SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Baucer tuisyen - JPN perlu serah maklumat 23 November

Oleh Rajmah Hasan Shirat

SEMUA Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) perlu menyerahkan data-data pelajar miskin di negeri masing-masing kepada Kementerian Pendidikan selewat-lewatnya pada 23 November ini untuk urusan pemberian baucer tuisyen kepada pelajar yang berkenaan.

Menurut sumber, arahan tersebut dibuat selepas taklimat mengenai penyelarasan pemberian bantuan kepada pelajar-pelajar miskin di Kementerian Pendidikan pada 13 November lalu.

``Taklimat yang dihadiri para pegawai JPN turut menyentuh format dan cadangan mengenai peruntukan-peruntukan bantuan pendidikan kepada pelajar-pelajar miskin termasuk baucer tuisyen,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Pemberian baucer tuisyen kepada anak-anak keluarga miskin bagi mendapatkan kelas tambahan daripada guru-guru yang sanggup memberi tuisyen khas di luar waktu sekolah adalah antara elemen menarik dalam Bajet 2003.

Langkah itu bukan sahaja bertujuan membolehkan pelajar-pelajar memperoleh tuisyen, malah akan membantu guru yang rajin menerima pendapatan tambahan.

Selain itu, kerajaan juga akan menyediakan peruntukan sekali bayar sebanyak RM120 setahun secara tunai kepada setiap pelajar dari keluarga miskin untuk membeli pakaian seragam dan peralatan sekolah.

Cadangan Bajet 2003 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat petang ini juga memperuntukkan sebanyak RM1 bilion di bawah Tabung Simpanan Pendidikan khusus untuk membiayai pendidikan tinggi anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah.

Mengulas lanjut, sumber berkata, JPN di setiap negeri akan memaklumkan kepada semua sekolah mengenai arahan tersebut pada Isnin ini.

``Notis rasmi yang diterima dari Bahagian Perancangan dan Penyelidikan (EPRD) Kementerian Pendidikan telah difakskan kepada semua sekolah,'' ujarnya.

Ketika diminta menjelaskan pengumpulan data pelajar terlibat, sumber berkata, ia dibuat berdasarkan senarai Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sedia ada di sekolah-sekolah.

Berdasarkan senarai RMT itu, pelajar miskin yang layak ialah dari keluarga yang berpendapatan kurang RM400 sebulan.

Bagaimanapun kata sumber, senarai nama itu akan dikemas kini oleh pihak sekolah sebelum diserahkan kepada JPN masing-masing.

Dalam perkembangan yang sama, sumber memberitahu, mekanisme pengagihan baucer itu masih belum diputuskan dan pihak JPN hanya diminta mengumpulkan data-data pelajar.

``Ia masih dibincangkan lagi di peringkat kementerian,'' katanya.




Sumber : Utusan Melayu





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/