SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

IPTS bermasalah - Kementerian terima 269 aduan

Oleh Marzita Abdullah

JABATAN Pendidikan Swasta (JPS) menerima sebanyak 269 aduan sehingga 30 Jun lalu daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan operasi institusi pengajian tingi swasta (IPTS) dan institusi pendidikan swasta (IPS) di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan JPS, Datuk Hassan Hashim berkata, daripada jumlah tersebut 178 aduan melibatkan IPTS manakala sebanyak 91 aduan berhubung IPS.

Katanya, mengenai IPTS, terdapat 49 aduan melibatkan kursus yang dijalankan oleh IPTS terbabit, yuran (30 aduan), iklan (24 aduan) dan 11 aduan melibatkan tenaga pengajar.

Selain itu 10 aduan melibatkan pengurusan, penubuhan dan kemudahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) (9 aduan), premis dan pendaftaran (2 aduan) dan lain-lain (32 aduan).

``Aduan yang paling banyak kita terima ialah pada bulan Januari iaitu sebanyak 53 aduan melibatkan semua jenis aduan dan diikuti pada Mac dan April iaitu 36 aduan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu aduan mengenai IPS melibatkan sekolah swasta sama ada sekolah biasa atau pun sekolah agama ialah 17 aduan mengenai pendaftaran, penubuhan (11 aduan) dan sembilan aduan melibatkan kursus yang dijalankan.

Lapan aduan melibatkan yuran, iklan (7 aduan), tenaga pengajar (6 aduan), pengurusan (4 aduan), kemudahan P&P (2 aduan) dan sebanyak 27 mengenai pelbagai aduan lain.

``Aduan yang paling banyak kita terima ialah pada bulan Januari iaitu 32 jenis aduan dan pada bulan lalu iaitu 25 aduan,'' katanya.

Dalam pada itu dalam gerak gempur yang dijalankan baru-baru ini JPS mengesan 17 IPTS yang tidak memperbaharui perakuan pendaftaran masing-masing.

IPTS yang terlibat ialah tujuh IPTS di Johor, masing-masing empat buah di Negeri Sembilan dan Perak serta sebuah IPTS di Kedah dan Pahang.

Hassan berkata, kesemua IPTS tersebut telah diberi amaran mengenai perkara berkenaan dan kebanyakan mereka akur dengan arahan itu.

Bagaimana pun beliau berkata, dijangka lebih banyak lagi IPTS yang akan terlibat dengan perkara tersebut kerana gerak gempur yang diadakan masih belum menyeluruh.

Katanya, ini kerana gerak gempur tersebut masih belum dilaksanakan di negeri utama pertumbuhan IPTS iaitu di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

``Kita pergi kepada negeri-negeri yang jauh dahulu selepas ini kita akan pergi ke Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kita jangka jumlah IPTS yang terlibat dengan kesalahan ini akan meningkat,'' katanya.

Setakat ini gerak gempur itu hanya melibatkan 10 negeri sahaja iaitu Perak, Kedah, Pahang, Perlis, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Melaka, Kelantan dan Terengganu.




Sumber : Utusan Melaysia





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com