SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Jasa besar Teropong Hubble

Oleh Ramli Abdul Samad

SEMEMANGNYA manusia tidak berupaya lagi berada di angkasa lepas untuk satu tempoh yang begitu lama bagi mengumpul data atau meneliti fenomena alam semesta yang penuh dengan seribu satu misteri itu.

Bagaimanapun untuk menangani masalah itu manusia memilih satu alternatif lain yakni yang boleh berfungsi dan membuat kerja seperti yang diingininya.

Manusia mengirim sebuah wahana berbentuk teropong yang dapat merakam apa sahaja sama ada gambar, imej, radiasi, mikrogelombang dan cahaya-cahaya lain yang kemudian ditafsir semula sebagai maklumat-maklumat yang akan dapat menghuraikan fenomena dari kaca mata sains terhadap alam semesta ini.

Bagaimana maklumat-maklumat itu dikesan? Manusia melalui para saintis astronomi mengirim sebuah wahana yang berfungsi seperti teropong pemerhatian saintifik ke angkasa lepas. Teropong yang dimaksudkan itu ialah Teropong Hubble Space (THS).

Nama Hubble diambil daripada seorang astronot bernama Edwin P. Hubble yang mula-mula menunjukkan bahawa galaksi-galaksi selain daripada galaksi kita Bima Sakti sedang berterbangan jauh antara satu sama mereka.

Teropong ini telah diangkut ke angkasa lepas sejak 12 tahun yang lalu, tarikh tepatnya 24 April 1990. Teropong ini yang ditaja bersama oleh NASA dan Agensi Aeroangkasa Eropah mengguna teknologi tahun 1970-an dan menelan belanja sekitar $2 bilion dolar. Belanja mengurus, mengoperasi dan khidmat memproses data dan analisis menelan belanja sekitar $200 juta dolar setahun. Beratnya 2.5 tan mempunyai cermin utama sepanjang 6.10 meter dan saiznya 13 meter panjang.

Apakah keistimewaan teropong ini? Kita ibaratkan alam semesta ini sebagai sebuah zoo kosmik. Melalui THS ini kita dapat meninjau banyak pelosok bahagian zoo kosmik ini, daripada bahan-bahan yang mengisikan zoo sehingga tempat atau peristiwa kelahiran bahan-bahan daripada zoo itu.

Di sini kelahiran bahan-bahan zoo itu bermaksud kelahiran bintang-bintang, galaksi, planet-planet baru. Para astronomi akan memantau perkembangan itu yang berlokasi berbilion-bilion kilometer dari bumi. Pendek kata ciptaan alam semesta oleh Maha Esa boleh kita lihat melalui teropong ini. Betapa luas dan tidak terjangkaunya pemikiran manusia akan ciptaan dan kebesaran Sang Khalid.

Teropong ini dapat memberi gambar yang amat jelas. Kedudukannya di angkasa lepas mempunyai kelebihan. Ia tidak dibatasi oleh lengkungan bumi yang mana gelombang halus mungkin tidak dapat tembus dan sampai ke bumi. Teropong-teropong biasa di atas bumi tidak dapat mengesan gelombang-gelombang halus itu. Selain itu THS bagaikan putus-putus boleh merakam apa sahaja dari banyak pelosok alam semesta ini.

Bagaimanapun dari semasa ke semasa THS ada mengalami pembaikan sehinggalah tamat hayat fungsinya yang dijangka menjelang tahun 2010. Pada tahun 1997 THS telah mengalami kerosakan, antara lainnya pada alat elektronik dan roda terbangnya yang mengendali teropong itu.

Para angkasawan terpaksa ke sana membuat perjalanan di angkasa selama lima kali untuk melakukan pembetulan. Pembaikan seterusnya dibuat pada tahun 1999. THS tidak statik, ia mengorbit di angkasa dan mengalami 16 kali fenomena siang malam setiap hari dan telah mengelilingi bumi lebih daripada 58,000 kali dan membuat 271,000 pemerhatian dan menjanakan 2,651 kertas kerja saintifik dalam tempoh ia berada selama lebih dari satu dekad di angkasa.

Sebelum ini pada peringkat awalnya imej THS mengalami sedikit kekecohan dan menjadi bahan lawak untuk seketika tetapi prestasinya dipulih semula. Imejnya telah pulih sepenuhnya sehingga kini, malah mungkin akan dilanjutkan hayat yang sepatutnya berakhir pada tahun 2005 sehingga tahun 2010.

Pada awal Februari 1999 dulu satu lagi kerja pembaikan telah dilakukan. Kali ini para angkasawan telah menggantikan dua daripada peralatan besar THS sebesar pondok telefon. Dengan gantian itu, prestasi THS akan meningkat sehingga faktor 100.

THS menerima imej dan imej itu diproses menjadi spektograf oleh alatan-alatan bernama spektoskop. Peralatan ini memecahkan cahaya yang datang dari bintang itu ke pelbagai warna. Dari situ para saintis akan menganalisis perihal objek kosmos itu.

Baru-baru ini para astronomi telah dapat mengesan adanya galaksi di `penghujung' alam semesta ini. Jaraknya lebih kurang 12 bilion tahun dari bumi. Penemuan seperti ini akan memberi maklumat baru mengenai asal-usul `Big Bang' yakni sebuah teori yang mengatakan bahawa alam semesta bermula dari satu letupan raksasa.




Sumber : Utusan Malaysia





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/