SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Masalah hambatan punca pelajar Melayu lemah

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

BEKAS Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Diraja Ungku Aziz berkata, satu daripada punca orang Melayu di luar bandar ketinggalan dalam pendidikan dan bidang lain disebabkan mereka mempunyai hambatan (handicap) atau kekurangan sejak dari kecil.

Beliau berkata, pelajar Melayu di luar bandar juga masih mengalami masalah kekurangan zat seperti protein, mineral dan lemak yang akhirnya menjadikan badan mereka kurang sihat berbanding kaum lain.

Selain itu, katanya, pelajar Melayu juga mempunyai hambatan dari segi pemikiran, iaitu mereka dicap sebagai pemalas, tidak pandai dan perlu dibantu untuk berjaya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, pelajar Melayu juga tidak pernah diberi kata-kata semangat atau galakan bahawa mereka boleh berjaya seperti orang lain jika menggunakan peluang yang tersedia dan berusaha bersungguh-sungguh.

“Mentaliti terjajah ini ditanam dalam pemikiran Melayu sejak beratus tahun lalu, bahawa orang Melayu perlukan bantuan atau subsidi kerana mereka tidak boleh berjaya jika tidak diberi keistimewaan.

“Dari segi sosial, mereka sebati dengan bomoh dan bergantung kepada bomoh untuk berjaya dalam banyak hal termasuk untuk menjadi ahli politik.

“Bergantung kepada bomoh ini satu pemikiran magik yang bersifat antisains dan syirik tetapi pihak berkuasa agama tidak pernah mengeluarkan sebarang pendirian mengenai hal ini,” katanya ketika membentang ucaptama pada majlis Dialog Meja Bulat Kebangsaan: Pemikiran Melayu Pertama di Shah Alam, baru-baru ini.

Ungku Aziz membentangkan ucaptama bertajuk `Membina Peranggu Minda dan Peranggu Badan Yang Berjaya’.

Pertemuan akademik itu dirasmikan oleh Naib Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Ibrahim Abu Shah.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik), Prof Datuk Dr Ahmad Zainuddin, Penolong Naib Canselor, Institut Pengembangan Ilmu (InKA), UiTM, Prof Madya Dr Rahmat Mohamad dan Pengerusi dialog, Prof Madya Dr Ahmad Murad Mohd Noor Merican.

Dialog sehari itu dianjurkan oleh Pusat Kajian Multidisiplin, InKA untuk mengumpulkan pandangan pakar bidang mengenai pemikiran Melayu dalam aspek saintifik, kesusasteraan, sains sosial, sosio ekonomi, bahasa, seni halus dan sebagainya.

Berhubung penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar Melayu, Ungku Aziz berkata, pelajar Melayu di luar bandar perlu membudayakan penggunaan kamus dan menjadikannya tabiat sepanjang hayat bagi membantu mereka menguasai kemahiran membaca dalam bahasa Inggeris.

Beliau berkata, kebiasaan menggunakan kamus membolehkan pelajar Melayu memahami perkataan yang khusus dan akhirnya membina kekayaan kosa kata.

Katanya, kemahiran membaca dalam bahasa Inggeris perlu menjadi keutamaan kerana kemahiran lain seperti menulis dan bertutur menjadi mudah jika pelajar cekap membaca dalam bahasa Inggeris.

“Penggunaan kamus sepatutnya menjadi tabiat sepanjang hayat kerana saya sendiri sampai sekarang masih menggunakan kamus dan mendapat perkataan baru setiap hari.

“Jika pelajar Melayu mempunyai kamus yang mudah dibawa ke mana saja setiap hari, lama kelamaan mereka akan dapat membaca dalam bahasa Inggeris dengan lancar.

“Mereka juga patut merujuk kamus yang lebih lengkap di perpustakaan jika terjumpa perkataan yang lebih khusus atau istilah bidang tertentu.

“Tabiat ini diamalkan oleh pelajar di Jepun yang mempelajari bahasa asing termasuk bahasa Jerman atau Inggeris dan mereka boleh membaca dengan baik walaupun tidak mampu bertutur dengan fasih,” katanya.










© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/