SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Kelebihan antena rata

Oleh LAUPA JUNUS
(WARTAWAN UTUSAN)

Pernah satu ketika dulu, orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman menunjukkan minat yang tingi dengan saluran televisyen luar negara. Mereka sanggup menggunakan apa sahaja alat berbentuk cembung untuk menerima pancaran gelombang radio.

Ketika itu, bumbung setiap rumah bukan sahaja dipacakkan dengan tiang yang tinggi tetapi pada hujung atau di tengah tiang berkenaan diletakkan dengan apa juga yang berbentuk bulat dan cembung termasuklah tudung periuk dan kuali lama yang dikatakan mampu menerima gelombang televisyen negara jiran.

Pemahaman mereka jelas bahawa gelombang dapat dicerap dengan alat cembung dan bulat sahaja dan pemahaman itu masih kekal diterima sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun perkembangan industri komunikasi tanpa wayar dan kemajuan teknologi satelit memungkinkan lebih banyak inovasi baru dihasilkan untuk pelbagai kegunaan.

Hari ini industri komunikasi menjadi satu industri yang bukan sahaja penting kerana fungsinya sebagai alat perhubungan, malah ia sudah melangkau jauh sebagai industri yang telah melalui banyak perubahan dan diberi nilai tambah serta dikomersialkan.

Elemen-elemen penting yang menyokong industri ini seperti satelit, televisyen dan antena juga turut diberi nilai tambah sejajar dengan usaha-usaha mengkomersialkan dan meningkatkan daya keberkesanannya.

Dalam hal ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mahu menjadi universiti penyelidikan terunggul telah lama melihat ruang dalam memajukan industri komunikasi dengan menubuhkan sepasukan penyelidik bagi mengkaji fungsi dan pentingnya antena dalam industri telekomunikasi.

Pasukan penyelidik tersebut terdiri daripada Prof. Dr. Tharek Abdul Rahman, Prof. Madya Ir. Dr. Wan Khiruddin Wan Ali, Hasnain Abdullah @ Idris, Imran Mohd. Ibrahim, Adil Mohd. dan Farah Ayu Ismail Kassim.

Pasukan penyelidik tersebut yang diketuai oleh Ketua Makmal Penyelidikan Komunikasi Tanpa Wayar, Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM, Prof. Dr. Tharek Abdul Rahman memulakan kajian ke atas antena rata bermula pada 1999.

Prof. Dr. Tharek berkata, penyelidikan dalam bidang antena, berkembang pesat sejak 1930-an bermula daripada penyiaran radio sehinggalah kepada Internet tanpa wayar dan komunikasi radio bergerak generasi ketiga (3G).

``Hampir semua aplikasi komunikasi tanpa wayar termasuk gelombang mikro memerlukan antena,'' katanya.

Menurut beliau, perkembangan dalam sistem komunikasi tanpa wayar kepada sistem penyiaran maklumat melalui satelit mendorong kumpulannya menjalankan kajian antena rata (flat antenna) untuk menerima isyarat yang dipancarkan dari satelit.

Penyelidikan ini berjaya menghasilkan sebuah antena yang mempunyai nilai komersial untuk menerima isyarat dari Satelit Measat bagi perkhidmatan Astro.

Menurut Prof. Dr. Tharek, kumpulannya menjalankan penyelidikan itu dengan kerjasama Makmal Penyelidikan Komunikasi Tanpa Wayar dan Global Technology and Innovation Management Sdn Bhd. (GTIM) dan dibiayai oleh Skim Geran Khas Industri (IGS) bernilai RM1.7juta.

GTIM merupakan firma usaha sama antara UTM dan Universiti Queensland, Australia.

Menurut Prof. Dr. Tharek, antena yang popular digunakan pada masa ini untuk memancar dan menerima gelombang mikro bagi tujuan perhubungan atau penyiaran televisyen satelit ialah jenis parabola.

Penggunaan antena jenis ini (parabola) didapati banyak kelemahan.

``Antara kelemahan antena parabola ialah permukaan antena dihalang oleh feeder (penyuap) mengakibatkan sebahagian isyarat daripada satelit terhalang ke permukaan antena parabola,'' katanya.

Katanya, penyuap merupakan alat yang digunakan untuk mengumpul gelombang yang diterima sebelum disalurkan ke amplifier (penguat).

Bagaimanapun menurut beliau, kelebihan antena rata yang diperkenalkan ini mempunyai penyuap yang diletakkan di bahagian belakang antena, selain permukaannya yang rata.

Kelebihan antena jenis rata ialah ia mempunyai gandaan dan kecekapan yang tinggi.

Antena yang dihasilkan ini dibuat daripada logam jenis tembaga yang mempunyai 2,020 lubang alur berselang-seli. Tembaga yang mempunyai alur-alur ini dilekatkan pada bahan dielektrik.

Lubang alur ini berfungsi menyerap isyarat dari satelit dan disalurkan ke bahagian tengah antena sebelum dikumpulkan oleh penyuap untuk disalurkan ke penguat dan seterusnya ke pentafsir kod (decoder).

Prof. Dr. Tharek berkata, lubang alur ini dibuat berselang-seli bagi memudahkan gelombang yang diserap oleh antena dibawa ke satu titik di bahagian tengah.

``Susunan alur dibuat berselang-seli bagi membolehkan frekuensi gelombang yang diserap dicampurkan dan dibawa ke tengah antena,'' katanya.

Katanya, alur yang bersaiz kecil (antara lapan dan sembilan milimeter) dibuat bersesuaian dengan jarak gelombang.

Menurutnya, jarak gelombang yang kecil menunjukkan gelombang berkenaan berfrekuensi tinggi dan gelombang sedemikian mudah diserap oleh alur yang mempunyai saiz tertentu.

``Alur ini dibentuk sedemikian bagi menyesuaikan penerimaan gelombang berfrekuensi 11 Giga Hertz,'' katanya.

Isyarat daripada pentafsir kod tadi katanya, akan diterima oleh televisyen yang menukarkan data dalam bentuk gambar untuk membolehkan pengguna menonton siaran televisyen dari satelit.

Menurut beliau, reka bentuk prototaip antena rata kini telah menunjukkan keupayaan untuk menerima siaran dari satelit.

Malah katanya, keupayaan antena rata ini setanding antena parabola yang ada di pasaran sekarang.

``Antena ini berupaya memberikan nilai gandaan sebanyak 34 dB (desibel) yang membolehkan antena rata menerima isyarat dari satelit yang berada 36,000 kilometer dari permukaan bumi,'' katanya.

Katanya, gandaan merujuk kepada nilai penumpuan yang diterima dari arah isyarat datang.

Beliau berkata, kelebihan lain antena jenis ini ialah bentuk antena mempunyai nilai estetika dan mampu mengurangkan kesan kepada kehilangan isyarat semasa hujan lebat.

Pendek kata, inovasi penciptaan antena rata bukan sahaja menyanggah andaian awal bahawa semua yang berbentuk cembung sahaja mampu menerima isyarat gelombang, tetapi kegilaan penggunaan tudung periuk dan kuali lama, sudah menjadi bahan jenaka dan sejarah.

Namun, sejauh mana kemampuan antena rata ini menggantikan fungsi antena parabola yang popular sejak 1950-an akan ditentukan oleh pelanggan siaran televisyen satelit sendiri.










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/