SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Asal Usul Bahasa Melayu

ASAL USUL BAHASA MELAYU

 

Permulaan sebenar penggunaan perkataan Melayu tidak dapat dipastikan. Tetapi terdapat beberapa catatan yang menunjukkan penggunaan perkataan tertentu yang hampir menyamai perkataan itu. Istilah Melayu menjadi terkenal apabila kerajaan Melayu di Sumatera berjaya menguasai kerajaan Srivijaya pada abad ke-13.

 

        Riwayat China (sekitar 644 Masihi) menyebut bahawa kerajaan Mo-lo-yeu dipercayai terletak di daerah Jambi (di selatan Sumatera). Kerajaan itu mempersembahkan hasil bumi kepada Kaisar China. Gelaran itu mungkin digunakan kepada suku-suku di daerah Tanah Melayu dan Sumatera.

 

Buku catatan orang China yang lain, iaitu Ta Dang Si Yu Chiu Fia Kao Cheng Zhuan dan Han Nan Chi Guai Nun Fa Zhuan turut menyebutkan perkataan Mo Lou Yu. Perkataan Wu Lai Yu terdapat dalam buku Hai Lu Chu dan Zheng He Hang Hai Tu.

 

Chen Chung Shin dalam Buku Tong Nan Ya Lien Guo Zhi (“Negeri-Negeri di Asia Tenggara”) menyebut bahawa orang-orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu mendapat nama daripada perkataan Mo Lo Yu.Tetapi orang Cina ketika itu menyebutnya sebagai Ma Li Yi Er, Wu Lai Yu dan Ma La Yu.

 

Dalam satu catatan I-Tsing, rahib Buddha China (675-685 Masihi), terdapat perkataan Malayu yang merujuk kerajaan besar yang berpengkalan di Sungai Batang (di Sumatera).

 

Perkataan Malayu juga didapati tertulis di bahagian belakang sebuah patung (1286 Masihi) yang dijumpai di Padang Rocore (di kawasan Sungai Batanghari, selatan Sumatera).

 

Sejarah Melayu ada menyebut perkataan Melayu yang merujuk nama sebatang sungai di hulu Muara Tatang, berdekatan Bukit Siguntang.

 

KONSEP MELAYU

 

Definisi/Tafsiran Awal

Omar Amir Husin mengemukakan dua kemungkinan. Pertama, perkataan itu berdasarkan nama daerah di Persia, Mahaluyah. Penduduk Mahaluyah mengembara ke Asia Tenggara dan membawa pengaruh Persia ke dalam budaya tempatan, malah menetap di Sumatera dan di sekitarnya. Kemungkinan keduanya, perkataan itu daripada nama guru-guru yang bergelar Mulaya, yang memainkan peranan menyuburkan kebudayaan Melayu.

 

       Darus Ahmad berpendapat, Melayu bersempena nama pokok gaharu (yang harum baunya). Hal ini ada kaitan dengan kegemaran orang India pada masa dahulu memanggil Tanah Melayu sebagai “Negara Gaharu”.

 

Van der Tuuk mengertikan Melayu sebagai “penyeberang”, kerana orang Melayu didapati menyeberang atau menukar agama daripada Hindu-Buddha kepada Islam.

 

Hollander mengatakan bahawa Melayu hampir sama erti dengan “pengembara”, kerana orang Melayu suka menjelajah dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

 

 

Definisi dari Segi Etimologi

Menurut Harun Aminurrashid, perkataan Melayu berasal daripada istilah Malaya (bahasa Sanskrit), Malai (bahasa Tamil), dan Malayo (bahasa Portugis), yang bererti “bukit” atau “tanah tinggi”.

 

        Werndly mengatakan asalnya daripada perkataan Melaju; iaitu daripada kata dasar laju, yang bererti “orang Melayu bersifat tangkas dan cerdas” atau “segala tindak-tanduk cepat dan deras”.

 

         Prof. Dr. Khoo Kay Kim mengaitkan makna Melayu dalam bahasa Jawa, iaitu “lari”. Ini dikaitkan dengan Parasmeswara (pengasas kerajaan Melayu Melaka) lari dari Palembang ke Temasik, dan lari lagi ke Melaka. Oleh itu, bangsanya dikatakan “bangsa yang lari”.

 

Definisi Berdasarkan Bangsa

Van Ronkel menganggap Melayu ialah bangsa yang bertutur bahasa Melayu. Bangsa ini mendiami Semenanjung Tanah Melayu, kepulauan Riau-Lingga serta beberapa buah daerah di Sumatera, khususnya Palembang.

 

Robequin mengatakan bahawa bangsa Melayu meliputi kawasan Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Indonesia dan Filipina, tetapi tidak termasuk New Guinea dan pulau-pulau Melanesia.

 

       Takrifan UNESCO (1972) merujuk Melayu sebagai suku bangsa di Semenanjung termasuk orang-orang Melayu di Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagaskar.

 

       Benton William menjelaskan bahawa Melayu ialah penduduk yang mendiami Asia Tenggara dan pulau-pulau berdekatan. Nenek moyang mereka berasal daripada bangsa Austronesia Proto, Melayu Proto, Mongoloid Indonesia atau Malayan yang berasal dari Yunan (selatan China).

 

Menurut Hendrick Kern & Von Heine-Geldern, Melayu bangsa yang berasal daripada kumpulan Melayu Proto dan Melayu Deutro yang datang ke Asia Tenggara dari Yunan. Melayu Proto datang pada tahun 2500 Sebelum Masihi, terdiri daripada suku-suku Jakun, Mah Meri, Jahut, Temuan dan Biduanda. Melayu Deutro tiba pada tahun 1500 Sebelum Masihi, menetap di pesisir pantai dan menjadi nenek moyang orang Melayu kini.

 

A.H. Kean berpendapat Melayu bangsa yang berasal daripada campuran bangsa Kaukasus dengan bangsa Monggol.

 

Perkara 160 Perlembagaan Malaysia menganggap Melayu ialah “...seseorang yang menganut agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu...”. Ini menjadikan Melayu bangsa Melayu bersifat “sistem terbuka” (yang dibuka kepada sesiapa sahaja yang memenuhi takrif tersebut).

 










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/