SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Teknik belajar - Anak peneroka ketinggalan

Oleh Rohana Man

KURANG menguasai teknik dan tidak mengikut gaya belajar yang berkesan serta ketiadaan jadual belajar di rumah merupakan antara punca anak-anak peneroka Felda terkebelakang dalam pencapaian akademik.

Hasil kajian dan analisis yang dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang mengenai pencapaian anak-anak peneroka Felda di negeri itu dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1999, 2000 dan 2001 turut mendapati anak-anak peneroka Felda kurang mahir membuat nota, mencatat dan membuat latihan-latihan bertulis yang diberi guru.

Pengarahnya, Datuk Abd. Rahim Mohammad berkata, majoriti murid dan pelajar di Felda juga tidak mempunyai cita-cita kerjaya, matlamat dan jati diri yang tinggi untuk mencapai kecemerlangan,'' katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pencapaian Akademik Di Kalangan Anak-Anak Peneroka Felda pada Persidangan Mahasiswa Generasi Felda Semalaysia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain itu katanya, kekurangan pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat juga menjadi faktor anak-anak peneroka Felda kurang berjaya dalam pelajaran.

Beliau menjelaskan faktor itu menyebabkan murid dan pelajar kurang cergas dan bertenaga untuk bertahan lama dalam memberi tumpuan belajar.

Selain sebab-sebab di atas, Abd. Rahim berkata, segelintir murid dan pelajar juga terlibat dengan penagihan dadah, budaya lepak, ponteng sekolah dan kelas, merokok dan seksual.

``Terdapat juga pelajar yang terlibat dengan gangsterisme, bergaduh dan melawan guru,'' ujarnya.

Beliau menjelaskan hasil permasalahan itu menyebabkan pencapaian anak-anak peneroka Felda di Pahang dalam semua peperiksaan utama itu masih jauh lebih rendah berbanding calon sekolah bandar dan luar bandar.

Bagaimanapun, pencapaian keseluruhan anak-anak peneroka dalam peperiksaan SPM lebih baik daripada calon sekolah bandar selepas sistem pensijilan terbuka diperkenalkan pada tahun 2001.

Ini kerana katanya, lebih ramai calon-calon SPM di sekolah bandar gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu yang merupakan mata pelajaran wajib lulus untuk mencapai status Layak Mendapat Sijil (LMS).

Hasil analisis itu juga katanya, menunjukkan murid-murid di sekolah kebangsaan di Felda masih belum berjaya sepenuhnya menguasai semua mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains apabila tamat sekolah rendah.

Kelemahan itu jelasnya, menjejaskan keputusan PMR dan SPM dan ia berlaku apabila murid gagal menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira yang terdapat dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR).

Beliau menegaskan, kemahiran itu amat penting dan menjadi asas yang kukuh bagi murid untuk meneruskan persekolahan menengah.

Menurutnya, jika ia tidak diatasi maka masalah itu akan bersambung pada peringkat menengah rendah yang akhirnya menjejaskan keputusan PMR.

``Apabila ini berlaku maka tidak banyak calon yang berpotensi menduduki SPM terutamanya dalam aliran sains. Kesannya keputusan SPM pula mengecewakan,'' jelasnya.

Justeru beliau mencadangkan supaya pihak sekolah meningkatkan pengurusan kurikulum dan kokurikulum melalui program dan aktiviti dalam bilik darjah dan persatuan mata-mata pelajaran.

Abd. Rahim berkata, pengajaran dan pembelajaran (P&P) di bilik darjah, makmal dan bengkel juga perlu dipertingkatkan menerusi perancangan dan persediaan guru.

Selain itu, katanya, suasana yang kondusif di sekolah untuk pembelajaran yang berkesan perlu diwujudkan manakala peralatan dan bahan untuk P&P perlu lengkap.




Sumber : Berita Malaysia





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/