SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Sekolah: Pengurusan mesti cekap - Razali

Mukadimah

PENGARAH Bahagian Pendidikan Guru (BPG) Kementerian Pendidikan, Razali Ismail yang dilantik menerajui bahagian berkenaan pada 1 Januari ini bukanlah orang baru di bahagian tersebut.

Ibarat sirih pulang ke gagang, beliau melihat pelantikan itu suatu amanah besar yang perlu ditunaikan.

Namun beliau mengakui, cabaran paling utama menunggunya ialah melahirkan warga pendidik yang memenuhi kehendak pelanggan iaitu masyarakat terutama para pelajar.

Apatah lagi dengan dasar baru yang diperkenalkan iaitu pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (SMI).

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, MARZITA ABDULLAH dengan Razali mengenai cabaran dan hala tuju BPG di bawah pimpinannya.

Soalan : Ke mana hala tuju BPG di bawah pimpinan sekarang.

Jawapan : BPG masih berpegang kepada dasar pendidikan negara melalui teras utama dalam pembangunan pendidikan iaitu memberi peluang pendidikan kepada semua pihak.

Ini penting, sekiranya sesuatu daerah atau kawasan pedalaman tidak mendapat peluang itu, peningkatan pendidikan tidak berlaku.

Agihan dalam peluang itu perlulah setimpal sama ada di bandar dan luar bandar atau pedalaman iaitu dari sumber tenaga guru dan kemudahan fizikal.

Jika tidak akan `sengetlah' perkembangan ekonomi kita.

Kualiti pendidikan perlulah memberi kepuasan kepada pelanggan kalau boleh biarlah mengatasi kehendak dan keinginan pelanggan.

Kecekapan keberkesanan pengurusan sekolah adalah penting iaitu pengetua dan guru besar haruslah sentiasa sensitif dengan pengurusan.

Dalam hal ini juga kita harus ingat bahawa BPG berperanan memberi latihan-latihan kepada guru-guru sama ada dalam perkhidmatan mahu pun pra perkhidmatan manakala kursus kepimpinan dikendalikan oleh Institut Aminuddin Baki (IAB).

S: Perlukah perubahan dilakukan di BPG sekarang.

J: Kita tidak melakukan perubahan tetapi BPG akan memperkasa pendidikan guru. Tidak boleh tidak, kita perlu memastikan perkembangan dari segi keterampilan guru-guru dan pensyarah.

Ini bersesuaian dengan usaha untuk memperbanyakkan guru-guru di peringkat siswazah, sesuai dengan situasi dan peranan mereka sekarang.

S: Apakah perubahan besar yang tuan lihat dalam perkembangan pendidikan guru di negara ini.

J: Pelbagai rencam berlaku dalam pendidikan guru terutama dengan pengenalan SMI.

Semua ini merupakan perubahan untuk memenuhi tuntutan semasa pelanggan tetapi yang penting adalah peruntukan yang semakin besar diperoleh untuk tujuan itu.

Inilah yang menjayakan perubahan tersebut dan sasaran kita adalah guru-guru dalam perkhidmatan.

Kita memperoleh peruntukan sebanyak RM228 juta hanya untuk melatih guru-guru dalam perkhidmatan, antaranya meliputi pengukuhan dan perubahan pedagogi dan kurikulum.

Pada tahun lalu kita berjaya melatih 400,000 guru-guru dalam perkhidmatan, suatu jumlah yang besar jika dibandingkan dengan enrolmen guru-guru pra perkhidmatan iaitu sekitar 30,000 orang.

S: Apakah dengan latihan itu bermakna guru-guru kita telah berjaya memenuhi kehendak pelanggannya.

J: Kita percaya ia berlaku namun tidak sepenuhnya kerana masih ada `kambing hitam' yang tidak dapat memenuhi amanah yang diberikan.

Namun apa pun, yang penting BPG perlu memastikan siap siaga guru-guru untuk memastikan mereka diperlengkapkan dengan ilmu seiring zamannya.

Dalam abad ini, kita harus ingat mereka yang buat huruf bukanlah mereka yang tidak tahu membaca atau menulis tetapi adalah mereka yang tidak mahu belajar dan belajar semula.

Untuk itu jugalah latihan-latihan tersebut diperlukan supaya ia dapat membawa kepada perubahan dari segi sikap dan pengetahuan guru.

Bukan sekadar kursus pedagogi atau kurikulum itu kita juga melampirkan kursus dengan kemahiran berfikir melalui pendekatan guru sebagai sebagai pemudah cara.

Memang kita akui keterampilan guru-guru di sekolah adalah melalui kepimpinan dan tingkah laku yang positif.

Dan kejayaan guru adalah menunaikan amanah mereka iaitu membina keterampilan dan perubahan tingkah laku murid-murid itu.

Dalam memenuhi perkara itu juga guru perlu banyak membaca, menyertai perbincangan dan berani mencuba kaedah baru serta bertanggungjawab dan muafakat dengan rakan-rakan.

Dalam pemuafakatan itu juga pengetua dan guru besar harus terlibat sama.

S: Tahun ini memperlihatkan kira-kira 2,000 calon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) diserapkan ke sekolah rendah. Adakah ini akan mengurangkan peluang lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bidang perguruan.

J: Perubahan itu sebenarnya adalah dasar pendidikan iaitu untuk melihat 50 peratus guru-guru sekolah rendah adalah di kalangan siswazah pada tahun 2010.

Perubahan secara perlahan-lahan ini sebenarnya bukan menutup peluang kepada lulusan SPM.

Kita masih memerlukan guru-guru dalam mata pelajaran lain yang berkelulusan SPM seperti guru bahasa Tamil dan Cina.

Sebenarnya kekosongan guru adalah berdasarkan unjuran, kita tidak boleh membuat penambahan atau pengurangan secara sembarangan










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/