SMK Sultan Omar

Balik [HOME]

Cerpen : Menternak hantu

Oleh MARSLI N.O

AKU lama tercenung di hadapan pintu pagar yang kejap dibelit rantai dan bermangga kunci itu. Pandanganku tercanak ke arah papan tanda berukuran tiga kali lapan kaki di bahagian atasnya.

``Ladang menternak hantu,'' begitu tanpa suara kubaca huruf yang tertera jelas di papan tanda.

Sudah jelas sekarang. Kini bukan gurauan atau momokan lagi. Apa yang kudengar selama ini sudah sah terpampang di depan mataku. Aku sekarang memang sedang berdiri di depan pintu pagar sebuah ladang menternak hantu. Dan pemiliknya? Juga sudah kuketahui siapa.

Jika dulu aku hanya mendengar cerita dari mulut beberapa kawan dan cerita itu kuanggap hanya gurauan atau momokan, kini tidak lagi. Sudah sahlah kini bahawa kawan yang satu ini memang sudah menjadi pemilik ladang menternak hantu. Suatu perusahaan atau bisnes yang setahuku, hanya dialah satu-satunya manusia di daerah ini yang sanggup menghadapi segala risikonya.

Kenapa tidak? Orang lain, kukira seperti juga diriku, usahkan hendak menternak, mendengar nama hantu pun sudah berasa kecut. Berkawan dengannya? Setahuku hanya bomoh dan dukun handal saja yang boleh atau berani berkawan dengan hantu. Dan menyebut bab hantu ini, kukira semua orang pun tahu betapa laku dan peri perangainya. Bukan boleh dipercayai atau boleh hendak dibuat kawan.

Tidak kena gaya, atau menurut kata orang tua-tua, kalau kurang diberi makan, kita pula yang akan dikerkahnya balik.

Tetapi kawan yang satu ini? Bukan setakat berkawan, tetapi dia sudah menjadi penternaknya. Ketika kali pertama mendengarnya dulu, aku berasa hairan juga. Apa faedahnya membuat kerja gila dan bodoh ini?

Kau tak tahu? Begitu tanya kawan yang membawa cerita itu kepadaku. Tentu saja aku yang memang tidak tahu apa-apa mengenainya menjawab tanya itu dengan gelengan kepala. Dan kawan yang bertanya itu pun mula bercerita. Menurutnya, tujuan hantu-hantu itu diternak oleh kawan yang satu ini tidak lain untuk dijual atau disewakan kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan khidmat hantu-hantu belaannya itu.

Menurut kawan itu lagi, sudah banyak orang yang membeli dan menyewa khidmat hantu-hantu ternakan kawan yang satu ini. Dan kata kawan itu lagi, menurut cerita beberapa orang yang sudah membeli hantu dari ladang ternakan kawan yang satu ini, hantu-hantu tersebut memang boleh diharap untuk menunaikan apa saja suruhan tuan baru yang membelinya.

Begitu juga jika disewa perkhidmatannya, menurut cerita kawan itu, hantu-hantu dari ladang ternakan kawan yang satu ini memang setia dan menurut apa saja perintah atau arahan penyewanya.

Tetapi aku masih tidak faham dan mengerti. Apa perlunya hantu kepada manusia di zaman moden dan serba canggih ini? Dan mereka yang menyewa khidmat hantu-hantu itu pula, khidmat apa sesungguhnya yang mereka perlukan? Tanpa suara, bertalu-talu kuajukan tanya kepada diriku sendiri.

Memang, sewaktu kecil aku pernah mendengar nenek atau datuk bercerita mengenai orang yang memelihara hantu seperti polong, pelesit atau hantu raya. Tetapi itu dulu. Sewaktu bangsaku yang bernama Melayu ini masih belum mengenal makna kemajuan serta kemodenan. Tetapi kini? Apa perlunya lagi?

Bukankah segalanya dapat diselesaikan dengan sains serta teknologi? Sungguh aku tidak mengerti. Dan dalam keadaan aku masih tercenung-cenung begitu, tiba-tiba aku mendengar namaku diseru beberapa kali. Ketika kutolehkan pandangan ke arah datangnya suara itu, kelihatan kawan yang satu ini sedang tersengih-sengih mempamerkan jajaran giginya yang agak kuning dan jarang-jarang itu.

