SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Cerpen : Menang, kalah dan seri

SEPERTI temu janji, dapat juga bertemu dengan Puan Diana Raheb pagi Sabtu. Bertemu di bilik pengarah gred 4, Puan Hanadi Ayoub.

Nampak agak lengang pekarangan Sekolah Al-Mawakeb yang terletak di Barsha. Lebih kurang 20 kilometer dari pusat bandar. Lengang. Para pelajar sedang dalam kelas masing-masing.

Kedua-dua mereka menyambut dengan mesra. Dengan bahasa Inggeris slanga Amerika yang cukup ketara. Berpelukan dan bertanya khabar seperti biasa. Memang cukup mesra dan bersopan. Ini bukan pertemuan pertama dengan mereka dan sudah saling kenal.

Lagipun satu kelas hanya mempunyai 20 orang pelajar. Kerana itu bayaran yuran sekolah agak mahal. Seribu ringgit sebulan. Lebih mahal daripada masuk universiti. Sebab itulah sekolah pun nampak agak elit dan eksklusif. Nasib baik semua ditanggung syarikat tempat suami bekerja.

Kalau tidak, rabak juga poket dibuatnya. Kalau nak murah, masuk sekolah kurikulum India. Sekolah kebangsaan hanya untuk Arab tempatan.

Al-Mawakeb menggunakan kurikulum Amerika dengan guru-guru Arab yang kebanyakan datang dari Lebanon. Orang Lebanon memang lebih mesra dan terbuka daripada Arab tempatan. Dan mereka tidak semuanya Islam. Ramai juga penganut agama Kristian ortodoks. Tetapi bercakap sebiji macam orang Islam.

Terasa lebih mesra kerana mungkin juga kerana sama-sama ekspatriat di bumi orang. Majoriti pelajar Al-Mawakeb adalah Arab Lebanon dan Arab tempatan. Selain dari Amerika dan Eropah.

Kami terus kepada objektif pertemuan.

``Anak puan memang hebat di gred 4, bertuah kami di Mawakeb dapat seorang pelajar seperti Saifullah!'' Puan Hanadi Ayoub bercakap dengan penuh bersemangat. Wajahnya nampak begitu ceria.

``Alhamdulillah!'' perlahan saya berkata, terasa bangga juga mendengar pujian tersebut. Sememangnya Saifullah anak yang baik. Walau sedikit degil kadang-kadang, tetapi biasalah, masih berumur sembilan tahun. Anak pertama yang tubuhnya memang agak besar, sudah hampir sama tinggi dengan saya.

``Bukan sahaja pintar, dia juga memang aktif. Mahu terlibat dalam pelbagai aktiviti, paling minat bermain bola!'' sambung Puan Diana yang kelihatan lebih bersemangat sebagai guru kelas gred 4A, kelas Saifullah.

Itulah objektif utama. Pasal main bola. Dengan kejohanan Piala Dunia yang baru berlangsung di Korea dan Jepun, Saifullah menjadi begitu hiperaktif. Peminat Ronaldo dan David Beckham. Mengumpulkan jersi bola Manchester United dan Brazil. Asyik bermain permainan Playstation, FIFA World Cup. Leka melayar Internet untuk mencari bahan mengenai pemain dan pasukan yang diminati.

Tidak seperi ayahnya, suami saya tidak minat langsung dengan bola.

``Sebenarnya itulah yang ingin diperkatakan, pasal main bola!'' saya berkata perlahan. Cuba mencari perkataan yang sesuai untuk ayat selanjutnya.

Kedua-duanya diam, menanti dengan sabar.

Saya memang tidak pasti untuk membina ayat selanjutnya. Terasa lucu pun ada. Tetapi agak risau melihat Saifullah yang semakin tidak berminat ke sekolah, hanya kerana bola. Kejut bangun pagi pun sudah semakin payah.

``Saya tidak pasti apa masalahnya kerana saya sendiri tidak tahu pasal bola. Ayahnya pula asyik sibuk dengan tugas dan selalu keluar negara.''

