hanya menyusur tanah yang subur, di mana terdapat air, terdapat tanah yang sesuai untuk bercucuk tanam, lalu tanah itu dipanggil kampung halaman.”

Katanya lagi, “tidak seperti sekarang. Kerana lahirnya negara dan kerajaan, maka kita semuanya terkurung. Kita tidak dibenarkan bergerak bebas. Kita disuruh menghuni sesebuah kawasan. Kita dipanggil rakyat sebuah negara. Dan kita tidak dibenarkan bergerak bebas.”

Aku membisu mendengar hujah Milan. Dia bernasib malang, terutamanya setelah berlaku kejadian pengeboman 11 September. Setelah kejadian itu, Milan yang latar belakangnya dari negara Islam sering kali dihina di sebuah negara yang pernah mengagung-agungkan hak asasi dan peri kemanusiaan. Seperti kata Milan, “mereka yang menekankan hak manusia sejagat. Mereka yang menekan hak asasi manusia. Dengan menghalang pergerakan manusia secara sah, atau tidak sah, bukankah mereka sendiri yang mencabuli hak asasi manusia?”

Aku mengerti sentimen Milan. Dia dan kaumnya seperti tikus di jalanan. Mereka disekat pergerakan dan selalu mendapat layanan buruk. Mereka dilabel sebagai golongan pengkhianat. Aku lebih beruntung dari Milan. Sekalipun aku juga pekerja kelas rendah yang menjual tenaga, aku tidak menjadi sasaran orang setempat. Aku dibiarkan hidup dan mati sendiri, menyusur hari-hari secara peribadi.

“Terlalu sedih memikirkan semua itu.” Milan mengeluh. Dia menaruh harapan yang terlalu tinggi. Dia menyangka kota ini akan membuka tangan seluasnya untuk menerimanya. “Sumbangan aku, “kata Milan, “bukankah turut membangunkan negara ini?”

Bagaimana hendak aku sampaikan simpati aku? Bagaimana hendak aku beritahunya, bagaimana ketika tentera Jepun mengebom pelabuhan Pearl, ramai rakyat Jepun yang dihalau pulang atau diasingkan? Bagaimana harus aku kongsikan pengertian aku itu? Tentunya terlalu sukar.

Lagipun, aku rasa Milan juga tahu semua itu. Sekalipun di kota ini dia menguruskan kerja yang remeh temeh dan kelas rendah, di negaranya dulu dia juga seorang graduan. Kelas rendah di sini maksudnya golongan yang tidak membuat keputusan. Milan memang rajin membaca. Bukti membacanya sering aku dengar ketika kami berborak kosong. Dia juga suka mengajak aku berborak kosong. Mengikut Milan, “Hanya dengan cara ini, aku dapat mengasah minda.”

Kami akan bertemu di Central Park. Tempat ini paling murah untuk orang seperti kami. Kami akan memandang langit kota yang semakin dilebati bangunan pencakar langit, sambil bercerita tentang rasa. Kami akan membeli burger atau hotdog, mungkin juga segelas Coca-cola dalam gelas kertas atau gelas plastik. Kami akan berborak panjang hingga sampai waktunya untuk pulang. Pengongsian itu adalah pengongsian yang paling peribadi. Kami akan bercerita panjang tentang tamadun lama yang pernah agung kemudian mengalami keruntuhan.

“Keruntuhan,” kata Milan, “adalah reputan dari dalam. Di luarnya kelihatan sihat dan normal. Tapi, reputan akan bermula dari bahagian dalam. Keruntuhan itu sedikit demi sedikit, semakin lama semakin ketara.” Milan menggunakan analogi kayu yang diserang anai-anai untuk menghuraikan teorinya. Katanya, “Dari luar, semuanya tak berkesan. Tapi ketika kita mengupas bahagian dalamnya, kita akan temui reputan. Dan reputan itulah yang membawa kepada kehancuran.”