``Dah lama kau sampai?'' tanya dia. Aku menjawab tanyanya dengan anggukan. Dan kulihat kawan yang satu ini mengeluarkan seberkas kunci dari sakunya.

Melihat seberkas kunci di tangannya, aku secara automatis teringatkan judul kumpulan puisi penyair T. Alias Taib yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. ``Marilah masuk. Nanti kubukakan pintu,'' kata dia lagi. Aku segera memegang pintu pagar dan menghalang dia membukakan kuncinya. Dia bertanya kenapa.

Kukatakan kepada dia bahawa aku tidak mahu masuk dan hanya mahu berdiri di luar pagar sahaja. Dia yang barangkali memahami apa yang sedang aku fikirkan kulihat kembali tersengih-sengih mempamerkan jajaran giginya yang agak kuning dan jarang-jarang itu.

``Cukuplah aku berdiri di sini saja,'' tegasku.

``Terserah kaulah. Jangan nanti kau katakan aku sombong pula. Tidak sudi mengajak kau masuk melawat ladang ternakanku ini,'' balas dia.

``Kau jangan berasa hati. Terus terang aku katakan. Aku berasa seram hendak masuk,'' akhirnya aku mengaku terus terang.

``Aku tahu. Bukan kau saja. Kalau tiada sesuatu yang benar-benar perlu atau mendesak, tiada siapa yang sudi hendak masuk atau menjenguk ladang aku ini,'' kawan yang satu ini membalas kata-kataku. ``Malah sejak aku memulakan perusahaan ini, kawan-kawan nampaknya sudah menjauhkan diri dari aku.

``Tetapi aku tidak kisahkan itu semua. Aku rasa, berkawan dengan hantu-hantu belaanku lebih baik daripada berkawan dengan manusia,'' dia menambah lagi.

``Kenapa kau cakap macam tu?'' aku bertanya lagi. Sengaja hendak mencungkil rahsia.

``Dengan hantu, aku sudah jelas tahu identiti dirinya. Tetapi dengan manusia, belum tentu mereka itu benar-benar manusia atau hantu,'' jawab kawan yang satu ini.

Ah, hendak berfalsafah pula dia ini. Begitu aku merungut di dalam hati. Aku tersenyum.

``Jadi kau berasa seronoklah berkawan dengan hantu,'' aku bertanya lagi. Kata dia bukan soal seronok atau tidak, tetapi, dia mengaku berterus terang, bahawa dia sudah bosan berkawan dengan manusia yang kebanyakannya di depan bercakap lain dan bila di belakang lain pula bunyi dan maksudnya.

Dengan hantu, kata dia lagi, tidak demikian. Kalau putih, putihlah kata dia, dan selalunya hantu tidak banyak bercakap tetapi hanya tahu menurut apa saja yang kita sebagai tuannya telah perintahkan. Begitu dia menambah.

``Aku dengar ramai orang yang datang membeli atau menyewa perkhidmatan hantu-hantu ternakan kau?'' secara tidak langsung aku menyambung tanya. Dia mengakuinya. ``Malah, kalau orang tahu usaha menternak hantu-hantu ini mendatangkan hasil yang lumayan, tentu mereka pun akan berebut-berebut hendak membuka ladang ternakan macam aku ini,'' dia membuka sedikit rahsia.

Tetapi kalau macam itu susah juga aku, aku tidak suka kalau ini yang terjadi, kalau tidak kena gaya, bila terlalu banyak saingan, bisnes aku ini boleh lingkup juga. Begitu dia terus membuka rahsia dan mengaku.

Aku tanyakan untuk apa sebenarnya mereka datang membeli atau menyewa perkhidmatan hantu-hantu di ladang ternakannya itu.

Kau tak tahu? Dia mengajukan tanya kepadaku dan kembali mempamerkan jajaran giginya yang agak kuning dan jarang-jarang itu. Aku menggeleng-geleng.

