SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Wilderness Adventure untuk pelajar, guru

Oleh: ZALINA YAHYA

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan program kepimpinan berkonsepkan pengembaraan laut dan darat khusus untuk pelajar dan guru sebagai sokongan kepada program Khidmat Negara.

Menurut Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, program yang dinamakan Wilderness Adventure itu akan bermula pada 17 Februari ini melibatkan pengembaraan di beberapa lokasi seperti di kawasan kaki bukit, tepi laut dan dalam hutan sekitar Pulau Langkawi, Kedah.

Pengembaraan di laut, katanya, akan melibatkan penggunaan kapal milik syarikat perkapalan Kumpulan Halim Mazmin, bernama Reef Explorer yang telah diubahsuai serta dilengkapi dengan keperluan asas seperti kabin penginapan, bilik kuliah, dapur dan sebagainya.

Kapal yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan maksimum ini mampu memuatkan antara 30 hingga 40 orang dalam satu masa.

``Matlamat utama program ini adalah untuk membentuk daya kepimpinan dan membentuk potensi diri peserta.

``Ia dirangka khusus untuk pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan juga guru pelatih sejajar dengan kehendak kokurikulum sekolah di Malaysia untuk membimbing pelajar dengan kematangan fikiran, kepimpinan berwibawa serta menjadi warganegara yang proaktif dan produktif,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelas Musa, dalam melaksanakan matlamat ini, pihaknya bertuah kerana mendapat sokongan daripada pihak swasta iaitu daripada syarikat perkapalan milik Tan Sri Halim Mohammad selaku Pengerusi Eksekutif Halim Mazmin Berhad.

Program kepimpinan ini tambah Musa, akan dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan yang akan menanggung kos perbelanjaan termasuk insurans setiap peserta.

Kementerian Pendidikan juga jelasnya, akan bertindak sebagai penasihat dalam pelaksanaan serta meluluskan pengisian program, di samping membuat pemilihan pelajar yang layak untuk mengikuti program ini.

Salah sebuah syarikat dalam kumpulan Halim Mazmin iaitu Wilderness Centre Sdn. Bhd. pula, menurut Musa, akan terlibat sepenuhnya dari segi pelaksanaan program.

Tambah beliau, empat golongan pelajar yang akan terlibat dalam program ini ialah pelajar tingkatan dua, tingkatan empat, pelajar IPT dan guru-guru pelatih.

Kata Musa lagi, seramai 200 pelajar akan terlibat dengan program ini pada setiap sesi.

Dijangkakan seramai 10,000 pelajar daripada semua komposisi tersebut akan mengikuti latihan kepimpinan tersebut setiap tahun, katanya.

Program Wilderness Adventure yang akan mengambil masa lima hari, empat malam itu akan diadakan sepanjang tahun kecuali pada bulan Ramadan dan Hari Raya, kata beliau.

Jelasnya lagi, semasa pengembaraan, setiap kumpulan akan ditugaskan untuk menyelesaikan masalah dan memenuhi objektif yang berbeza.

Matlamat program ini, kata Musa, adalah untuk membangkitkan kesedaran dan keupayaan diri masing-masing, kebolehan berinteraksi dengan orang lain serta menghayati kehidupan dan alam semulajadi.

``Ia adalah satu pengembaraan penemuan diri,'' jelasnya.

Program tersebut akan diisi dengan empat aktiviti utama melibatkan aktiviti luar, keperibadian diri, pembangunan sahsiah diri dan pengembaraan laut.

Aktiviti-aktiviti luar termasuklah mendaki dan menuruni bukit, berkayak di laut dan merentas hutan, katanya.

``Aktiviti pengembaraan laut pula akan melibatkan program menghayati ilmu nautika, kemahiran ikhtiar hidup, pembacaan kompas pelayaran dan keselamatan di atas kapal,'' jelasnya.

Musa berkata, program ini akan dikendalikan oleh pakar-pakar tempatan dan luar negara yang bertauliah dan berpengalaman dalam bidang ini.










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/