Make your own free website on Tripod.com
SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Guru dibelasah

Oleh Ismail Mat

MUAR: Seorang pelajar didakwa bertindak ganas dengan membelasah seorang guru menggunakan kerusi hingga cedera ketika peperiksaan di sebuah sekolah dekat Parit Jawa, di sini, pagi semalam.

Sebelum ini, pelajar itu dikatakan sering menimbulkan masalah di sekolahnya termasuk memukul pelajar lain dengan kayu, tetapi tiada tindakan tegas diambil.

Pelajar itu dikatakan tidak dikenakan tindakan berikutan bapanya berpengaruh di kalangan masyarakat di pekan Parit Jawa.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi semalam di Sekolah Menengah Raja Muda, guru berusia 45 tahun yang didakwa dibelasah pelajar terbabit cedera di bahagian tangan kanan dan pinggang.

Guru itu dikatakan dipukul pelajar tingkatan dua berkenaan dengan menggunakan kerusi plastik dari arah belakang ketika guru berkenaan hendak beredar dari meja pelajar terbabit.

Terdahulu, pelajar itu bertindak mengoyak dan membuang kertas peperiksaan mata pelajaran seni yang hendak dikutip guru berkenaan.

Sumber sekolah berkata, kejadian berlaku ketika guru berkenaan mengendalikan peperiksaan mata pelajaran Pendidikan Seni di kelas yang mempunyai kira-kira 30 pelajar.

“Pelajar itu terlupa membawa perkakas warna untuk menduduki peperiksaan itu. Berikutan itu, guru lelaki itu menandakan kertas ujian pelajar terbabit sebagai tidak hadir bagi mengelak dia dianggap gagal mata pelajaran berkenaan.

“Pelajar itu bagaimanapun bertindak mengoyak kertas ujian berkenaan sebelum membuangnya apabila guru itu beredar dari situ. Apabila guru terbabit kembali untuk mengutip kertas ujian terbabit, pelajar itu memberitahu yang dia sudah mengoyak dan membuangnya.

“Guru itu berusaha mencari kertas ujian itu di tong sampah tetapi tidak menjumpainya, untuk dijadikan bukti kepada pengetua sekolah mengenai tindakan pelajar itu,” katanya.

Sumber berkata, guru itu kemudian bersemuka semula dengan pelajar terbabit dan mengarahkan dia bangun dari kerusi selain mengutip kertas ujian yang dibuangnya.

“Bagaimanapun, pelajar terbabit enggan. Guru berkenaan mengulangi arahannya sebanyak tiga kali tetapi pelajar terbabit masih enggan mengikut arahan itu.

“Sikap pelajar itu membuatkan guru berkenaan hilang sabar, lalu menampar pelajar itu sebanyak dua kali sebagai pengajaran serta- merta terhadap sikap biadapnya, sebelum beredar dari situ,” katanya.

Beliau berkata, ketika guru terbabit beredar dari mejanya, pelajar itu tiba-tiba membelasah guru berkenaan dari belakang dengan menggunakan kerusi plastik.

Guru itu dihantar ke Bahagian Kemalangan dan Kecemasan Hospital Muar untuk rawatan.

Guru terbabit ketika ditemui di Hospital Muar, mengesahkan kejadian berkenaan tetapi meminta supaya nama dan gambarnya dalam keadaan kecederaan tidak dirakamkan.

Ketika ditemui pemberita, tangan kanan guru terbabit yang berpangalaman mengajar selama 20 tahun itu, diampu sehelai kain yang diikat kepada lehernya bagi mengurangkan pergerakan pada tangan yang mengalami kecederaan.

Guru itu berkata, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Muar, petang semalam.




Sumber : Harian Metro





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com