Dia memberitahuku bahawa mereka yang datang membeli atau menyewa perkhidmatan hantu-hantu di ladang ternakannya itu kebanyakannya orang yang kaya dan ahli-ahli politik. Tetapi ada juga dari kalangan yang bukan orang kaya atau ahli politik, tetapi jumlahnya tidaklah seramai golongan yang pertama itu. Kalangan yang bukan orang kaya atau ahli politik ini biasanya tidak membeli tetapi hanya menyewa saja. Kata mereka kerana tidak mahu terlalu lama berhubungan atau berurusan dengan hantu.

Atau kata lainnya, mereka tidak mahu ada komitmen dengan hantu. Takut nanti, bila diketahui oleh orang, mereka khuatir imej mereka (kononnyalah) sebagai manusia baik akan tercemar.

Siapa kalangan yang kau maksudkan ini? Tanyaku. Mulanya kulihat dia agak keberatan juga hendak memberitahu. Tetapi setelah aku terus mendesak dia berkali-kali dan berjanji tidak akan ceritakan kepada sesiapa mengenainya, barulah dia bersedia untuk memberitahu.

Menurut dia, kalangan yang bukan orang kaya atau ahli politik ini yang paling ramainya ialah penulis atau orang-orang yang terlibat dengan persatuan penulis. Pelik juga aku. Kenapa? Tanyaku tidak sabar. Aku pun tidak tahu, itu kau kena tanya merekalah, jawab dia.

Setahu aku kebanyakan penulis ini atau orang yang terlibat dengan persatuan penulis adalah manusia yang tebal dengan idealisme kemanusiaan serta moralnya, tetapi kenapa pula mereka sanggup menyewa perkhidmatan hantu dari ladang ternakan kau ini? tanyaku lagi. Itu kata kau, tapi dalam hati mereka mana kautahu tebal atau tidak idealisme kemanusiaan serta moralnya?

Dia kembali menyanggah dengan tanyanya. Malah dari cerita hantu-hantu ternakanku yang khidmatnya disewa oleh mereka, perintah yang selalu diberikan kepada hantu-hantu itu oleh mereka ialah supaya mengganggu atau pergi mengkerkah musuh sesama penulisnya. Sudah beberapa orang penulis jatuh sakit kerana itu.

Tetapi aku tidak boleh dipersalahkan dalam soal ini. Aku cuma menyediakan perkhidmatan dan sebagai adatnya orang berniaga, aku mesti tunaikan kehendak pelangganku. Soal dosa biarlah ditanggung oleh mereka yang menyewa perkhidmatan hantu-hantu dari ladang ternakanku ini. Dia berkata lagi, seolah-olah sudah dapat menduga betapa soal berdosa itu akan aku timbulkan.

Bagi golongan orang kaya pula, kata dia, tujuan mereka membeli dan hendak memelihara hantu itu ialah untuk menjaga keselamatan keluarga serta harta benda mereka. Kalau ada sesiapa yang cuba mengusik harta atau keluarga mereka, hantu belaan mereka itu akan segera mengusik sebagai tanda amaran pertama dan kalau ada yang masih berdegil juga, hantu itu akan segera mengkerkah mereka.

Sementara bagi golongan ahli politik pula ialah supaya kedudukan mereka sebagai ahli politik tidak berani diganggu serta digugat oleh mana-mana musuhnya dan jika ada musuh-musuhnya yang cuba berbuat demikian, hantu-hantu itu akan diperintahkan supaya menakut-nakutkan musuh-musuh mereka. Dari apa yang diberitahu kepadaku, bila telah ditakut-takutkan oleh hantu-hantu itu, musuh-musuh mereka tidak akan berani lagi hendak mencari fasal dengan mereka. Begitu dia berkata lagi.

Tetapi tidakkah perbuatan mereka itu suatu kesalahan di segi undang-undang?

Engkau ini memang ketinggalan sungguh, dia segera mencelah bila mendengar kata-kataku itu. Namanya kerja hantu, hantu mana boleh dilihat dan kesan? Kata dia. Betul juga, tanpa suara aku berkata kepada diriku sendiri.

Mulanya aku hendak juga bertanya mengenai harga setiap ekor hantu yang telah dia jual atau berapa sewa untuk khidmat seekor hantu itu bagi sehari, tetapi soalan itu tidak jadi kuajukan bila aku fikirkan buat apa hendak kutanya dan aku pun memang tidak berminat hendak membela atau menyewa perkhidmatan hantu dari ladang ternakannya itu.

