SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Ponteng besar-besaran

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

GOMBAK: “Masalah pelajar ponteng di Sekolah Menengah Ideal Height, Bukit Idaman, boleh dianggap `luar biasa' dan tidak terkawal lagi,” kata Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga, Pangsapuri Merak, Taman Bukit Idaman, Hashim Sarip,48, di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian pelajar ponteng sekolah tidak hanya membabitkan pelajar lelaki sesi pagi dan petang malah turut disertai pelajar perempuan.

“Mungkin perkara biasa jika ponteng membabitkan lima hingga 10 pelajar, tetapi apa yang berlaku pelajar yang ponteng di sini boleh mencecah hingga 200 orang,” katanya.

Hashim berkata, keadaan sudah tidak dapat dibendung lagi apabila kumpulan pelajar ponteng dilihat merayau-rayau di padang permainan, kedai, kawasan perumahan, perhentian bas serta di tepi-tepi jalan.

Ahli JawatanKuasa Rukun Tetangga Pangsapuri Merak, Ali Hamid, 43, berkata, aktiviti pelajar ponteng sekolah secara 'besar-besaran' itu menyumbang kepada pelbagai masalah disiplin pelajar seperti menghisap rokok, bergaduh dan merosakkan harta benda awam.

“Pernah saya bertindak membaling kayu kepada dua pelajar yang asyik bercumbu di bawah pangsapuri tanpa menyedari gelagat mereka diperhatikan.

“Malah, kegiatan pelajar menghisap rokok beramai-ramai sudah menjadi pemandangan biasa kepada penghuni di sini,” katanya.

Ali berkata, pelajar akan berkumpul di bahagian bawah pangsapuri sambil menghabiskan masa menghisap rokok.

“Tambah memeranjatkan, terdapat juga pelajar perempuan yang berpakaian sekolah turut menyertai pelajar lelaki menghisap rokok.

“Mereka tidak segan silu atau takut untuk melakukan kegiatan yang menyalahi etika pelajar di tempat umum,” katanya.

Menurutnya, masalah ini kian kritikal kerana tiada sebarang tindakan tegas diambil oleh pihak sekolah, Persatuan Ibubapa Guru (PIBG) atau polis untuk menanganinya.

“Mereka keluar dan masuk dari kawasan sekolah dengan cara memanjat tembok batu setinggi tiga meter yang terletak bersebelahan dengan taman ini,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini pihak sekolah pernah membina pagar berduri tetapi masih gagal menghalang pelajar nakal berkenaan.

“Pihak sekolah kemudian mengambil langkah membina tembok batu setinggi tiga meter dengan memasang kawat berduri di atasnya.

“Namun pelajar bertindak memotong kawat duri berkenaan dan menggunakan kerusi milik sekolah untuk memanjat tembok,” katanya.

Ali berkata, pihak sekolah kemudian bertindak menuang minyak kotor di atas tembok berkenaan tetapi kaedah itu masih gagal menyelesaikan masalah.

Tinjauan Harian Metro, Jumaat lalu mendapati, hampir 80 pelajar sekolah berkenaan memanjat tembok dan lari dari sekolah berkenaan antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari.

Mereka dilihat berkumpul di bahagian belakang blok C, Pangsapuri Merak untuk dijadikan `markas' menghisap rokok beramai-ramai.

Sementara itu, Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak (IPPDG), Asisten Komisioner Massari Hashim yang ditemui meminta pihak sekolah lebih bertanggungjawab dalam memastikan disiplin sekolah dipatuhi oleh setiap pelajar.




Sumber : Harian Metro





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com