Make your own free website on Tripod.com
SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Sains dan Matematik: Kerjaya guru semakin mencabar

Kerjaya Pilihan

PELUANG pengajian di bidang pendidikan Sains dan Matematik cukup luas di universiti tempatan kerana tidak ramai berminat mengikuti bidang ini.

Kursus pendidikan bidang Sains dan Matematik yang ditawarkan di universiti adalah untuk menyediakan bakal pendidik dalam bidang fizik, kimia, biologi, matematik dan rampaian sains.

Semasa pengajian, pelajar akan didedahkan dengan kursus-kursus mengikut pengkhususan yang dipilih seperti fizik, kimia, biologi, rampaian sains dan matematik. Pelajar juga akan diajar dengan kursus-kursus berkaitan kaedah pendidikan dan teknik-teknik mengajar.

Untuk melengkapkan diri sebagai seorang guru berkelayakan, pelajar yang mengikuti program ini perlu menjalani latihan mengajar selama 12 minggu di sekolah-sekolah di bawah penyeliaan pensyarah masing-masing.

Lulusan di bidang ini tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerjaan. Mereka yang berada di bawah tajaan Kementerian Pendidikan akan berkhidmat sebagai pendidik di sekolah-sekolah kerajaan. Lulusan bidang ini juga boleh berkhidmat di institusi pendidikan lain seperti sekolah-sekolah swasta.

CIRI-CIRI PERIBADI YANG DIPERLUKAN

i. Meminati profesion ini

ii. Mempunyai pengetahuan di bidang Sains dan Matematik

iii.Suka membaca dan menambah ilmu

iv. Sanggup mendidik dan menunjuk ajar murid-murid

v. Mampu menghadapi cabaran dunia pendidikan

vi. Sanggup bekerja tanpa mengira tempat sama ada di bandar atau luar bandar

vii. Berperibadi mulia

SYARAT MENJADI GURU SISWAZAH SAINS DAN MATEMATIK

Pelajar harus memiliki ijazah Sarjana Muda Sains (Pendidikan) dari mana-mana universiti tempatan atau luar negara yang diiktiraf. Bagi yang memiliki ijazah Sarjana Muda Sains sahaja perlu mengikuti program diploma siswazah pendidikan selama setahun di universiti atau kursus perguruan lepasan ijazah di maktab-maktab perguruan.

TEMPAT MELANJUTKAN PENGAJIAN

Sebahagian besar universiti tempatan menawarkan kursus sarjana muda sains dengan pendidikan iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

SYARAT YANG DIPERLUKAN

Terdapat beberapa cara untuk mengikuti kursus sarjana muda sains dengan pendidikan di universiti-universiti tempatan.

Cara pertama: Pelajar perlu lulus dengan baik peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aliran sains/SPMV untuk dipilih masuk ke program matrikulasi sains/asasi sains. Selepas menamatkan pengajian di peringkat ini selama satu atau dua tahun, pelajar akan ditawarkan ke peringkat ijazah sarjana muda.

Cara kedua: UTM merupakan satu-satunya universiti tempatan yang menawarkan kepada lepasan SPM/SPMV untuk terus ke peringkat ijazah sarjana muda.

Oleh itu lepasan SPM aliran sains berpeluang ke peringkat sarjana muda dengan syarat mendapat keputusan yang cemerlang serta mendapat kepujian sekurang-kurangnya dalam lima mata pelajaran iaitu bahasa Melayu, Matematik dan tiga yang lain terutamanya mata pelajaran sains.

Cara ketiga: Pelajar harus lulus peperiksaan SPM/SPMV dengan mendapat kepujian dalam mata pelajaran bahasa Melayu dan mendapat keputusan baik di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) aliran sains serta mendapat sekurang-kurangnya lulus gred R dalam mata pelajaran berkaitan pengkhususan yang dipilih.










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
http://smkso2000.tripod.com/