Sebenarnya hantu-hantu di ladang ternakan kau itu kau berikan makanan apa?

Langsung kini aku mengajukan soalan itu. Kudengar dia ketawa terbahak-bahak.

Walaupun di dalam hati aku berasa agak bengang juga bila mendengar ketawanya itu, namun agar tidak terlalu menampakkan rasa kurang senangku itu, aku mempamerkan senyum. Sebenarnya banyak orang tidak tahu, membela hantu ini sebenarnya sungguh mudah. Begitu kata dia. Kau tentu tidak percaya kalau aku katakan makanan mereka cuma kertas surat khabar dan majalah, khususnya surat khabar dan majalah dalam bahasa kita. Kata dia lagi.

Pelik sungguh, tanpa sedar terkeluar kata itu dari mulutku. Tiada yang peliknya. Dulu aku pernah berikan mereka daging tetapi aku lihat mereka tidak berminat. Kemudian aku berikan najis lembu, itu lagi mereka tidak suka dan hantu-hantu itu kulihat semakin kurus.

Sehinggalah pada suatu hari, entah macam mana, aku datang melawat ladang ternakan aku itu sambil mengepit senaskhah surat khabar, niat aku hendak kubaca bila ada masa lapang sedikit. Tidak aku sangka, hantu-hantu yang sedang bercokol di dalam kandang masing-masing itu aku lihat datang menerkam dan menjelir-jelirkan lidahnya.

Salah seekor daripada hantu itu berjaya merampas surat khabar dari kepitanku. Mulanya aku berasa hendak marah dan mendera hantu yang kurang ajar itu. Tetapi bila aku lihat dia begitu asyik menatap surat khabar itu dan dalam sekelip mata kulihat tubuhnya jadi segar dan bugar semula, aku pun mendapat idea baru.

Aku fikir daripada menghabiskan duit untuk membeli daging sebagai makanan mereka atau menyusahkan diri menjadi kuli untuk mengangkut najis lembu, kenapa tidak aku berikan saja surat khabar. Bukan saja kerjaku menjadi lebih mudah, malah harganya pun murah, kalau surat khabar lama aku boleh beli kira timbang kilo. Begitu panjang lebar dia berkata dan aku, sebagai tanda sangat berminat atau memberikan perhatian penuh terhadap ceritanya itu, berkali-kali mengangguk-anggukkan kepala.

Tanpa aku pinta, dia bercerita lagi. Mula-mula dulu, aku borong dan beli apa saja surat khabar tidak kira surat khabar dalam bahasa Cina, Tamil, Siam atau orang putih, semuanya aku bedal. Tetapi aku lihat selain dari surat khabar dalam bahasa Melayu, semua surat khabar itu tidak diminati oleh hantu-hantu belaanku itu. Aku pun tidak tahu kenapa. Aku agak mereka hanya berminat dengan surat khabar dalam bahasa Melayu saja, jadi mulai saat itu aku hanya cari dan beli secara borong surat khabar dalam bahasa Melayu saja.

``Heh, cerita kau ini memang pelik,'' tanpa sedar terkeluar lagi kata itu dari mulutku.

``Dalam keadaan dunia seperti sekarang ini, mana ada yang peliknya? Bukan setakat hantu, kuman dan virus pun orang boleh ternak. Kau ini memang tak ikut perkembangan dunia langsung. Benda macam ini pun kau boleh rasa pelik.

``Heh, kawan. Untuk pengetahuan kau. Lagi banyak benda pelik dalam dunia pun ada. Apa hendak dihairankan?''

Kata-kata kawanku yang satu ini masih terngiang-ngiang menerjahi pendengaranku. Dan aku tidak pasti, apakah kawanku yang satu ini memang benar-benar menternak hantu ataupun dia sendiri sebenarnya juga sudah turut sama menjadi hantu.

Sungguh. Aku tidak pasti. Dan dalam ketidakpastianku, aku terseok-seok mengaturkan langkah meninggalkan kawan yang satu ini semakin jauh di belakangku.




Sumber : Utusan Malaysia





© 2002 SMK Sultan Omar™, 23000 Dungun, Terengganu
Tel/faks : 09-8481831    Email : smkso2002@hotmail.com
https://smkso2000.tripod.com/