Milan mengambil contoh tamadun besar seperti Mesir, India dan negeri China. Dia jarang bercakap tentang tamadun Rom. Mungkin dirasakan tamadun itu tidak cukup lama dan purba untuk diperbincangkan. Di antara Mesir, India dan negeri China, dia paling sukakan Mesir. Mungkin Mesir lebih dekat dengannya. Dekat, kerana itu berasa intim dan peribadi. Atau mungkin kerana darah yang mengalir di badannya juga sebahagiannya adalah darah keturunan Mesir.

“Sayang sekali,” Kata Milan, “Kalau bukan kerana keruntuhan sesebuah tamadun, masakan rakyatnya akan beramai-ramai meninggalkan negara asal dan berhijrah mencari tanah yang disangka lebih subur.”

Topik perbualan begitu memang berat. Terutamanya ketika senja berlalu dan kami terpaksa pulang. Kami pulang untuk beristirahat. Tapi, pulang untuk kerja sampingan yang lain. Dan pilihan kami, adalah memerap di belakang restoran Cina, membasuh pinggan mangkuk atau menjadi pelayan. Kami akan memerap di dalam restoran yang sempit, tanpa peluang mendongakkan kepala. Di tempat kerja kami, di lorong belakang itu, penglihatan menjadi terlalu sempit dan terhad. Malamnya lampu juga malap.

“Kebaikannya,” kata Milan, “Kita dapat mencari bintang-bintang yang berkerdipan.”

Tentang mencari bintang di langit, aku tidak setuju langsung. Di lorong belakang yang sempit ini, penglihatan terhad, lagipun bangunan pencakar langit menutup pemandangan bintang dan bulan. “Kecuali di apartmen mewah di tempat yang agak tinggi.” Aku meluahkan pendapat peribadi.

Aku pernah sampai ke sebuah apartmen begitu. Ia kepunyaan seorang Caucasian. Caucasian, atau dengan kata lain, mereka yang berkulit putih dan warna matanya kebiruan. Aku ke sana kerana menjual diri. Memang itulah pendapat sampingan aku. Dan ketika di ranjang, orang Caucasian akan menganggap kami mempunyai kedudukan yang sama. Ini kerana kami akan memberinya keseronokan dan membebaskan nafsunya yang terpendam. Di depan nafsu yang membuak, semua manusia sama, tiada yang tinggi, tiada juga yang lebih rendah.

Milan juga beberapa kali menjalankan aktiviti seperti aku. Dan menurutnya, “Ini bukan kerana kecenderungan seks. Tapi kerana nak hidup.” Kerana ingin hidup lebih senang, kami membelakangkan adat, pantang larang dan menggariskan dosa.

“Tiada siapa yang tahu. Tiada siapa yang memberitahu. Tiada siapa yang mempeduli.” Kata Milan.

“Tapi Tuhan pastinya Maha Tahu.” Kataku. Kemudian aku enggan bercerita panjang lagi.

“Engkau tak takut….” Milan pernah bertanya.

Aku hanya membisu. Orang seperti kami, memang takut bercakap tentang dosa dan balasan. Kerana yang terselit di dalam hati kami, termasuk juga dosa dan balasan. Hanya ia terlindung di dalam sebuah peti terkunci dan kami enggan membukanya. Mungkin akan dibuka ketika tua nanti. Ketika usia telah lanjut dan kami bersedia untuk menghadapi kemungkinannya. Kerana itu, ketika membuka topik perbualan tentang dosa dan balasan, aku lebih senang mendiamkan diri dan menunggu saat itu berlalu.

“Yang aku takut,” Kata Milan, “Aku akan menyukai perbuatan itu. Aku akan terjerumus, langsung tidak memikirkan dosa dan balasan.”

Memang ada juga kawan kami yang terjerumus. Dari bekerja untuk wang, mereka lambat laun menjadi salah seorang dari golongan itu. Aku pernah menyaksikan perubahan itu. Kami yang pada mulanya segan silu, berlindung di belakang tiang lampu, kemudian semakin berani dengan solekan di wajah dan pakaian yang beraneka warna di badan. Kami akan bergerak lincah, menghampiri kereta yang sedang mendekat. Kami akan menayangkan diri kami dan cuba memikat. Kalian mungkin tidak dapat bayangkan bagaimana pergerakan kami. Untuk itu, lebih baik menonton filem Sepanyol berjudul “All About My Mother”.

