SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

36,696 laman web dan gerbang diwujudkan

SEBANYAK 36,696 laman web diwujudkan sejak Januari 1995 hingga Disember 2002, berdasarkan kajian yang dilakukan Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia terhadap jumlah bilangan nama domain yang berdaftar di negara ini manakala 80 peratus daripada jabatan dan agensi kerajaan sudah mempunyai laman web masing-masing.

Menterinya, Datuk Amar Leo Moggie, berkata kewujudan laman web dan gerbang maklumat itu membuktikan negara tidak kekeringan inovasi dan kreativiti terutama di kalangan golongan remaja yang perlu digalakkan untuk menerokai pelbagai peluang ditawarkan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Kewujudan laman web dan gerbang tempatan adalah bukti terbaik untuk mempamerkan kepakaran dan kemampuan bakat tempatan,” katanya di Kuala Lumpur, kelmarin.

Beliau berkata, kewujudan gerbang dan laman web secara tidak langsung menyumbang kepada usaha kerajaan untuk menggalak dan membudayakan penggunaan ICT di kalangan masyarakat tempatan.

“Adalah dijangkakan jumlah pelanggan Internet di negara ini berkembang sebanyak 25 peratus menjangkaui tiga juta pelanggan, iaitu kadar penembusan dengan nisbah 14 bagi setiap 100 penduduk,” katanya.

Moggie berkata, kementerian akan menjalankan kajian untuk mengenal pasti dan merangka strategi berkesan bagi memperluaskan perkhidmatan jalur lebar di seluruh negara sebagai langkah meningkatkan bilangan pengguna Internet dan komputer peribadi di negara ini.

“Langkah juga sedang diambil untuk menggalakkan lebih banyak kandungan tempatan dimasukkan ke dalam Internet. Kita boleh mengambil Korea Selatan dan Jepun sebagai contoh yang menyediakan kandungan tempatan dalam bahasa Korea dan Jepun dalam Internet,” katanya.










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/