Saya terdiam. Mencari kekuatan. Perkara ini telah dibincang dengan suami. Dia hanya berkata, pergi ke sekolah dan bincang. Walau sedikit sebanyak berkata mungkin jurulatih itu ada semangat perkauman, mementingkan anak Arab daripada anak Melayu. Bagi saya itu cuma prasangka dan tidak baik berprasangka.

``Saifullah kini kerap mengadu pasal dia selalu tidak dipanggil berlatih main bola dan baru-baru ini tidak terpilih untuk wakil gred 4 ke perlawanan persahabatan dengan Al-Mawakeb Garhoud. Dia jadi kecewa kerana katanya dia bermain lebih baik berbanding dengan pelajar lain. Lalu nak pergi sekolah pun dia malas walau kami cuba memujuk dia secara psikologi dengan memberi perangsang, walau kami rasa mungkin dia yang belum layak!''

Puan Diana dan Puan Hanadi nampak terkejut.

``Jadi, hajat saya ialah untuk tahu hal yang sebenarnya, bukan untuk menyalahkan sesiapa. Mungkin Saifullah yang perasan dia bermain dengan baik, selalu cerita dia sumbat gol!''

Puan Diana kemudian bangun ke telefon yang terletak di atas meja Puan Hanadi.

``Kami tidak tahu-menahu mengenai perkara ini, biar kami panggil jurulatih, Abdul Hamid Juma!''

Saya sekadar menarik nafas, bukan mudah untuk bercakap mengenai topik sebegini. Tetapi perlu berterus terang untuk tahu cerita sebenar dan menghilangkan prasangka tidak baik.

Walau bukan masalah akademik, tetapi masalah sebegini boleh mematikan semangat Saifullah. Saya dan suami memang mahu Saifullah turut aktif dalam sukan agar seimbang pendidikannya.

Setelah menanti beberapa minit, muncul seorang lelaki Arab yang berkulit hitam dan sedikit berumur, mungkin dalam akhir 40-an. Itulah jurulatih bola sepak sekolah. Puan Diana memperkenalkan beliau kepada saya dan bercakap sesuatu kepada Abdul Hamid dalam bahasa Arab.

``Maaf puan, Abdul Hamid ini kurang fasih bahasa Inggeris,'' celah Puan Hanadi.

Sebaik habis Puan Diana bercakap, nampak Abdul Hamid ketawa sambil menggeleng kepala. ``Mafi musykila!'' Abdul Hamid bercakap yang ertinya tiada masalah.

Dia berpaling ke arah saya. Puan Diana dan Puan Hanadi sama tertawa.

``Begini puan...,'' Puan Hanadi terhenti. Tersenyum.

``Menurut Abdul Hamid, Saifullah memang seorang pemain yang bagus, tetapi beliau tidak fasih berbahasa Arab dan Abdul Hamid tidak tahu berbahasa Inggeris. Macam ayam dan itik. Selalu arahan Abdul Hamid tidak dapat diikuti dengan baik oleh Saifullah. Lebih daripada itu Saifullah pula suka bermain secara individual, bukan berpasukan. Jadi agak sukar untuk Abdul Hamid mewujudkan satu pasukan yang baik.''

Saya sama tertawa. Terasa lega.

``Syukran Abdul Hamid. Bukan apa, kami bimbang mengenai Saifullah yang nampak hilang semangat ke sekolah kerana gagal main bola mewakili gred.''

``Begitupun puan, Abdul Hamid kata dia akan memilih Saifullah sebagai pemain simpanan dan mungkin bermain juga di perlawanan bulan depan,'' jawab Puan Hanadi dalam ketawa.

Selesai masalah pertama. Terasa lega. Terbayang wajah Saifullah. Mungkin berita baik ini perlu dirahsiakan. Biar Abdul Hamid sendiri yang memberitahu Saifullah. Kalau tidak nampak sangat dia dapat bermain kerana campur tangan ibu sendiri.

