SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Kementerian benarkan lawatan waktu persekolahan

KEMENTERIAN Pendidikan menggalakkan semua sekolah menganjurkan lawatan pelajar ke tempat-tempat menarik di seluruh negara pada waktu persekolahan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat berkata, lawatan yang berkonsepkan pelancongan remaja dengan memberi fokus kepada tempat-tempat yang boleh menambah pengetahuan pelajar seperti Petrosains, Pusat Sains Negara dan Muzium boleh diadakan.

Menurutnya, ia merupakan salah satu cara yang digalakkan bagi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah lebih menarik serta memberangsangkan.

Katanya, pembelajaran di luar bilik darjah seperti itu boleh membawa perubahan kepada proses pembelajaran.

``Sekolah-sekolah hendaklah menyediakan apa yang perlu untuk membolehkan lawatan pelajar diadakan pada waktu persekolahan,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perayaan Hari Koperasi Sekolah Se-Malaysia 2002 sempena Hari Koperasi Negara di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Prof. Diraja Ungku A. Aziz.

Menurut Abdul Rafie, surat pekeliling yang ditandatanganinya berhubung perkara itu sudah pun dihantar ke semua sekolah, baru-baru ini.

Pada satu perkembangan lain, beliau mahu pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama dengan pihak sekolah dalam menjayakan program lawatan pelajar.

Ini kerana katanya, kos setiap lawatan anjuran sekolah perlu ditanggung sendiri oleh pelajar.

``Kita menggalakkan pelancongan di sekolah tetapi sumber kewangannya perlu ditanggung sendiri oleh ibu bapa.

``Jadi saya meminta pelbagai pihak termasuk koperasi membantu sekolah menjayakan program,'' katanya sambil menegaskan permuafakatan di antara sekolah dan ibu bapa perlu ada.

Beliau turut menggalakkan sekolah termasuk guru dan pelajar mengamalkan langkah berjimat cermat.

Menurutnya, pihak sekolah boleh mewujudkan tabung jimat cermat untuk membolehkan program lawatan pelajar diadakan.




Sumber : Utusan Melayu





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/