SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Kesatuan mahu insentif guru diseragamkan

Oleh Mohd Azron Sarabatin

BERMULA tahun depan, murid tahun satu, pelajar tingkatan satu dan enam rendah akan mengikuti mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sebelum, sebelum dilaksanakan sepenuhnya membabitkan semua peringkat sekolah menjelang 2008.

Untuk memastikan pelaksanaannya berjalan lancar, Kementerian Pendidikan memperkenal pelbagai insentif, antaranya guru mengajar dua subjek itu dan bahasa Inggeris berpeluang mendapat kenaikan tiga mata gaji dan elaun khas, di samping elaun penempatan luar bandar.

Pada masa sama, guru yang menjadi jurulatih utama ketiga-tiga subjek itu di bawah Malaysian Trainers Development Programme akan diberi keutamaan bagi kenaikan pangkat daripada DG3 (peringkat ijazah) kepada DG2.

Bagi melengkapkan guru dengan kemahiran asas berbahasa Inggeris, kementerian akan melaksanakan kursus intensif, antaranya program `face-to-face immersion', kursus hujung minggu, modul pembelajaran kendiri dan `on-line’ berdasarkan laman web.

Bagaimanapun, skim galakan kepada guru yang mengajar tiga subjek itu berpeluang menikmati kenaikan tiga mata gaji dan elaun khas, selain elaun penempatan luar bandar mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak terutama kesatuan yang mewakili guru dan ibu bapa.

Dua persatuan iaitu Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) berpendapat skim itu dikhuatiri boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan guru mata pelajaran kritikal lain.

Sementara Persatuan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (PKPSM) pula meminta guru mata pelajaran kritikal lain seperti mata pelajaran teknikal, ekonomi dan teknologi maklumat (IT), selain agama dan pendidikan khas agar tidak menuntut elaun yang sama.

Yang Dipertua GMGBM, Sanip Suradi, berkata cadangan pemberian insentif itu perlu ditimbang semula dan diseragamkan kerana dikhuatiri menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan guru lain terutama membabitkan subjek kritikal lain.

Katanya, adalah tidak wajar membezakan antara guru tiga mata pelajaran itu dengan mata pelajaran kritikal lain yang turut menghadapi masalah sama iaitu pelajar gagal menguasainya dan prestasi peperiksaan berada pada tahap mengecewakan.

Beliau berkata, guru agama turut berhadapan masalah sama kerana mereka perlu memberi pemahaman yang mendalam kepada pelajar berkaitan aspek keagamaan yang bukan saja untuk lulus peperiksaan tetapi juga sebagai pedoman hidup.




Sumber : Berita Harian





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/