SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Dia, Ia dan Ianya

Seorang pelajar tingkatan tiga yang ditegur kerana menggunakan perkataan ia untuk menggantikan rumah memberitahu bahawa guru Bahasa Melayu mengatakan perkataan ia digunakan untuk menggantikan benda manakala dia khusus untuk manusia. Ini menunjukkan bahawa kekeliruan penggunaan kata ganti diri nama mufrad (tunggal) dia dan ia belum terlerai.

Awang Sariyan melalui artikelnya pada halaman 366 buku Kesalahan Bahasa dalam Bahasa Malaysia (DBP:1987) bertegas bahawa bahasa Malaysia (bahasa Melayu) tidak mengenali kata ganti untuk selain manusia, kecuali dalam dongeng binatang. Malahan, penggunaan kata ganti diri untuk benda, binatang atau konsep bertentangan dengan nilai sosiobudaya Melayu. Menurut Awang Sariyan dalam artikelnya itu, Asraf juga tidak bersetuju dengan penggunaan ia untuk bukan manusia. Bagi Asraf, perkataan itu sengaja dipadankan daripada bahasa Inggeris, it, oleh pihak yang tertentu yang kononnya untuk mengelakkan kekaburan makna dan pengulangan kata nama yang menyebabkan bahasa menjadi tidak ekonomis. Menurutnya, ia untuk bukan manusia boleh dianggap bentuk palsu yang mencemarkan bahasa Melayu.

Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (DBP: 1995) turut menegaskan bahawa kata ganti nama diri adalah untuk menggantikan diri orang. Oleh itu, perkataan-perkataan tersebut tidak sesuai digunakan untuk bukan orang, sama ada untuk benda, haiwan, atau konsep. Demikian juga halnya Asmah Haji Omar dalam Nahu Melayu Mutakhir (Edisi Baru) (DBP:1986) pada halaman 82 dengan jelas menyatakan, "...kata ia sekarang adalah kata lain untuk dia.". Ini bermakna kedua-duanya tidak berbeza dari segi maksud dan fungsinya.

Satu lagi bentuk yang berkaitan dan sangat gemar digunakan oleh kebanyakan pelajar ialah ianya. Perkataan ini menggabungkan kata ia dengan satu lagi kata nama ganti diri ketiga yang bersifat klisis (lemah), -nya. Pelajar yang terlibat beranggapan bahawa ianya ialah kata ganti yang sesuai untuk bukan manusia kerana dia dan ia hanya boleh digunakan untuk manusia. Yang jelas, sekiranya pelajar berkenaan memahami bahawa ia tidak sesuai digunakan untuk konteks demikian, sudah tentu ianya juga begitu, kerana penciptaan perkataan itu untuk menjelaskan konsep atau maksud yang sama.

Begitupun, penggunaan kata ganti nama diri yang dikhususkan kepada manusia sahaja ini dipertikaikan oleh sesetengah pihak dengan mengemukakan kata ganti lemah -nya seperti dalam ayat ini: Lembu itu mengibaskan ekornya ke punggungnya. Kedua-duanya tersebut digunakan untuk menggantikan lembu itu. Oleh itu pihak terbabit berpendapat bahawa kata ganti boleh juga digunakan untuk bukan manusia. Pendapat ini tidak tepat kerana ayat itu sudah dapat menjelaskan perbuatan lembu itu ke atas diri sendiri walaupun kedua-dua -nya itu tidak digunakan.

Pelajar tingkatan tiga tadi meminta saya memberikan pilihan lain sekiranya ia tidak boleh digunakan. Saya menyuruhnya mengulangi perkataan rumah itu ataupun menggunakan barang itu atau benda itu untuk benda, binatang itu atau menyebut semula nama binatang berkenaan untuk binatang, dan hal itu atau perkara itu untuk menggantikan konsep. Pelajar tersebut bersungut kerana terpaksa menulis panjang sedikit. Saya mengingatkannya bahawa tidak semua perkara boleh diringkaskan, sebagaimana tidak semua tempat mempunyai jalan pintas.

Masalah ini timbul kerana bentuk itu telah digunakan dengan utuh dalam komunikasi lisan, tetapi tidak semestinya betul atau sesuai untuk konteks penulisan. Selain itu, hal ini terjadi kerana kalangan guru mendapat petunjuk daripada munsyi yang berlainan pandangan. Untuk mengatasi masalah ini dan kekeliruan lain yang melibatkan tatabahasa, guru bahasa harus merujuk sumber yang telah diberikan perakuan. Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia untuk setiap tingkatan yang dikeluarkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan telah menetapkan buku Tatabahasa Dewan sebagai buku tatabahasa pegangan. Kelainan pegangan terhadap sesuatu bentuk atau konsep sesuai dan wajar didedahkan kepada pelajar pada tahap pengajian tinggi sahaja.

Suhaimi Mohd Salleh
"Ruangan Pembaca", Pelita Bahasa,










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/