Setelah mengucapkan terima kasih kepada mereka, saya segera ke bilik pengarah gred 3 yang terletak di blok sebelah. Masalah kedua.

Puan Dareen Khalifa sudah menunggu. Seperti biasa dimulai dengan berpelukan dan bertanya khabar. Juga mesra orangnya.

``Anak puan, Faidhi ini memang bijak dan lucu orangnya. Kami panggil dia badut. Ada saja jenaka dan telatahnya!''

Sememangnya Saifullah dan Faidhi cukup dikenali di Al-Mawakeb, bukan sekadar kerana hanya dua orang anak Malaysia yang berada di situ, tetapi mereka tahu untuk menyesuaikan diri. Sebenarnya, Faidhi lebih popular daripada Saifullah kerana dia lebih peramah dan tidak kisah.

``Itulah Puan Dareen... Faidhi ada berkata yang dia terpilih untuk berlakon dalam sebuah teater. Sebagai hero, dia mengadu pada saya, menangis-nangis yang dia tidak mahu jadi hero, dia mahu jadi pelawak!''

Puan Dareen yang tubuh agak gempal ketawa besar. Sehingga bangun dari kerusi.

``Nanti saya panggil guru teater,'' katanya terus ketawa. Menggeleng-geleng kepala. Saya sendiri berasa kelucuannya. Tetapi itulah telatah anak-anak. Diambil terlalu serius pun tidak boleh.

Datang seorang guru wanita. Arab tempatan. Mengejutkan sekali. Jarang sekali wanita Arab tempatan yang berminat dengan seni, apalagi teater. Saya sendiri juga tidak berminat langsung dengan teater.

``Ini Cik Amira. Ini ibu Faidhi!'' Puan Dareen memperkenalkan kami. Terus berpelukan dan bertanya khabar. Nampak Cik Amira masih muda. Agak kurus dan kecil. Memakai abaya hitam, seperti wanita Arab tempatan lain.

Setelah bercerita mengenai `masalah' yang diutarakan, Cik Amira sama ketawa.

``Teater ini cerita serius, mengenai perjuangan orang Palestin. Mana ada pelawak!'' jelas Cik Amira sambil terkekeh.

``Nanti saya akan terangkan kepada Faidhi!''

Saya tahu Cik Amira masih mahukan Faidhi kerana katanya agak mudah dilatih untuk berlakon. Faidhi juga senang mengingat skrip. Sememangnya Faidhi jenis selamba dan banyak menghabiskan masa bermain, tidak seperti Saifullah yang lebih serius. Begitupun, dalam peperiksaan kedua-dua mereka terus saja menjadi pelajar terbaik.

``Faidhi ada beritahu dia lebih suka buat stand up comedy saja. Banyak idea jenaka yang dia ambil daripada Internet. Malah dia banyak baca buku komedi. Mungkin idea yang baik untuk Faidhi berlakon sebegitu!''

Cik Amira terdiam sambil memandang jauh ke arah padang sekolah yang kini dipenuhi kanak-kanak. Saya rasa serba salah, seolah-olah mengganggu kerja beliau. Bukan mudah untuk saya bercakap sedemikian kerana tahu ramai wanita Arab tempatan yang sedikit sensitif. Tidak terbuka seperti wanita Arab Lebanon.

``Cadangan yang baik!'' katanya. ``Mengapa tidak? Saya pun tidak terfikirkan perkara ini!''

Wajahnya nampak bercahaya. Ternyata salah tanggapan awal saya. Cik Amira bersikap terbuka.

Kami berpisah tengah hari itu. Saya cuba meninjau Saifullah dan Faidhi dari jauh di balik pagar simen. Nampak mereka sedang bermain di waktu rehat.

Sebaik keluar dari Sekolah Al-Mawakeb, saya segera menelefon suami di pejabat.

``Bagaimana?'' tanyanya agak tidak sabar.

``Menang, kalah dan seri!''




Sumber : Utusan Malaysia





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/