Adegan filem tersebut, terutamanya di sebuah bulatan di Barcelona, memaparkan dengan sejujur-jujurnya warna kehidupan kaum kami.

“Apakah terlalu hina berkelakuan begini?” Sekali Milan pernah bersuara.

Aku terdiam lagi. Kita sudah sanggupi kehidupan begini, apa yang ditakuti pula? Kalau takut dan segan, apa gunanya? Kecuali kami mengubah sikap dan cuba menukar cara hidup. Tapi, berdayakah kami mengubah semua ini? Kami inginkan rezeki halal, tapi, bolehkah kami berbuat begitu?

Kami adalah wajah tanpa nama di kota ini. Hidup mati kami tiada manusia lain yang mempeduli. Lagipun, setiap hujung bulan, banyak bil yang harus kami langsaikan. Ada pula yang terpaksa menghantar wang pulang. Orang kampung tentunya mengagumi cara kami mencari rezeki. Mereka tentunya memuja dan mencemburui pencapaian kami. Silap sangka itu adalah kerana kami tidak pernah menerangkan duduk perkara yang sebenarnya. Kami hanya mengabarkan berita indah, tanpa menceritakan kesempitan, kerisauan dan masalah kami. Aku percaya, tiada seorang pun dari golongan kami sanggup menceritakan kehidupan kami yang sebenarnya. Semuanya telah kami bisukan. Semuanya kami pendam dalam-dalam ke dalam hati kami. Kami biarkan pengalaman ini tidur lena.

Kami bekerja siangnya. Kerja itu kerja mulia. Tapi pendapatannya tidak seberapa. Untuk menampung dan menambah pendapatan yang tidak cukup, kami mencari jalan pintas. Kami menjual badan kami juga. Kami akan berbaur dengan warna malam dan menjadi sebahagian dari objek malam. Mungkin bukan setakat wang. Kadang-kadang kerana nafsu juga. Nafsu kasar yang boleh ditukar dengan wang ringgit. Nafsu yang telah diperniagakan. Cara hidup ini, aku sifatkan sebagai cara hidup siang dan malam. Yang siang, kami cuba mengubah nasib dengan cara yang halal. Yang malam pula, adalah untuk menampung kekurangan cara hidup di waktu siang.

Mungkin pada dasarnya kami adalah manusia baik-baik. Kami faham makna dosa dan balasan. Kami tahu dan kami patuh. Tapi, godaan lain memesongkan fokus kami. Sekali pun begitu, kami berusaha keras supaya malam dan siang disatukan, supaya kami tidak menjadi manusia dua alam.

Memang ada golongan kami yang berjaya membebaskan diri dari belenggu ini. Golongan itu akhirnya membuang kehidupan malam mereka dan hidup seperti manusia lain yang normal di kota ini. Mereka mungkin berkeluarga, dan beranak pinak. Mereka mungkin menjadi manusia yang sihat. Hanya di dalam hati mereka tetap tersimpan daki dari dosa semalam. Mereka menyimpannya ke sebuah sudut paling sulit.

“Kita juga begitu.” Kata Milan, “suatu hari nanti, kita akan menjadi begitu, kiranya kita berjaya membebaskan diri dari cara hidup begini.”

Hanya di dalam diri, ada sesuatu yang telah reput dan mati. Misalnya kesucian, kepercayaan pada kemanusiaan misalnya adalah sebahagian kenangan yang ingin kita padamkan. Kenangan yang ingin dipadamkan tapi sesekali padam, seperti melepaskan kertas cermin atau tembaga, kekeruhan di badan sering kali tersuluh. Kenangan itu seperti déjà vu, pengulangan yang seakan-akan kenal. Dengan sejujur-jujurnya aku mencatatkan pengalaman, sebagai berita dari seberang. Catatan ini untuk teman-temanku yang telah ke sana, juga untuk bakal teman-temanku yang belum pergi dan mungkin pergi, memulakan langkah kembara mereka.




Sumber : Berita Harian





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/