SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Televisyen Internet - Teknologi alternatif atasi jurang digital

TELEVISYEN Inter-net, TV Web, TV Interaktif (iTV) dan terkini eTV (enhanced TV) merupakan teknologi yang menggabungkan teknologi televisyen dan Internet ke dalam satu produk.

Teknologi tersebut bertujuan memudahkan pengguna televisyen melayari Internet dan mendapat perkhidmatan multimedia interaktif tanpa perlu bergantung kepada komputer peribadi (PC).

Anda kini boleh menggunakan televisyen untuk memeriksa e-mel, melayari laman web kegemaran dan juga menjawab telefon yang menggunakan telefoni Internet dengan hanya menggunakan televisyen anda.

Teknologi televisyen Internet ini sekurang-kurangnya mengurangkan kebergantungan kepada komputer sebagai medium utama melayari Internet dan sekali gus membantu mengurangkan masalah jurang digital.

Bagaimanapun, anda masih memerlukan peralatan sokongan iaitu kotak set-top yang disambungkan melalui talian telefon untuk membolehkan televisyen anda menjadi televisyen Internet, iTV atau eTV.

Teknologi ini sebenarnya turut pernah diperkenalkan di negara ini oleh TecnoChannel Technologies Sdn. Bhd. melalui MyWeb Inc. yang menjadi portal kandungan dan akses televisyen interaktif itu.

Bagaimanapun, perkembangan MyWeb hanya agak rancak di peringkat awal pengenalannya sahaja sehinggakan syarikat tempatan itu berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Singapura, China dan Amerika Syarikat.

Kunjungan ke laman web portal MyWeb juga mendapati kebanyakannya maklumat yang terdapat di lamannya tidak dikemaskini untuk sekian lama yang menunjukkan syarikat ini kelihatan tidak beroperasi lagi.

Sejak akhir-akhir ini publisiti tiada publisiti mengenai syarikat itu, malahan syarikat MyWeb Inc.com sendiri telah menukar namanya kepada DomainAvenue. com dengan memberi fokus kepada bidang komunikasi.

Kini muncul sebuah lagi syarikat tempatan yang bercita-cita tinggi untuk membantu negara ini mengatasi masalah jurang digital dengan menawarkan perkhidmatan televisyen interaktif melalui perkhidmatan yang dikenali sebagai eTV (TV yang dipertingkatkan) yang pertama seumpamanya di rantau ini.

Syarikat yang memperkenalkan perkhidmatan tersebut, Enhanced TV Technologies (M) Sdn. Bhd. (eTV Malaysia), anak syarikat CSE Multimedia Technologies Sdn. Bhd. (CMT) menaruh keyakinan tinggi dengan produk dan perkhidmatan baru mereka.

``Kami menetapkan sasaran untuk mencapai asas pelanggan permulaan sebanyak 35,000 di Malaysia menjelang akhir tahun,'' kata Pengerusi dan ketua pegawai eksekutif CMT, Ronny Tan.

Pada masa yang sama, syarikat itu yakin dapat mencapai 150,000 pelanggan di Malaysia menjelang suku ketiga tahun depan dan berharap dapat meraih nilai langganan bernilai RM300 juta pada masa itu kelak.

Menurut Tan, eTV merupakan perkhidmatan yang pertama seumpamanya diperkenalkan di negara ini dengan mempunyai pelbagai ciri-ciri interaktif dan ia juga akan diperkembangkan ke pasaran luar negara.

CMT akan beransur-ansur melancarkan perkhidmatan eTV di New Zealand, Jepun, Filipina, Singapura, Thailand dalam tempoh dua tahun akan datang.

``Malah, kami telah pun mengadakan prasarana asas kami di New Zealand dan berharap dapat menyediakan perkhidmatan ini menjelang akhir tahun depan,'' kata Tan.

Beliau berkata, eTV dengan unsur-unsur interaktifnya akan membolehkan pelanggan menggunakan televisyen mereka untuk menghantar pesanan pendek atau SMS, e-mel, memesan pizza atau membayar bil dan juga membuat panggilan telefon melalui Internet.

Perkhidmatan eTV untuk orang ramai dijangka diperkenalkan sebelum akhir bulan ini, kata beliau pada majlis pelancaran media eTV, baru-baru ini.

Antara aplikasi lain yang akan ditawarkan kepada pengguna untuk perkhidmatan eTV ialah saluran maklumat, sembang siber (chat), perbankan, kuiz, berita, permainan Internet, siaran langsung kamera web dan sukan.

``Pelanggan-pelanggan juga akan ditawarkan dengan akaun TCASH bagi membolehkan mereka menjalankan pembelian dalam talian,'' kata Tan.

Pelanggan akan dibekalkan dengan alat kawalan jauh dan papan kekunci tanpa wayar dengan kotak set-top bagi membolehkan mereka menggunakan perkhidmatan ini dan eTV dijangka akan menggenakan bayaran bulanan yang rendah dan pengguna tidak perlu membeli peralatan tersebut.

Pengarah operasi eTV, Rannie Tay berkata, eTV boleh diibaratkan seperti `PC dalam TV' dan ia mampu mengatasi masalah jurang digital di negara ini.

Kajian mendapati 98 penduduk rumah di negara ini mempunyai sekurang-kurangnya satu televisyen tetapi bilangan mereka yang mempunyai komputer dan akses Internet masih rendah.

Keistimewaan eTV ialah ia mampu mempertingkatkan nilai sesuatu program televisyen dengan menawarkan pengalaman berbeza seperti pengguna boleh bermain secara berseorangan atau dengan rakan-rakan dalam talian.

Bagaimanapun, pengguna tidak boleh memindah terima (down-load) bahan-bahan yang dilayari di Internet kerana ia bukan berkonsep seperti PC yang mempunyai ruang storan dalam cakera keras.

Tay berkata, eTV pada masa ini menggunakan talian telefon mendail dengan modem 56 kbps bagi membolehkan ia dihubungkan kepada sistem dan Internet tetapi merancang akan menggunakan rangkaian jalur lebar apabila liputan telah meluas di negara ini.

Perkhidmatan jalur lebar menggunakan teknologi ADSL misalnya akan membolehkan eTV Malaysia menawarkan lebih banyak perkhidmatan kepada pelanggan kerana kemampuannya dalam transmisi data.

``Sebab itu kami tidak mahu mengenakan bayaran pembelian untuk peralatan eTV kerana kami akan sentiasa mempertingkatkan sistem kotak set-top itu mengikut keperluan semasa,'' kata Tay.

eTV Malaysia akan menggunakan landasan perniagaan terbuka dengan mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti syarikat pembekal telekomunikasi, pembekal perkhidmatan Internet, syarikat siaran televisyen berbayar dan percuma, pembekal kandungan dan institusi kewangan bagi membolehkan ia menawarkan rumusan televisyen interaktif yang lengkap.

Secara umumnya, usaha eTV Malaysia untuk menghidupkan kembali industri televisyen interaktif atau televisyen Internet ini merupakan langkah yang harus dialu-alukan kerana teknologi seumpama ini mampu menjadi alternatif kepada pengguna yang kurang mahir menggunakan komputer peribadi.

Bagi pengguna biasa, mereka sudah biasa dengan budaya teknologi televisyen iaitu semua siaran akan `sentiasa ada' (always on) sebaik sahaja mereka membuka televisyen mereka dan cabaran kepada eTV Malaysia ialah untuk memastikan yang teknologi mereka mampu memberikan kemudahan seperti tersebut melalui eTV.




Sumber : Utusan Malaysia





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com