SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Penyediaan perisian Sains, Matematik 90 peratus siap

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

PROSES pembangunan serta penterjemahan perisian Sains dan Matematik, terutama bagi menangani pertukaran bahasa pengantar dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris, untuk sekolah bestari sudah 90 peratus siap dan boleh digunakan pada sesi persekolahan Januari tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tekelom Smart School (TSS), Mustopha Ahmed, berkata baki 10 peratus lagi akan selesai selewat-lewatnya pada 31 Disember ini.

Ketika ini, beliau berkata, masalah dihadapi dalam pelaksanaan kerja itu membabitkan komponen Matematik untuk sekolah menengah di mana kesulitan yang timbul lebih menjurus kepada aspek teknikal, bukan penterjemahan.

Katanya, TSS bukan saja melakukan kerja menterjemah teks, iaitu modul pengajaran dan pembelajaran daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris, tetapi turut bertindak membangunkan metodologi multimedia berkaitan audio visual, grafik dan animasi.

Sehubungan itu, beliau berkata, TSS terpaksa mengambil masa lama menyiapkannya kerana perlu mengambil kira semua aspek, terutama kualiti dan kelancaran penggunaan perisian itu bagi memastikan tiada sebarang masalah tercetus.

“Saya memberi jaminan, operasi pembangunan perisian komponen Matematik sekolah menengah dapat disiapkan pertengahan Disember ini atau paling lewat akhir tahun ini,” katanya dalam pertemuan dengan Berita Harian di pejabatnya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pembangunan dan penterjemahan perisian Sains dan Matematik di sekolah bestari dilakukan berikutan pelaksanaan dasar baru, iaitu penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar dua subjek itu untuk pelajar tahun satu, tingkatan satu dan tingkatan enam rendah mulai tahun depan.

Mustopha berkata, pihaknya kini dalam proses menguji sistem untuk diserahkan kepada Kementerian Pendidikan dan setakat ini ia berjalan lancar.

Katanya, TSS sudah melakukan dua ujian, iaitu pada Oktober serta November lalu dan ujian terakhir pada Disember ini.

Mengenai perbelanjaan membangun dan menterjemah perisian itu, beliau berkata, Kementerian Pendidikan tidak memberi peruntukan baru, sebaliknya menggunakan bajet sedia ada berjumlah RM300 juta yang disalurkan untuk Projek Rintis Sekolah Bestari.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pemantauan dan pengurusan perubahan sekolah bestari sepanjang tahun ini, beliau menjelaskan bahawa semua sekolah berkenaan sudah menyediakan pelan pengurusan perubahan untuk dilaksanakan di sekolah masing-masing.

Katanya lagi, pasukan projek rintis sekolah itu sudah menjalankan pemantauan aktiviti pengurusan perubahan yang dilaksanakan oleh sekolah terbabit, termasuk lawatan ke setiap sekolah rintis bermula Januari sehingga April lalu.

Beliau berkata, pasukan rintis sekolah berkenaan sudah mengguna pakai senarai semakan untuk melihat kemajuan pelan pengurusan perubahan yang dilaksanakan di situ.

Selain itu, pemantauan turut membabitkan aspek status matriks kontinum perubahan sistematik, iaitu salah satu faktor mengenal pasti kemajuan pengurusan perubahan di Projek Rintis Sekolah Bestari.

“Laporan pemantauan setiap sekolah disediakan dengan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan sekolah, isu dan cabaran semasa serta cadangan penambahbaikan,” katanya.




Sumber : Data diperoleh daripada laman web beralamat: www.tss.com.my





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/